
Lagu: Veto
Artis: DJ CZA / MK / TUJULOC
Komposer / Lirik: DJ CZA / MK / TUJULOCA
Produser: DJ CZA
Gelombang muzik Hip-Hop masih belum kelihatan mahu memperlahankan geraknya. Satu per satu rilis dikeluarkan baik dari label besar sehingga bakat-bakat indie, semuanya hadir dalam ideologi serta visi Hip-Hop tersendiri.
Dalam legasi komersil nama seperti MK, TUJULOCA antara yang sedang diperhatikan, dinantikan karya-karya mereka. Bernafas atas penggayaan rap yang tersendiri dengan attitude berbeza mereka bersatu dalam sebuah naskhah DJ CZA berjudul “VETO”.
Bergerak dalam rencana muzk DEFJAM Asia, “VETO” menyatukan dua generasi Hip-Hop dalam sebuah naskhah Hip-Hop yang saya sifatkan cukup berat pengisian serta visinya.
DJ CZA yang lebih awal bermuzik bersama Ahli Fiqir meneruskan langkash sebagai music producer yang banyak menghasilkan beat lo-fi menerusi beberapa naskhah yang beredar sebelum ini.
Kompilasi karyanya yang menggabungkan beat lo-fi bersama R&B juga Jazz di album seperti “Analog” (2021) juga “Lifted” (2020) tidak langsung memperlihatkan “keras” muziknya seperti apa yang diilhamkan menerusi “VETO”
“VETO” terhasil cukup kemas bagi saya di penghasilan melodi serta beatnya. Terilham daripada lagu berjudul “Dior” oleh Pop Smoke, saya kira DJ CZA tahu apa yang penggemar muzik muda hari ini mahukan lantas mengahsilkan “VETO” dalam ilham serupa.
Saya lebih tertarik menggali isi cerita dalam penulisan lirik MK dan TUJULOCA yang membuat saya membuka kembali carian kamus dewan mencari erti sebahagian kosa kata yang digunakan.
Kesungguhan mereka bertiga dalam penulisan lirik yang tidak hanya mahu mencukupkan kuota rima di hujung ayat amat saya puji. Isu berat tentang dominasi juga kuasa ini sedikit sebanyak mengingatkan saya pada lagu “Kuasa” Joe Flizzow.
“Terbang dengan nirmala,
Tambah tolak menang kalah,
Satu jalan ekahala,
Gambaran bukti yang menyala.”
Attitude Loca B memberi warna yang cukup menarik dalam lagu ini saat dia melantun “Datang bagai bencana, Karya kaya kencana, Rahmat dari yang maha, Zahir batin ku siaga.” Saya kira bergerak sebagai sebuah bait feminisme dalam lagu yang menjadi wakil suara yang mahu didendangkan.
“VETO” saya kira terhasil sebagai sebuah naskhah muzik yang mengalirkan satu visi juga ambisi bermuzik untuk kita sebagai pendengar memahami dan mendalami keberadaan pemuzik muda seperti MK dan TUJULOCA dalam pasaran muzik mainstream hari ini bukanlah sekadar mengisi ruang kosong yang ada dengan seadanya tetapi bergerak wakil suara masa depan muzik tempatan.
Hal ini sangat jelas saat TUJU mengalirkan kata-kata “Ego ku sang perkasa, Setiap hasil ku perkosa, Menanti waktu dasawarsa, Hikayat sampai ke adiwangsa.”
Naskhah ini saya kira bukan untuk penggemar Pop biasa yang sekadar mahu enjoy dengan melodi ringan, catchy korus atau sekadar nak layan runs lagu-lagu sedih tak berhujung. Tetapi ia dihasilkan untuk pendengar yang sedia untuk satu landskap muzik tempatan yang lebih besar ideologinya.
8.3/10
ARTIKEL BERKAITAN
Bihzhu Mengembalikan Keindahan Melodi “Chendering” Dengan Penuh Pesona