
Keberagaman muzik di era 90-an membenarkan apa jua jaluran muzik diterima meluas tanpa sempadan. “Nuradee” satu daripadanya. Duo Pop berasal kota Singapura ini sempat singgah ke Malaysia menjual ilham muzik mereka menerusi sebuah album bersama EMI Music berjudul “Diam”.
Beredar pada tahun 1996 ketika Dangdut dan Nasyid begitu booming mencuri perhatian pendengar, Nuradee singgah dalam trend tersebut dengan mengembalikan ilham Puisi yang dilagukan menerusi album berisi 10 lagu keseluruhannya ini.
Membariskan nama produser yang cukup besar seperti Manan Ngah dan Eddie Marzuki, hampir kesemua lagu di album ini ditulis sendiri dua beradik ini. Kemasan muziknya dikomersilkan dua produser hebat ini dengan arah yang cukup mesra pendengaran.
“Diam” membuka album ini sebagai pengenalan yang cukup baik untuk kita dekat dengan ilham muzik duo ini. Lagu ini cukup kuat dalam penulisan liriknya yang cukup humanis. “Diam bukan bererti ku marah, bukam bererti ku resah, Hanya mencari ketenangan dalam keriuhan.”
Menikmati Nuradee saya kira lebih bermakna jika anda memahami teks lirik yang ditulis. Disulam kemas dalam melodi yang tercipta dalam persembahan vokal yang cukup sederhana. “Selagi Masih Ada” sebuah lagu yang menarik perhatian saya.
Penghasilan melodi di lagu ini cukup kuat pengaruh Pop Melayu 90-an namun dikemaskan dengan lirik yang cukup baik. Tentang pengharapan dan kehidupan. “Bangkitlah jiwa yang sering alpa, Membiarkan diri dilena, Oleh pesona dunia.” Cukup cantik sekali susunan bahasanya.
Nuradee bersama EMI hanya sempat hadir dengan sebuah album ini sahaja. Single “Diam” sempat berputaran di saluran radio tempatan ketika diedarkan namun masih belum mampu melawan kehangatan Dangdut, Nasyid dan gelombang Siti ketika album ini beredar.
Namun saya kira lagu-lagu mereka di album ini masih cukup menarik untuk didengari, dinikmati dan dikupas biar mendengarnya hari ini. “Mendung di Hati” dan “Tujuh” antara yang saya kira cukup kuat pengaruh M.Nasir dalam penghasilan melodinya.
Album ini saya kira cukup komersil jika mahu dilabelkan sebagai sebuah album puisi. Berbanding Kopratasa yang lebih berat pengisiannya baik melodi mahupun lirik. “Nuradee” menerusi album “Diam” kini boleh dinikmati sepenuhnya di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”
ARTIKEL BERKAITAN
Seriosa Puisi Dalam Muzik “Kopratasa” Menerusi Album “Kunci” (1987)