
Ismail Izzani antara persona Pop muda yang saya kira sentiasa hadir dengan sound yang cukup current, moden dan terisi sebagai refleksi muzik hari ini. Persembahan muziknya sejak “Sabar” yang beredar di tahun 2017 menjadikan Ismail sebagai bakat baru yang sentiasa dinantikan penampilan lagu-lagu barunya.
Maka dengan itu terhasillah rangkaian lagu yang cukup solid sound Pop nya seperti “Bidadari”, “Demi Kita”, “Berserah” dan “Ada Cara” – antara yang sudah dihasilkan dengan percaturan Pop semasa yang begitu baik penghasilannya.
Penghasilan album Ismail antara yang paling saya nantikan. kerana apa? Kerana konsistensi muziknya yang sangat-sangat baik. Terutama sekali penghasilan “Ada Cara” yang saya sifatkan sebagai persembahan Pop terbaik Ismail dan sejak beredarnya single itu saya kira he’s ready for an album.
Dan dengan itu, bersama batalion muziknya di album perdana ini – Mas Dewangga, Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Ezra Kong dan SonaOne antaranya telah merealisasikan album perdana Ismail Izzani ini sebagai sebuah persembahan Pop masa kini yang cukup baik sekali penghasilannya.
Dibuka dengan lagu “Kembalikan” (Ezra Kong) menampilkan sisi emosi Mail dengan secukupnya. Lagu ini sangat kuat esen Pop Mail seperti apa yang biasa kita dengar sebelum ini namun dengan hasil yang lebih matang dan kemas. Penghasilan melodi Ezra sangat baik di lagu ini. A repeat mode.
Diteruskan dengan “1000” (Mas Dewangga / Hanis Rafi / Firdaus Rahmat) sebuah lagi kelangsungan Pop cinta Mail yang cukup current dan sedap sekali penghasilan melodinya sebelum momentumnya diteruskan dengan lebih rancak menerusi single beredar tahun lalu berjudul “KAMU” (Firdaus Rahmat / Mas Dewangga).
Perhatian saya teralih pada lagu “Mini Love” (Firdaus Rahmat / Dari) yang saya sifatkan antara lagu terbaik di album ini. Cukup catchy dengan penulisan lirik yang tidak sukar untuk mana-mana anak muda hari ini relate. Korus lagu ini antara yang hadir dengan hook yang paling kuat daya pemikatnya.
“Another One” (Omar K / Denavo Danedra / Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / Anwar Hamzah) sebuah easy listening Pop yang saya kira perfect for the weekend. Kolaborasi bersama Adzrin menerusi lagu “Kekal Ada” (Mas Dewangga / Ismail Izzani / Firdaus Rahmat) kembali dengan groove yang tidak sukar untuk kita layan.
Ismail Izzani menerusi debut ini saya kira sudah membuktikan keseriusan bermuziknya dengan cara yang paling baik dalam persembahan Pop yang cukup current seiring apa yang ada di pasaran global hari ini. Setiap lagu di album ini terisi dengan cukup solid untuk kita sebagai pendengar layan.
Ditutup dengan single perdana album ini berjudul “Apekonak” (Kidd Santhe / SonaOne / Ismail Izzani) yang bergerak sebagai percaturan yang baik untuk Mail diperkenalkan di pasaran yang lebih luas. Album ini saya sifatkan sebagai percaturan Pop yang sangat-sangat diperlukan pasaran muzik tempatan. Ia meninggikan standard Pop kita ke tahap yang sangat membanggakan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
Persembahan Soft Pop Aziz Harun Diteruskan Menerusi Single “Sayang Kau Tercipta”