
Aishah merangka kembara muziknya dengan cara yang cukup berbeza di album berjudul “Tiada Duka Untuk Apa” yang beredar sekitar 1996. Dengan memberanikan diri mencipta banyak lagu di album ini, Tiada Duka Untuk Apa menjadi arah baru muzik Aishah yang turut bergelar produser di album ini.
Dibuka dengan single “Tiada Duka” (Aishah / Stephan Small) sebuah adunan muzik fusion dengan infusi muzik nusantara – Persembahan muziknya hadir cukup berbeza dan unik sekali. Keberaniannya sebagai seorang pemuzik dan penyanyi yang mahukan kelainan itu sangat jelas di trak ini yang saya sifatkan sebagai lagu yang memberi satu pengalaman berbeza menikmati muziknya yang umum sedar cukup dominan dengan jaluran muzik Balada.
Namun album ini masih terisi beberapa Balada yang akan saya ulaskan di hujung penulisan kerana ada beberpa lagu lain yang cukup unik untuk dikupas dan begitu jarang diperkatakan umum. Atas faktor kebangkitan generasi baru muzik ketika itu menjauhkan sedikit album ini dengan pendengaran muzik semasa.
Album ini antara album Aishah yang paling kurang mendapat sambutan dari segi jualan, publisiti dan penghargaan di pentas anugerah muzik. Namun sebetulnya ia terisi dengan rangkaian lagu yang menjadi bukti kematangan bermuzik Aishah sepanjang dia bergelar penghibur.
Penghasilan lagu seperti “Wanita” (Aishah / Habsah Hassan) antara yang cukup meraikan kepelbagaian dalam muzik. Aishah keluar daripada zon selesanya untuk menghasilkan melodi yang cukup unik ini. Lagu seperti “Orientalism” (Aishah / Stephan Small) juga antara yang cukup menarik untuk dihayati penghasilan melodinya.
Pengaruh mendengar muzik luar saya kira memberi kelebihan buat Aishah dalam mentafsir muzik dengan caranya yang cukup tersendiri. Saya senang dengan penampilan Aishah secara keseluruhan di album ini yang bersifat lebih moden dan urban tetapi masih kental feel Melayu yang dikendong dalam penulisan lirik dan penyampaian vokalnya.
Hal ini dibuktikan lagi dalam beberapa lagu lain yang cukup baik penghasilannya seperti “Semalamalaman” (Aishah Stephan Small / Habsah Hassan) yang hadir dengan groove tersendiri dan punch yang cukup catchy untuk kita menikmati sehingga ke akhir lagu. Aishah benar-benar mengeksplorasi sisi berbeza yang dia miliki menerusi lagu ini dengan cukup baik sekali.
Aishah saya kira cukup evolve sebagai pemuzik di album ini. Lagu-lagu Balada masih bernadi tetapi dihasilkan dengan idea sedikit berbeza daripada apa yang pernah terhasil sebelum ini. Tiada lagi ilham Janji Manismu atau Cinta Beralih Arah, Aishah menciptakan Balada yang lebih classy dan lebih deep perasaannya.
Hal ini terbukti dalam lagu seperti “Hari-Hari Berlalu” (Rosli Selasih) dan “Untuk Apa” (Aishah) yang saya kira menjadi lagu yang cukup baik sekali penghasilan melodi dan penulisan liriknya. Killer Ballad di album ini bagi saya tentu saja lagu “Antara Cinta & Kasih” (Aishah) yang cukup menjual jiwa dan kemampuan vokalnya dengan sungguh merdu sekali.
Vokal Aishah di album ini masih menjadi senjata utama untuk kita benar-benar enjoy dengan pengasilannya. Tidak langsung mengecewakan malah Aishah di album ini lebih santai dalam penyampaian suara yang tidak lagi fokusnya pada nada-nada tinggi tepai lebih kepada penceritaan.
Hal-hal ini sangat jelas dalam lagu seperti “Ombak” (Aishah / Stephan Small) yang dibuka dengan secara santai Aishah bercerita dengan monolog yang disulam dengan korus singkat. Dia hanya berbicara dalam melodi yang cukup sedap sekali penghasilan melodinya. Tenang dan santai sekali.
Tidak salah kiranya saya meletakkan album ini sebagai album terbaik Aishah sepanjang karier muziknya selepas penghasilan “Asia.. Sedunia” yang turut ada ilham Folk / Soul / Pop serupa. Keunikan penghasilan melodi di album ini saya kira sesuatu yang harus diberi apresiasi yang secukupnya dan menjadi rujukan muzik anak-anak muda hari ini.
Kesemua lagu-lagu di album “Tiada Duka Untuk Apa” kini boleh didengarkan sepenuh di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN