
Kejayaan lagu-lagu raya era baru seperti “Raya Raya Raya” (Dolla), “Bersyukur Seadanya” (Hael Husaini), “Pejam Celik Raya” (Iman Troye) yang bermulanya lewat 2019 sehingga memasuki kalendar era baru 2020 mencipta satu landskap berimpak beza. Lagu-lagu yang dihasilkan moden dengan indusi nostalgia yang menangkap pendengaran dengan melodi catchy.
Ia berterusan panjang sebetulnya dengan satu kemeriahan dan kreativiti penciptaan. Terhasilnya “Suara Lebaran Kita” kolaborasi Hael Husaini bersama Dolla di tahun 2022 datang cukup ekstrem dengan pengaruh muzik EDM juga K-Pop sebagai pengisian melodi raya ketika itu. Ia mencabar ramai pemuzik di luar sana yang mahukan impak serupa dalam penghasian lagu-lagu raya.
Mengapa? Mudah, kerana capaian tinggi membawa jumlah strim yang tinggi, faktor viraliti dan keberadaan seorang penghibur untuk kekal relevan. Atas faktor-faktor tersebut jugalah De Fam kembali mengumpulkan pendengar mereka lewat lagu “Alamak Raya Lagi!” (2024) yang sehingga hari ini sudah distrim lebih 7 juta di Spotify dan dengan jumlah tontonan muzik video di YouTube 65 juta tontonan.

Ini impaknya dan batalion pemasaran label muzik semakin faham kepentingan penghasilan lagu raya mampu memberi satu ruang untuk menaikkan kembali artis-artis mereka jika percaturannya tepat. Formulanya? Lagu yang catchy, up beat Pop dengan penulisan lirik santai bersahaja dan gimik di TikTok – faktor sebut-sebutan komuniti di aplikasi tersebut.
Maka sekitar tahun 2024 bertumbuhnya jumlah lagu-lagu raya dengan cukup menggila. “Ketipak Ketipung Raya” (Aisha Retno / Aziz Harun), “Raya Mana?” (Nabila Razali), Raya di Rumah Dinda” (Dina & Xpose), “Pejam Celik Raya” (Iman Troye) dan “HAHAHARI Raya” (Ernie Zakri) mencipta momen raya lebih beragam diraikan dengan persembahan lagu-lagu yang datang dengan idea baru.
Sehingga tahun lalu kehangatannya semakin dirasai. Penghasilan lagu-lagu raya dilihat sebagai satu portfolio baru penyanyi-penyanyi tempatan. Maka dengan itu Mimifly yang kembali mendapatkan tempat di kalangan pendengar dengan single “Angkat” hadir dengan “Serumpun”.

Nadeera mencipta lebih momen setelah “Bukan Lagi Kita” dengan fenomena “Meriah Lain Macam” bersama Hael Husaini. Lagu-lagu lain seperti “Nyam, Nyam Ketupat”, “Raya Nak ke Mana”, “Jodoh Hari Raya” dan “Galok Raya” menjadikan jumlah lagu raya tahun sudah semakin menular.
Hael Husaini sendiri sudah memiliki hampir sepuluh lagu raya (atau lebih) sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun ini menambah lagi portfolio lagu-lagu rayanya terhasil dua lagu “Lagu Raya Untukmu” dan “Raya Macam Raya” bersama ALPHA.
Kemeriahan penghasilan lagu-lagu raya yang cukup banyak ini mengingatkan saya ketika di era 90-an di mana label muzik berlumba-lumba menghasilkan tidak hanya single tetapi album raya. Warner Music dengan barisan penyanyi seperti Raihan, Sheila Majid, Saleem, Jamal Abdillah, Rem, Nurul dan Ajai.

SRC tentunya dipenuhi dengan album dan lagu-lagu raya Siti Nurhaliza selain penghasilan kompilasi raya yang menampilkan Liza Hanim, Anis Suraya, 2 by 2 dan Mazleela antaranya. Sony Music turut tidak ketinggalan dengan penciptaan lagu-lagu raya Aishah, Amy Mastura, Erra Fazira dan Shima antaranya.
Pak Ngah dan S. Atan menjadi produser muzik prolifik dan legenda yang sudah menciptakan lagu-lagu raya untuk hampir kesemua penyanyi yang ada di era 90-an. Siapa sahaja tidak pernah menyanyikan lagu-lagu ciptaan mereka? Daripada Sharifah Aini ke Siti Nurhaliza malah Ernie Zakri. Berganti generasi beralun melodi dan penciptaan.
Dan fenomena lagu-lagu raya perlahan ketika memasuki era 2000 pabila pemuzik indie mendominasi pasaran. Lagu-lagu raya yang dihasilkan tidak lagi memiliki elemen evergreen tetapi lebih berpaksi pada identiti muzik pemuzik yang ada. Hujan, Yuna, Meet Uncle Hussein, Butterfingers, Ana Rafali antara yang memiliki lagu raya tetapi hari semakin terpinggir, dilupakan dan tidak begitu diperdengarkan lagi. Sementara dan tidak timeless.

Lebih 60 lagu siap diedarkan sehingga artikel ini ditulis.
Tahun ini lebih meriah dan menggila. Saya sebutkan sebagai sebuah “Euphoraya” – kegilaan penghasilan lagu raya yang cukup massive dan tiada batas. Ini sebuah petanda baik sebetulnya bahawa pasaran kita semakin bertumbuh, kompetitif dan beragam. Ia mencabar setiap karyawan muzik yang ada untuk menciptakan sesuatu yang tidak hanya kreatif tetapi memiliki sifat berdaya saing yang sihat.
Daripada barisan penyanyi papan atas sehingga ke penyanyi baru malah pelakon (Diana Danielle, Fazura, Nabil) semua setidaknya mencuba memberi satu keterujaan. Yang harus kita raikan adalah keberagaman yang ada. Lagu raya tidak adil jika hanya mahu dinilai daripada sudut nostalgia kerana generasi berganti memiliki perspektif sendiri tentang bagaimana ia harus dibentuk mengikut peredaran zaman.
Pilihan terbuka, masih banyak lagu-lagu raya yang mengambil ilham muzik tradisional Melayu dan untuk generasi kini pasti banyak yang mahu mendengarkan sesuatu yang relevan pada pendengaran mereka. Tiada istilah lagu raya zaman sekarang tidak sebaik zaman terdahulu kerana muzik berevolusi dan setiap evolusi menuntut masa untuk difahami dan didekati.