
Setahun lagi seperti tahun sebelumnya, Muzik Kita mendengar dan mencari tahu apa yang mengujakan sepanjang tahun menerusi senarai 50 Rilis Terbaik 2024.
Tahun ini dibuka dengan keterujaan menikmati EP Hael Husaini yang cukup cemerlang dibentuk landskap Pop yang penuh dinamik dan menjadi ruangnya untuk bergerak lebih kreatif. Syiqin Azln menjadi kejutan manis dengan focus track “Kita Pernah Bahagia” yang menggugah ilham Folk dalam cara yang cukup melankolis. Lunadira cemerlang dengan album solo perdananya membawa landskap Pop tempatan ke tahap yang semakin menarik untuk diikuti.
Balada masih lagi mendominasi pasaran muzik tempatan “Masihkah Ada Rasa Itu?” membuka ruang untuk Misha Omar meneroka satu lagi acuan Balada yang cukup beremosi tanpa menjadi terlalu kompleks. Haqiem Rusli cemerlang bersama produsernya Bajai untuk menghasilkan sesuatu yang cukup evergreen lewat “Sangkar Derita” – suka atau tidak, fenenomenanya tidak boleh ditiadakan. Jelas sambutan pada Balada “Leman” ini cukup berpengaruh.
Dan atas alasan itu jugalah Siti Nordiana memutuskan untuk memiliki sebuah duet bersama Tomok yang juga diedarkan tahun ini. Iera Milpan, Usop dan Syazwan Syahmi menjadi penerus akan sebuah juang melestarikan Balada sebegini yang tidak mampu dinafikan keberadaan mereka. Jika melodi dan produksinya baik – ia masih harus diraikan.

Carta muzik streaming berpihak terus pada Ernie Zakri untuk benar-benar bersinar dengan langkah berbeza. Keputusan untuk merakam “Masing-Masing” probably the best decision sepanjang karier bermuziknya, menjadikan lagu yang dirilis pada tahun lalu terus cemerlang menawan pendengaran senusantara sepanjang tahun ini.
Bakat-bakat underground akan terus Muzik Kita raikan untuk menjadikan landskap muzik tempatan dilihat menjadi satu. Tiada lagi batas indie – mainstream harus menjadi persoalan kerana semua harus diraikan dan didengar dengan terbuka. Dan hanya dengan keterbukaan sahaja kita mampu bertumbuh sebagai satu ekosistem muzik yang matang.
FUGO, No Good, Satwo, Awang Samrow, Margasatwa dan Mafidz antara yang sudah menghasilkan album yang begitu berkualiti. Menongkah arus muzik semasa yang tidak kalah pada nilai komersialnya untuk dibesarkan sifatnya sebagai naskhah yang berbilang pendengar. Jika ruang yang sama diberikan pada bakat-bakat ini sepertimana kita meraikan bakat Pop yang lainnya, pasaran muzik tempatan akan begitu berwarna.

Begitu juga dengan bakat-bakat Hip-Hop yang semakin ramai dan meriah situasinya tahun ini. Lucidrari boleh diletakkan sebagai bakat masa depan yang siap untuk menjadi pelapis Joe Flizzow, Sonaone dan juga Yonnyboii dan K-Clique yang sudah siap melunaskan tanggungjawab mereka dalam melestarikan jaluran muzik ini di pasaran muzik tempatan. Kini tiba nama-nama segar seperti gagasan 53 UNIVERSE, Quai, FITTO, SWANZ bersama Lucidrari pula menjadi generasi penerus. “Mr. Nobody” antara lagu yang harus diberi lebih perhatian.
Sebetulnya kalau kita mampu menjadi penikmat muzik tanpa mengira batas indie – mainstream atau apa sajalah istilahnya, kita akan lebih terbuka memberi apresiasi pada semua jaluran muzik tanpa terikat dengan apa yang kita suka dan mahu dengarkan sahaja.
Muzik Kita di sini selalu mahu membentuk satu pemikiran yang bebas dalam muzik tanpa perlu ada batasan tertentu. Semoga di tahun 2025 mendatang atas keterbukaan yang ada kita semua mampu menjadi masyarakat yang pancainderanya semakin celik dan terbuka meraikan muzik. 50 RILIS TERBAIK 2025 SEPERTI BERIKUT

1. CAMPAK BINTANG (FAIZAL TAHIR / M. NASIR)
(Faizal Tahir / Romeo / Glowrush / Karim Karam / Faithful Music / Luncai Emas)
Naskhah yang tepat untuk sebuah kolaborasi yang sangat dinanti. “Campak Bintang” dihasilkan dalam sebuah konteks muzik yang melengkapi kehendak pengalaman dan penyatuan muzik yang begitu diperlukan. Melodi dan lirik disatukan dalam sebuah produksi muzik yang cukup solid, mengikat pendengaran dan cukup puas dihayati. Selam jauh ke pengisian liriknya, “Campak Bintang” nyata mendepani mana-mana lagu yang dihasilkan tahun ini.

2. DIAM (HAEL HUSAINI)
(Hael Husaini / Iqie Hugh / Maesat Broadcast Network Systems)
Melodinya addictive, teras Popnya dimanipulasi sebaik-baiknya dengan susunan muzik yang cukup current dan dinamik. Korusnya semakin baik di bahagian kedua sehingga penghujung. Sempurna sebagai sebuah Pop yang cukup tenaga, kreativiti juga nilai komersil yang cukup tinggi. Ini antara Pop yang cukup hebat dihasilkan tahun ini. Segenap aspek membaluti dan berfungsi sempurna – baik melodi, lirik, kemasan muzik sehingga persembahan vokal Hael Husaini yang semakin bijak membentangkan naratifnya.

3. MUNGKIN KE? (DAYANG NURFAIZAH)
(Aisha Retno / Radi / DN & AD Entertainment)
“Mungkin Ke?” menjadi sebuah kelangsungan Pop R&B yang cukup cemerlang buat Dayang Nurfaizah. Persembahan muzik begini begitu membebaskan Dayang dalam satu attitude bermuzik yang cukup menyerlahkan sisi terbaiknya sebagai vokalis handalan. Melodi ciptaan Aisha Retno bersama Radi ini adalah definisi sebenar Dayang Nurfaizah untuk terus kekal current, segar dan timeless.

4. MASIHKAH ADA RASA ITU? (MISHA OMAR)
(Sharon Paul / Misha Omar / Que Afiq / Alternate Records / Sony Music MY)
Banyak Balada tahun ini yang datang dengan pelbagai aturan muzik serta melodi yang beragam. Tetapi “Masihkah Ada Rasa Itu?” mendepani sebuah emosi dalam lagu yang cukup dalam. Itu kelebihan seorang Misha Omar dan lagu ini membaluti selengkapnya kemampuannya menyentuh pendengar. Apa yang dihasilkan di lagu ini sesuatu yang simple tapi sampai tanpa perlu tertalu memaksa pendengar terlarut dengan pelayaran emosinya.

5. SANGKAR DERITA (HAQIEM RUSLI)
(Haqiem Rusli / Acap S / FMC Music)
Tidak mampu menolak landskap Balada “Leman” – Haqiem Rusli membawa sesuatu yang cukup evergreen tanpa terikat dengan produksi muzik yang biasa-biasa. Asas melodinya ditinggikan dengan kemasan muzik yang sangat baik oleh Bajai. Korusnya mengikat dan semakin ia ke hujung pendengar semakin dilarut persembahan flawless Haqiem Rusli yang jarang gagal dalam penyampaiannya. Berbekal lagu ini juga ia akan menjadi kelangsungan panjang nadi bermuzik Haqiem di pasaran muzik semasa.

6. IMAN (ISMAIL IZZANI)
(Joe Flizzow / SonaOne / Deekid / ALEXANDER OGHENETEJIRI ANIDI / Def Jam Recordings MY)
Kembalinya Ismail Izzani ke pasaran muzik tempatan dengan ilham muzik yang cukup segar. Afro beats dalam persembahan R&B yang cukup moden senang dinikmati. “Iman” arah baru muzik yang harus dia terokai dengan lebih lagi kerana apa yang dihadirkan dalam komposisi Joe Flizzow bersama SonaOne ini melengkapi kehendak pasaran muzik tempatan yang begitu memerlukan sesuatu yang segar seperti ini. Forward dan seiring apa yang ada di pasaran muzik global.

7. GADISKU (LUCIDRARI x FITTO x GARD)
(Megat Shazrul / Putra Haika / Midlyfe Records)
Lucidrari is a music future. Potensi dalam muzik yang dia miliki sudah ditafsir dengan sebaiknya lewat album “CHRONOSPHERE” dan single “Gadisku” ini cemerlang membentuk satu arah muzik yang cukup sebagai pengenalan buatnya mendominasi pasaran muzik yang lebih lebih besar skala pemasarannya. “Gadisku” tidak hanya sekadar sebuah lagu tetapi bergerak sebagai satu wakilan suara generasi baru dalam muzik yang harus diterima terbuka dan diraikan sebaiknya.

8. RAHSIA TUHAN (NOH SALLEH)
(Hujan Selaseh)
“Rahsia Tuhan” dihasilkan cukup personal dan poetic. Lagu ini melepaskan satu sisi lain Noh sebagai seorang pemuzik dengan lebih menyentuh dan lembut. Kedewasaannya sebagai pemuzik benar-benar diserlahkan di lagu ini yang menuntut emosi seorang lelaki yang diluluhkan dengan penulisan lirik yang penuh humanisme. Lagu ini akan kekal sebagai sebuah naskhah Noh yang akan terus diraikan dalam jangka masa yang panjang dan Noh Salleh harus kita perakui sebagai salah satu soloist terbaik yang kita ada hari ini.

9. BUKAN LAGI KITA (NADEERA)
(Hael Husaini / Iqie Hugh / Rocketfuel Entertainment / Huge Entertainment)
Menerusi “Bukan Lagi Kita” Nadeera menemukan ramuan terbaik untuk muziknya diraikan dengan lebih baik. Komposisi Hael benar-benar memberi justifikasi buat Nadeera kebolehan Nadeera mewarnakan nyanyiannya. Produksi muzik Iqie Hugh dihidupkan dengan satu suntikan segar mendengarkan Balada yang memiliki satu sisi berbeza. “Bukan Lagi Kita” paksi terbaik untuk Nadeera terus merangka sebaiknya sebuah jurnal muziknya sebagai penyanyi pelapis.

10. RISIKO (Benzoloo / Ghidd Isobahtos / Meerfly / Tuju / MK)
(KINGGOLDDIGGA / BENZOOLOO / GHIDD / MEERFLY / MK / TUJU / TWNTYTWO DEGREE)
Mungkin setelah “Mimpi” ini adalah kolaborasi Hip-Hop yang paling menarik dan memiliki satu impak yang besar. “Risiko” datang dengan satu idea, pemikiran dan attitude yang lengkap mentafsir arah tuju muzik Hip-Hop tempatan yang tidak lagi perlahan langkahnya. Setiap satu rapper di lagu ini memiliki momen tersendiri dalam menyerlahkan identiti dan stail rap mereka yang membentuk “Risiko” sebagai sebuah persembahan Hip-Hop yang cukup cemerlang tahun ini.
11. PP At Bukit Tabur (53 UNIVERSE / YBJ)
12. Takyah (SonaOne)
13. Pentas Sandiwara (FUGŌ)
14. Aku Rindu (Amir Jahari)
15. Datanglah Sang Puteri (NAKI)
16. Mr. Nobody (53 UNIVERSE / Izhar / LastKhalif)
17. Janji (Aziz Harun)
18. Surrender (Daiyan Trisha)
19. No Speakka English (No Good)
20. Puisi Keras Seorang Lelaki (Teman Lelaki)
21. Kayuh (Mafidz)
22. Naluri (S.O.G / Boniex)
23. Samudera (Aisha Retno)
24. LDR (Daiyan Trisha / Naim Daniel)
25. Perih Jerih (Masdo)
26. Lemah (Dayang Nurfaizah)
27. Dulu, Kini & Akhirnya (Marsha)
28. Jangan Biar (Ramayan / Lunadira)
29. Sesal Tak Bermakna (Jaclyn Victor)
30. Papertag (lucidrari / FITTO / DANNQRACK / Eemrun)
31. LOWLOW (lucidrari / FITTO / Saixse)
32. War Cry (Alena Murang / Marsha / Velvet Aduk)
33. Tetap Di Sini (Dayang Nurfaizah)
34. Selama Berdua (Firdaus Rahmat)
35. TONY (QUAI / LastKhalif)
36. LUV (Ernie Zakri / Sabronzo)
37. Believe in Love (Kayda / Sheila Majid)
38. B.D.T (Jaclyn Victor)
39. Usia (Hael Husaini)
40. Hari Tua (Najmi Niery)
41. Pok Snahu (Awang Samrow)
42. Orang Kita (Panklima)
43. Watak Utama (Yuna / BCL)
44. Di Mimpiku (Hazama)
45. Pesan Terakhir (Mohsein Kush)
46. Calar (Amir Masdi)
47. Simfoni Hati Beradu (Aizat Amdan)
48. Secebis Kamu (Syiqin Azln)
49. Nadi (Yonnyboii / Jobranco)
50. Di Sini (SWANZ)