
Lagu: Tetap Tak Ku Rasa
Artis: Andi Bernadee
Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Jova Devito
Produser: Mas Dewangga
Perjalanan bermuzik Andi Bernadee cukup konsisten sekali sejak hits “Satu Peluang” berjaya mencuri perhatian pendengar sehingga hari ini, Andi antara bakat baru yang evolve dengan persembahan lagu-lagu yang bersifat cukup current dan segar mengikut tuntutan dan standard pasaran Pop global.
Hal ini sudah dia buktika di lagu-lagu seperti “Dinde”, “Du”, “Aku Di Sini”, “Shimmy” dan “Penat” yang melengkapkan katalog muziknya sebagai pelapis muzik Pop yang sentiasa harus diraikan. Andy saya kira sehingga hari ini masih belum gagal dalam mengeluarkan lagu-lagu yang cemerlang penghasilannya.
Terkini dia tampil sekali lagi membuat saya tersenyum bahagia mendengarkan hasil keseluruhan lagu ini. Bersama Mas Dewangga dan Jova Devito dia menghadirkan single “Tetap Tak Ku Rasa” yang cukup sentimental dengan kemasan muzik yang terlalu baik bagi saya.
Melodi lagu ini datang dengan vibes “Glimpe of Us” juga “Golden Hour” yang dimanipulasi Mas dan Jova dengan cara paling bijak untuk meletakkan sebuah standard Pop tempatan setara dengan lagu-lagu global yang ada.
Hal ini saya kira penting supaya sound kita juga ada standard serupa dengan lagu-lagu di pasaran muzik lebih besar. Rujukan muzik itu tidak hanya harus terikat pada ilham Pop tempatan sahaja kerana itu jugalah kebanyakan Balada kita bunyinya sama sahaja. Pendengaran yang luas dengan rujukan yang pelbagai mampu menghasilkan sound yang lebih current. Hal ini sudah dibuktikan Mas juga Jova dalam ciptaan lagu-lagu mereka.
“Tetap Tak Ku Rasa” dibuka dengan petikan piano yang cukup deep dengan efek bunyian yang melatarinya. Cukup mengingatkan saya pada lagu terbaik ciptaan duo dynamic ini, “Debu”. Namun tidak seperti “Debu”, “TTKR” mengambil ilham stripped down Ballad yang lebih deep, bertempo perlahan dan berbalut emosi. Benar-benar membuat saya melayang dengan penghasilannya.
Emosi Andi di lagu ini benar-benar menghidupkan penghasilan melodi yang terhasil. Sederhana namun sampai dan Andi ada dinamik dalam persembahan vokalnya. Warna yang diberikan ada pada penceritaan beriring petikan piano yang melatari hampir keseluruhan lagu dengan cukup baik. “TTKR” saya letakkan sebagai satu daripada Pop terbaik sepanjang tahun.
9.8/10
ARTIKEL BERKAITAN