
Pasaran muzik HipHop yang cukup booming di pertengahan era 2000 dengan nama-nama besar seperti Too Phat, Ruffedge, V.E dan lainnya memberi ilham buat pengurusan label muzik EMI ketika itu menzahirkan sebuah projek genius memberi sentuhan baru lagu-lagu popular Ella menerusi projek diberi nama “Urban Strike”.
Menampilkan nama-nama besar muzik Hip-Hop dan Urban Pop ketika itu, “Urban Strike” dizahirkan dalam sebuah album berisi 10 lagu yang rata-ratanya diberi sentuhan muzik yang cukup current dan moden tanpa mengubah terus ilham asal lagu-lagu popular Ella.
Dibuka dengan lagu “Simbiosis” persembahan Shazzy, hadir segar dengan feel Hip-Hop Shazzy yang dilatari vokal Ella yang menyenangkan. Rap Shazzy mendominasi keseluruhan lagu ini dengan baik dan hanya bahagian korus sahaja diambil daripada versi asal.
KRU merakam semua “Kitalah Bintang” dengan momentum muzik yang cukup lively. Tenaga di lagu ini menjadi agak berbeza dengan idea “TYCO” meets “Gorillaz” yang disatukan menjadi begitu sangat menarik. Perincian muziknya dikemaskan dengan instrumen trumpet menjadikan ia lebih segar dan baru.
Pendengaran saya teralih pada feel Soul dan R&B Ruffedge menerusi lagu “Gemilang” yang disusun muziknya dengan jazzy feels. Vokal grup ini berada di tahap yang sangat baik sekali mentafsir rendisi baru yang yang terhasil lebih soulful.
V.E menerusi “Sepi Sukuntum Mawar Merah” menghasilkan sesuatu yang cukup menawan sekali. Persembahan vokalnya, susunan muziknya dan feel nya begitu baik dan membuai sekali. Tidak salah kiranya saya meletakkan lagu ini antara remake yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah adunan semula lagu-lagu tempatan.
A beautiful performance by V.E – saya mengulang dengar lagu ini since ia dirilis dan biar sehingga hari ini lagu ini masih memberi impak yang serupa, meremang.
Keterujaan mendengarkan kembali album ini diteruskan dengan beberapa lagu lain seperti “Layar Impian” persembahan Too Phat yang terhasil antara yang terbaik di album ini. Mendengar another legend remake a queen song saya kira itu sejarah. Too Phat mengadun lagu ini seperti sebuah lagu baru, serba segar dengan pertembungan suara Ella yang diberi efek berbeza melatari lagu ini.
Album ini ditutup dengan lagu kolaborasi kesemua artis terlibat di album ini. “Standing In The Eyes of the World” sebuah naskhah malar segar yang tercipta sempurna semangatnya biar apa jua rendisi yang diadun semula. Dan di rendisi Urban Strike ini, lagu ini kedengaran lebih mewah, besar dan lebih tinggi spirit patriotisme nya.
“Urban Strike” sebuah projek yang cukup menarik pada pandangan saya. Di barat penghasilan album begini sudah banyak dihasilkan cuma di Malaysia masih kurang sekadar beberapa album seperti P.Ramlee Satu Indiepretasi, Legenda Sheila Majid dan terbaru Belagu Dayang Nurfaizah. Usaha begini seharusnya terus digiatkan dengan tujuan meninggikan terus kelangsungan lagu-lagu lama yang cukup hebat.
ARTIKEL BERKAITAN
10 Album Terbaik 80-an Ini Boleh Anda Nikmati di Saluran “Getaran Nostalgia”