
Sebetulnya tiada apa sangat yang mahu dibicarakan tentang Anugerah Juara Lagu (AJL) tetapi lebih kepada perdebatan ilmiah dalam persoalan besar bagaimana lagu yang diangkat sebagai juara itu tidak hanya sekadar bergelar jaguh domestik.
AJL seperti semua sedia maklum sudah menjadi semakin predictable. Saban tahun kita sudah boleh menebak awal siapa gerangan juara yang bakal membawa pulang trofi kejuaraan. Melihat 3 tahun kebelakangan ini, AJL menjadi satu platform muzik yang cukup competitive sebenarnya. In a good and bad way.
Semangat untuk bergelar juara itu semakin meninggi di kalangan penyanyi mahupun komposer. Lihat sahaja fenomena #RoadToAJL yang bersepah-sepah digunakan. Sepertinya AJL ini penanda aras kekuatan sesebuah lagu itu.
Ramai yang cukup aktif dengan kempen #RoadToAJL tahun lalu pulang hampa di peringkat separuh akhir yang akhirnya memberi pesan apa sebetulnya? Adakah kegagalan ke final itu tanda lagu mereka lagu yang gagal? Tepuk dada tanya selera.
Saya tidak faham mengapa pemuzik hari ini mencipta lagu kerana mahu ke AJL. Belum lagi AJL34 bermula kempen #RoadToAJL berikutnya sudah berjalan – Adakah itu tujuan sebagai pemuzik berkarya? Berkarya untuk AJL? Takkan kot…
Budaya #RoadToAJL ini harus dihentikan kerana akhirnya sang pemenang hanya sekadar hidup sebagai jaguh domestik. AJL sudah lebih 30 tahun dianjurkan sebetulnya tidak langsung menyumbang kepada perkembangan muzik tempatan ke peringkat lebih besar.
Penganjur juga pihak-pihak lain seperti Recording Industry Association of Malaysia (RIM) tidak juga pernah mahu bekerjasama dalam merangka lagu-lagu yang bergelar juara ini diangkat ke peringkat lebih tinggi, keluar dari Malaysia.
Mungkin hal-hal begini tidak dilihat penting. Yang penting hanya kemeriahan pesta satu malam.
Bukan apa, terlalu rugi rasanya lagu-lagu yang sebagus “Apa Khabar”, “Jampi” dan “Haram” tahun lalu sekadar popular di sini sedangkan lagu-lagu ini punya acuan baru Pop Malaysia yang boleh dibawa ke pasar besar Asia setidaknya.
Maksud saya di sini lihat bagaimana Sheila Majid dan pengurusannya membawa Sinaran menjadi cukup dikenali di Jepun dan Indonesia. Can we learn something from the OG? Tidak mustahil perkara yang sama boleh dilakukan untuk “Haram” karya besar Ezra Kong dan Hael Husaini yang cukup moden bervisi.
Hal ini bukan sesuatu yang mustahil jika ada satu badan khusus yang mahu bekerjasama dengan penganjur AJL untuk sama-sama meninggikan standard muzik lokal ke peringkat lebih besar (internasional).
Dan dalam hal ini saya hanya melihat RIM sahaja yang mampu melakukannya jika mereka tidak sekadar fokus untuk update carta popular streaming mingguan.
Namun mungkin juga tiada usaha ke arah ini daripada pihak penganjur yang sekadar mahu sibuk mencari sponsor malam acara sebagai tabungan syarikat semata.

BTS menyumbang 4.1 Trillion Won buat Korea Selatan pada 2018.
Industri muzik tempatan (jika boleh disebut industri) dilihat tiada penyatuan ini dan tiada visi ini. Hal ini amat mengecewakan. Bukan mahu membanding pasaran muzik seberang tetapi apresiasi muzik di sini terlalu kurang.
Sedangkan jika diguna sebaiknya kreativiti showbiz sebetulnya mampu membantu ekonomi negara dengan sangat baik jika betul caranya. Lihat sahaja bagaimana BTS menyumbang 4.1 Trillion Won buat Korea Selatan. Baca di sini
Betul, masih jauh lagi perjalanan untuk kita sebesar Korea Selatan tetapi setidaknya berusahalah kita ke arah itu.
Di sinilah peranan penganjur, penaja, badan berwajib dan sokongan penuh kerajaan untuk bersatu mewujudkan satu dana khas dan melabur untuk lagu yang sudah diangkat sebagai juara tadi untuk di bawa ke peringkat lebih tinggi.
Pengeksportan Muzik ke peringkat global adalah hal yang harus difikirkan secara serius. Come on dah tahun 2020, sampai bila nak kejar trofi AJL?
Dan di dunia digital ini bukanlah sesuatu yang sukar apa pula mustahil untuk dilaksanakan semua itu. We just need one genius influential person untuk lead the plan and make it happen. Namun saya kira kita tidak melihat hal ini penting untuk negara.
Satu gerak khusus bagi lift up standard muzik tempatan secara besar-besaran harus dilakukan. Kita sudah terlalu lama syok sendiri melayan Balada berkhayal, indie yang masih moshing sesama sendiri di pentas gig, dan bedroom producer yang menghasilkan muzik segar tetapi masih tidak didengarkan.
AJL platform terbaik untuk merealisasikan impian ini kerana dalam tiga dekad penganjurannya, semua jenis lagu sudah diangkat sebaiknya tetapi perjalanannya lagu-lagu yang baik ini terhenti sekadar di situ tanpa justice.
Sayangnya bukan kerana apa, kerana sudah lebih tiga dekad berlangsung acaranya, yang diraikan hanya gemilang gemerlap cahaya pentas dan lampu kamera satu malam, kemeriahan di Instagram juga Twitter berminggu lamanya dan setelah itu another #RoadToAJL.
P/S: Dan sampai bila Bob hanya akan layak ke AJL kerana menyanyikan lagu orang lain? I mean Bob better than Andmesh kot!
ARTIKEL BERKAITAN
Melihat 10 Juara Lagu Yang Lalu Dalam Perkembangan Muzik Domestik Hari Ini