
Nama Noorkumalasari berawal sebagai peragawati yang ketika di era 70-an sebelum mencuri tumpuan di lensa perfileman sebagai aktres. Bakat seni yang mengalir dalam dirinya itu diteruskan dalam pelbagai cabang seni yang lain termasuk bidang nyanyian yang memberikannya puluhan hits daripada 9 album studio yang pernah dirakamnya.
Mengambil ilham muzik 70-an dan 80-an yang cukup dominan dalam 3 jaluran muzik utama iaitu Balada, Joget dan moderate Pop, maka berkediplah bintangnya sebagai penyanyi yang cukup diraikan sepanjang era tersebut malah sehingga hari ini.
Noor mungkin bukanlah penyanyi papan atas yang bakatnya dipuja kerana nyanyian tetapi lebih kepada bidang lakonan. Namun tidak adil untuk menidakkan pengaruhnya dalam membentuk spektrum muzik di eranya itu. Cukup popular dengan rangkaian lagu dalam filem lakonannya, Noor begitu menyerlah dengan imejnya yang cukup moden. Tidak kurang menjadikannya sebagai ikon fesyen di era 80-an.
Album perdana yang diterbitkan Akhbar Nawab bersama EMI pada tahun 1978 menjadi pertaruhan sulung yang membuka laluannya bergelar penyanyi untuk siap bergerak seiring dengan penyanyi handalan lainnya ketika itu seperti Shrifah Aini, Anita Sarawak, Uji Rashid juga Salamiah Hassan ketika itu yang sudah mencuri perhatian dengan rangkaian hits mereka.
“Kau Dalam Ingatanku” dirakam ketika dia berusia 22 menampilkan 10 lagu yang rata-ratanya dicipta Akhbar Nawab. Kental dalam jiwa Pop Melayu album ini sebetulnya hanya mengikut formula serupa yang ada di kebanyakan album yang beredar di pasaran muzik Malaysia ketika itu.
Lagu-lagu seperti “Ke Arah Kecantikan“, “Jika Mahu Kenal”, “Hari Mana Bulan Mana” dan “Pandang Memandang” begitu dominan bunyi Akhbar Nawab dalam rangkaian lagu sebelumnya yang pernah dia hasilkan. Lagu-lagu begini tidaklah begitu menyerlahkan kemampuan vokalnya dan tidak juga dalam penghasilan melodi yang baru tetapi masih acceptable untuk bakat baru ketika itu.
Album kedua Noor turut diproduksi Akhar Nawar yang masih mengendong ilham serupa. Hanya di album ketiga sahaja Noor saya kira lebih menyerlah bersama S.Atan menerusi album berjudul “Aku Dan Dunia Seni” (1980) yang menampilkan hits “Selamat Pagi Sayang” dan “Biarlah Ku Sendiri” yang penghasilan melodinya lebih solid dan bersifat evergreen. Kualiti vokal dan feel Noor di lagu “Biarlah Ku Sendiri” itu sendiri jauh lebih baik, ready dan matang.
Sebuah lagi melodi syahdu di album ketiganya itu berjudul “Malam & Rindu” antara personal favorite saya. Berjalan dalam tempo melodi Balada 80-an yang tipikal dibaluti nyanyian Noor yang lebih lembut dan tersusun berbanding apa yang pernah dirakam di dua album terawal.
Noorkumalasari setelah tiga album tidak langsung mahu memperlahankan langkahnya sebagai penyanyi malah saban tahun pasti terhasil sebuah album penuh untuk terus mengisi kalendar bermuziknya sebagai anak seni.
Album berjudul “Mata” yang diterbitkan pada tahun 1982 saya sifatkan antara album terbaik yang pernah dihasilkan Noor sepanjang karier muziknya. Nama produser hebat seperti Fauzi Marzuki memberi warna baru dalam pasaran muzik Noor yang lebih moden dan berwarna.
Popularitinya berterusan sehingga ke era pertengahan 80-an dengan rangkaian hits duet bersama Sudirman menerusi lagu “Bimbang Terluka Lagi” yang diterbitkan menerusi album berjudul “Wajah” yang juga dikelolai Fauzi Marzuki. Kemunculan nama baru ketika itu seperti Sheila Majid dan Ramlah Ram tidak langsung menggugat popularitinya sebagai penyanyi selain kekal utuh sebagai primadona perfileman tempatan.
“Inilah Noor” menjadi album rakaman studio terakhirnya sehingga hari ini. Noorkumalasari terus menjadi nama yang sentiasa akan kita ingat jika berbicara tentang pasaran muzik 80-an khususnya. Dari pentas peragaan ke lensa kamera terus ke studio rakaman bergelar penyanyi – Noorkumalasari sebutir bintang yang gemerlapnya akan terus memancar dengan rangkaian hits yang sudah bergelar malar segar.
ARTIKEL BERKAITAN
Melayani Perasaan Dalam 8 Balada Terindah Biduanita Sharifah Aini