
Pasaran penghasilan album masih didominasi keryawan indie yang masih percaya akan kepentingan menghasilkan sebuah album penuh. Nama-nama seperti The Impatient Sisters, Couple, Viona (Takahara Suiko), HAMBA (Amir Jahari) dan bakat-bakat baru seperti Late Night Frequency, A.Limin, Dewataraya dan Sang.Rawi antara yang masih menghasilkan album penuh berdurasi panjang.
Lapangan Pop tahun lalu diisi dengan dua album perdana persembahan Naim Daniel (Fobia) dan Ismail Izzani (Self-Titled) yang menjadi debut album kedua-dua bakat muda ini setelah beberapa tahun menapak di lapangan muzik komersil tempatan. Kedua-duanya datang dengan ilham Pop berbalut feel R&B dan percikan muzik Hip-Hop dengan kolaborasi bakat-bakat lain menerusi beberapa lagu.
Digerakkan juga oleh produser muda seperti Mas Dewangga, Iqie Hugh dan Jova Devito antaranya yang menjadi pelapis pelopor Pop papan atas seperti Omar K, Ezra Kong dan batalion muzik di label rakaman Faithful Music.
Penghasilan single masih menjadi trend sasaran menghasilkan lagu-lagu baru yang juga menjadi strategi pemasaran utama dalam mengekalkan momentum muzik penyanyi sedia ada. Beberapa nama yang saya kira sudah sedia untuk penghasilan album penuh seperti Kaka Azraff, Andi Bernadee, Hael Husaini dan Aina Abdul masih belum menghasilkan album penuh lagu baru (tanpa memasukkan single sedia ada).
Semoga tahun ini akan berilham dan berbekal modal untuk bakat-bakat muzik tempatan menghasilkan album penuh yang pastinya akan bergerak sebagai sebuah portfolio muzik untuk mereka bertapak lebih jauh pastinya. Berikut 10 Album Terbaik Pilihan 2022 pilihan Muzik Kita

Everything In Between / Ai.Z
YRR Music
Aizat keluar daripada kepompong selesanya menerusi penampilan persona Ai.Z yang menampilkan sisi lebih urban dan moden. Garapan R&B dalam album yang diberi judul “Everything In Between” ini terhasil dalam ramuan muzik yang cukup popular dalam pasaran muzik global hari ini. Antara trak terbaik di album ini adalah “Catching Feelings”, “Impossible To Love You” dan “Use Me.”

HAMBA / Permulaan
Sekalo Music Production
Peralihan Amir Jahari menjadi HAMBA menerusi EP “Permulaan” menghasilkan sesuatu yang lebih komersil dan mesra pendengar. Lagu-lagu yang terhasil dalam estetika muzik Amir dizahirkan dalam cara paling senang untuk dinikmati pendengar muzik semasa. “Pecah Gelas” menjadi antara naskhah muzik terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang 2022. Keseluruhan EP ini terhasil dalam sebuah kesinambungan muzik yang menyenangkan.

THE IMPATIENT SISTERS / 7 YEARS
The Impatient Sisters
Persembahan Folk tiga bersaudara ini hadir dalam sebuah persembahan muzik yang penuh harmoni. Mendengarkan keseluruhan album ini dari satu lagu ke lagu berikutnya membuatkan pendengar leka dan larut tanpa sedar ia sudah ke penghujung. Kualiti rakaman album ini antara yang terhasil baik kerja-kerja bunyinya yang kemas sekali. “Rumah” bergerak sebagai sebuah lagu yang tepat mentafsir ilham muzik The Impatient Sisters. “Kejam” antara yang hadir dengan eksperimentasi muzik yang memberi pengalaman berbeza mendengarkan mereka. Keseluruhan album terhasil cukup harmoni – baik kemasan suara mereka sehinggalah lagu-lagunya.

ISMAIL IZZANI
WP Entertainment
Ismail menerusi album ini menzahirkan sebuah album yang cukup formula muzik yang cukup komersil. Setiap lagu yang terisi cukup catchy, moden dan simple tetapi datang dengan satu citarasa bermuzik yang cukup kekinian. Ismail ada attitude yang baik untuk bergerak sebagai Pop star harapan muzik tempatan. Sehingga hari ini lagu-lagu yang dihasilkan tidak langsung mengecewakan. “Kembalikan” ciptaan Ezra Kong bukti kematangan bermuzik Ismail selain beberapa lagu lain seperti “Mini Love”, “Another One” dan “Kekal Ada” yang terhasil menghiburkan.

VIONA / D.I.V.O.R.C.E
Venopia Enterprise
Viona menghasilkan sesuatu yang cukup quirky dalam mentafsirkan sebuah perjalan bermuzik yang bersifat cukup personal. Mendengarkan Viona saya kira harus beriring lirik yang dibaca bersama untuk anda memahami isi setiap lagu yang tersirat. “Raksasa” lagu terbaik yang dihasilkan di album ini. Kisahnya sedih tetapi ditafsirkan dalam persembahan muzik yang seakan menolak rasa sedih yang ada sebagai sebuah azimat kekuatan seorang wanita dalam memahami ertinya takdir sebuah hidup.

BAYANGAN / KELANA
Studio Bayangan Enterprise
Bayangan adalah sebuah pengalaman menikmati muzik Folk tempatan yang cukup berbeza, tidak komersil, tidak radio friendly tetapi sangat diperlukan dalam pasaran muzik tempatan. Muzik Malaysia perlu diisi dengan pengalaman begini untuk meraikan kepelbagaian dalam bermuzik. This might not your cup of tea not even mine, tetapi ia bergerak sebagai sebuah naskhah untuk kita melihat keterbukaan kita sebagai pendengar dan membuka ruang-ruang sempit yang diisi dengan idea lapok muzik Pop tempatan khususnya. Dengar dengan bersabar, pengisiannya jauh daripada apa yang anda bayangkan.

SANG.RAWI / Malay New Order
Sang Rawi
Sang Rawi meraikan muzik lagu-lagu Joget, Dondang Sayang dan Zapin dalam sebuah ilham baru yang menghiburkan tanpa terasa lapok dan kebelakang. Muzik mereka diramu dengan idea segar dalam susunan muzik dan permainan bahasa dalam penulisan lirik yang terhasil begitu baik. “Malay New Order” sebuah rilis tertunda mereka yang sepatutnya beredar lebih awal namun masih kedengaran relevan. Mendengarkan lagu seperti “Senandung Kaseh” dan “Zaffin” membuat saya mahu menari melayani joget gaya mereka.

A.LIMIN / SESUDAH MALAKAR LANGIT
Kamar Seni Enterprise
A.Limin bercerita dalam lagu-lagu mereka yang mengisi “Sesudah Melakar Langit” dalam sebuah persembahan muzik yang cukup grand saya kira. 13 lagu di album ini bukan sesuatu yang mudah dihadam, iramanya perlahan merasuk dan harus beriring sabar kerana durasi panjangnya mungkin akan buat pendengar Pop semasa bosan. Tetapi ia terisi sarat cerita manusiawi dalam penulisan liriknya dalam setiap lagu. Dan saya kira itu adalah saktinya untuk kita melekat dari awal ke hujung album ini tanpa tergantung pada melodi tetapi larut bersama penulisan lirik yang ditulis.

ZAMAERA / HEARTBREAK TO HEAL
Zamaera
Zamaera bergerak sendiri dengan sebuah kematangan bermuzik yang dibentuk bersama produser muziknya. Lagu-lagu di album ini biar tidak sedramatik EP awalnya seperti Z vs Z tetapi masih utuh spirit bermuzik Zamaera. Vokalnya menjadi sakti utama melayani album ini dengan beberapa rangkaian lagu yang cukup catchy seperti “Cinta Yang Baru”, “Jaga Diri” dan “Distance”. Album ini sebuah penemuan dirinya sendiri dalam meniti kedewasaan sebagai seorang pemuzik.

TUJU / UNTUK KAMU 18/19
Black Hat Cat
Bersama produser Mingaling, Tuju melakar kanvas muziknya dalam sebuah persembahan album Hip-Hop yang cukup solid. Tujuh lagu yang terisi di album ini benar-benar mampu membuat pendengar Tuju puas dengan pengisiannya. Lagu seperti “Khayalan” dan “Jiwa Pusing” jelas identiti muziknya yang berbalut emosi yang bergolak dalam penulisan lirik yang bersifat personal. “Tenaga” saya sifatkan sebagai lagu terbaik di album ini yang momentum muziknya bergerak dalam sebuah arus yang mampu membolak-balikkan emosi pendengar.
ARTIKEL BERKAITAN