
Sehari dua ini heboh di media sosial ramai pemuzik berkongsi memorandum untuk mengembalikan dunia showbiz Indonesia bernadi seperti biasa agar pekerja-pekerja seni, muzik khususnya mampu kembali bekerja, boleh kembali berkarya.
Dalam kejenuhan menanti masa depan yang semakin kabur dan tidak pasti apa arahnya, anak-anak seni ini masih lagi dengan iltizam tinggi menghasilkan sebaik mungkin karya-karya baru sekali pun mereka tidak lagi boleh ke panggung dalam suasana crowd yang mewarnakan persembahan.
Mendepani pandemi yang semakin tidak mahu menjauh daripada kita sekarang ini, apa yang boleh dilakukan terus adalah untuk tidak berhenti bekerja dan berusaha terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Usaha merayakan semangat bermuzik ini diteruskan Erwin Gutawa menerusi sebuah album instrumental rakaman penuh orkestra Synchron Stage Orkchestra di bawah pimpinan masetro muzik Indonesia ini menerusi rakaman 8 lagu terbaik dalam sejarah muzik Pop Indonesia.
Terisi dengan hits seperti “Firasat” (Nyanyian asa Marcell), “Bukan Cinta Biasa (Afgan), Memori (Ruth Sahanaya) dan Menghitung Hari (Krisdayanti) antaranya dirakam ulang dengan pengalaman menikmati skor orkestra yang membuai dan melayang rasa.
Erwin Gutawa turut dibantu, Gita Gutawa sebagai produser bersama. Melibatkan 60 pemuzik orkestra di Vienna, Austria yang juga tergabung sebagai Synchron Stage Orchestra juga turut Erwin dibawa untuk berkolaborasi dalam album ini.
“SYMPHONESIA” Merupakan sebuah projek khusus Erwin Gutawa dalam meraikan pasaran muzik Indonesia dirilis 5 Mac lalu di semua gedung muzik digital bersempena Hari Musik Indonesia pada 9 Mac.