
Era 60-an banyak melahirkan penyanyi tempatan yang bergerak atas pengaruh muzik Swing dan Jazz yang sudah dilagukan dengan jiwa Melayu penyampainya. Julie Sudiro satu daripada khazanah muzik berharga yang harus didalami sejarah serta pengalaman bermuziknya.
Lama sebetulnya saya mencari material yang sudah dirakam Bidunita ini sepanjang karier muziknya. Sehinggalah baru-baru ini saluran YouTube “Getaran Nostalgia” memuatnaik beberapa EP yang pernah dirakam Biduanita Julie Sudiro atau nama sebenarnya Raden Juariah binti Raden Sudiro.
Memulakan karier bermuzik dengan memasuki pertandingan bakat nyanyian yang dianjurkan di Singapura, Julie Sudiro mendapat perhatian syarikat rakaman EMI selepas dia menjuari pertandingan nyanyian tersebut.
Rakaman album-album dan EP piring hitam bersama kugiran The Emeralds antara yang membantu menaikkan nama Julie Sudiro ketika dia awal bermuzik.
Bersama The Emeralds, Julie Sudiro menghasilkan beberapa hits seperti Tangisan di Hati, Selagi Kau Sayang Padaku, Kembalilah serta yang paling diingati adalah “Na Na Hey Hey Kiss Him Goodbye“.
Kehebatan Julie Sudiro sebagai penyanyi tidak hanya sebagai penyanyi rakaman piring hitam, dengan lebih 15 album keseluruhannya, Julie Sudiro cukup dikenali dengan kehebatan berpentas dengan bersahaja melantunkan suara merdunya.
Usai kontrak rakaman bersama EMI tamat, Julie Sudiro membuat keputusan untuk bernyanyi secara bebas di kelab-kelab muzik yang tidak hanya di Kuala Lumpur tetapi membawanya terbang jauh ke Hong Kong, Bangkok, Manila dan Melbourne.
Tidak lagi fokus dengan rakaman album, Julie Sudiro setelah itu hanya memberi fokus pada persembahan pentas – dari kelab malam ke istana, suara Julie Sudiro bergema menghiburkan pelbagai lapisan penonton.
Saya melayani beberapa album yang dimuat naik di saluran YouTube “Getaran Nostalgia” – feel dan soul Julie dalam menyampaikan lagu-lagu seperti “Oh Me Oh My”, “Destination”, “Senyumlah Selalu” antara yangdipersembahkan dalam kesederhanaan.
Lagu-lagu rakaman semula yang diberi nafas tempatan pada liriknya terhasil cukup baik sebagai sebuah naskhah Pop yang menyenangkan. Ilham di EP 657 antara yang terbaik. Lagu seperti “Tangisan di Hati” antara yang dilontar dalam kemerduan suara biduanita ini.
Berdiri cukup tersendiri tanpa dibayangi mana-mana penyanyi sezamannya, sehingga hari ini nama Julie Sudiro masih lagi diingati sebagai salah seorang penyanyi yang memiliki bakat nyanyian yang cukup baik.
Melewati sejarah karier muziknya, Julie Sudiro mula menyanyi di kelab-kelab malam seawal usia 13 tahun pada tahun 1958 dan nama Julie Sudiro yang diilhamkan oleh salah seorang pengurus kelab malam di Singapura.
Hari ini dia tidak lagi aktif sebagai penyanyi namun masih terus diingati bakat serta sumbangan dalam bidang nyanyian di Singapura dan Malaysia.