Nama Ahmadi Hassan dalam pasaran muzik 60-an 70-an pernah menyinggah dengan beberapa EP yang diterbitkan oleh M.Shariff bagi memeriahkan lagi jaluran muzik tersebut. Namun impak Ahmadi Hassan tidaklah begitu dirasai sebagai penyanyi Pop Yeh Yeh, dia lebih dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu ketuhanan.
Digelar dan dikenali di kalangan pengamat muzik sebagai Pak Chat, dia memulakan karier dalam bidang radio sebagai perantara drama radio sebelum menemukan peluangnya untuk bergelar penyanyi. EP “Ke Mana Mona” yang diedarkan pada tahun 1975 menjadi titik tolaknya bergelar penyanyi secara komersial.
Album kolaborasi bersama kugiran The Zurah itu membuka ruang dan peluang buatnya untuk lebih dikenali. Setelah itu bersama M.Shariff yang masih menerbitkan album-albumnya terhasil beberapa lagi EP seperti “Di Mana Kau Berada”, “Hanya Bayangan” dan “Kerunsingan”.
Ahmadi Hassan kemudiannya aktif dalam penghasilan lagu-lagu ketuhanan menerusi pengahsilan album “Iman Manusia” yang diterbitkan pada tahun 1980 di bawah label muzik NSR ketika itu. Menampilkan lagu seperti “Imannya Manusia”, “Bila Lagi”, dan “Kehidupan & Perjalanan”.
Dia yang mula mendapat tawaran nyanyian oleh M.Shariff ketika terlibat dalam pembikinan drama bersiri “Fajar di Bumi Permata” membawanya ke medan popular ketika itu. Percubaan menyanyikan lagu-lagu Hindi, Pop Yeh-Yeh menerusi penghasilan EP dan single untuk siaran radio RTM ketika itu.
Sepanjang berkarier Ahmadi Hassan menghasilkan lebih 8 album berunsur ketuhanan dengan infusi Nasyid Padang Pasir yang meletakkan namanya selepas fasa bersama pengurusan M.Shariff untuk lebih dikenali sebagai penyanyi Nasyid.
Sempat merakamkan sebuah album penuh berbahasa Arab yang penerbitannya dibuat di Cairo dengan judul “Samrah Ya Samrah” yang diedarkan pada lewat tahun 80-an. Namun album tersebut tidaklah begitu diberi perhatian media dan penggemar muzik ketika diedarkan sehingga membuatkan album tersebut sepi tanpa sambutan dan tidak diperkatakan.
Terakhir muncul dengan album berjudul “Bahagia Berkasih“, Ahmadi Hassan memperoleh trofi Album Nasyid Terbaik di pesta muzik Anugerah Muzik Indonesia ke-14. Kemenangan terakhir itu dinikmatinya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Ahmadi Hassan telah kembali ke Rahmatullah pada 17 Februari 2010 kerana komplikasi buah pinggang. Semasa hayatnya, Ahmadi Hassan berpeluang merakamkan 16 buah album berentak hindustan serta 8 buah album Pop dan Nasyid.
ARTIKEL BERKAITAN