
Aina Abdul antara nama yang begitu underrated di pasaran mainstream tempatan. Mungkin berbalik soal rezeki bakat besarnya dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu tidak begitu diangkat di peringkat yang sebetulnya.
Persembahan pentas langsungnya dalam siri showcase di No Black Tie antara yang cukup sinonim dengan bakat ini. NBT ibarat taman permainannya dalam percaturan bakat yang dimiliki. Namun pasaran kecil pentas tersebut belum cukup menarik magnet pasaran muzik yang lebih besar.
Terakhir muncul cukup berkelas menerusi single “Shadow” tahun lalu, Aina sudah mencipta satu benchmark muziknya yang tersendiri. Pasaran urban tempatan sudah mengenal Aina dalam pertaruhan lagu lainnya seperti “Reminiscing” antara yang lainnya.
Tidak hanya mahu kekal dalam satu pasaran muzik semata, Aina tampil penuh emosi dalam single “Sumpah” yang kalau tidak lagi mengangkat namanya di persada muzik perdana entahkan apa lagi agaknya yang harus dia lakukan agaknya.
Kehendak pasaran muzik semasa hari ini saya kira kadang kejam sehingga menarik Aina untuk menghasilkan balada yang sebegini sekali.
Tetapi saya faham dedikasi Aina tinggi untuk kekal bermuzik dan buat sehingga tiada lagi yang mampu menolak apa yang dia tawarkan.
“Sumpah” bagi saya sudah siap sebagai naskhah mesra radio untuk diangkat dan dipopularkan. Saya terlalu mahu melihat Aina di satu tahap di mana semua orang tidak lagi menidakkan bakat besarnya dan dia boleh lakukan apa yang dia suka tanpa perlu lagi terikat dengan demand muzik popular.
Jika disuruh pilih sudah tentu Aina di pasaran “Shadow” lebih membanggakan tetapi saya faham, single “Sumpah” ini penting untuk dia evolve sebagai pemuzik yang lebih matang di masa hadapan. “Sumpah” harus beriring pemasaran yang bermodal besar untuk meletakkan lagu ini atau lebih tepat Aina ke tempat yang sepatutnya jika tidak ia akan berakhir dengan pelaburan yang sia-sia.