Perjalanan dalam bidang seni yang dilaluinya tidak singkat. Menginjak usia dua dekad dengan laju perlahan roda berputar tidak membuatkan Marsha walau sekejap terfikir mahu menghentikan langkahnya. Menerusi GLAM penulis Muzik Kita mengulik ruang fikir dan rasa Marsha Milan – 15 Julai 2022.
Kelibatnya sebagai pelakon semakin penuh mengisi siaran televisyen bersilih ganti. Belum sempat siri The Maid musim kedua yang sedang berjalan tamat tayangannya, bersilang pula dengan tayangan siri berjudul Seribu Nina di aplikasi VIU. Dua watak berbeza dalam kisah dari latar yang lain memberi satu dimensi baru perjalanan seni hiburannya. Wajah dan bakat Marsha Milan hari ini semakin diraikan.
How do you see yourself now?
“Marsha sekarang lebih matang. Kalau dulu Marsha boleh katakan agak struggle untuk cari direction dengan zero knowledge. Tapi sekarang apa yang Marsha lihat Marsha lebih understand the job well and also the work momentum. Tujuh belas tahun dalam bidang hiburan perjalanan yang panjang dan mematangkan I must say. I see things in different way, in a more matured way.”
Melangkah dalam bidang hiburan sebagai seorang penyanyi, tidak membataskan bakat seninya dalam bidang muzik sahaja. Mungkin percaturan untuk bergelar penyanyi di Malaysia tidaklah semudah diduga, Marsha meniti landasan berbeza dalam bidang hiburan yang cabangnya sangat beragam dengan bergerak sebagak aktres dan sesekali wajahnya kelihatan juga sebagai pengacara televisyen tempatan.
Saya menemubual Marsha ketika dia masih di Kelantan sedang sibuk dengan penggambaran filem terbarunya berjudul “Don Dukun” yang turut menampilkan Zul Ariffin, Douglas Lim dan Sangheeta sebagai wajah pelaris. Dalam kesibukan itu masanya harus juga saya curi untuk berkongsikan perkhabaran terbarunya bersama pembaca.

Apa yang sedang diusahakan lagi sekarang?
“Julai bulan yang sangat sibuk untuk Marsha. Selain sedang shooting filem, Marsha juga akan mengeluarkan single baru 25 Julai nanti. Tajuknya “Kembali Terang” sebuah lagu Balada yang Marsha harap dapat meneruskan kelangsungan populariti lagu Cinta.”
Berkongsi keterujaannya itu Marsha berkata dia bersama pihgak pengurusan sedang bekerja keras untuk pelan pemasaran lagu ini supaya ia capai kepada sasaran pendengar. “Apa yang lebih buat Marsha excited nak share tentang single ini adalah Marsha sendiri akan direct music video lagu ini. Semua sudah disiapkan tinggal hari shooting sahaja, jadi bulan ni memang sangat sibuk but it really makes me happy.” Ujarnya lagi.
Jika dilihat portfolio kerjaya Marsha, fokus dalam bidang hiburan agak bercabang – lagu baru sentiasa ada setiap tahun, sesekali berlakon dan kadang mengacara. Kepuasan untuk Marsha itu sebenarnya di cabang yang mana?
“Oh ini soalan yang paling Marsha tak tahu nak jawab bila orang tanya. I always have this dilemma whether I am more on acting or singing. Memang betul Marsha bermula dengan nyanyian tapi bila dah mula berlakon Marsha nampak kepuasan berbeza dalam lakonan. Hard to say which one I like to do more sebab sebenarnya kedua-dua cabang ini bagi kepuasan berbeza untuk Marsha.”
Tidak sah rasanya kesempatan berbual dengannya ini tanpa menitip kembali memori Anugerah Juara Lagu yang memberi dua kemenangan buatnya menerusi kategori Persembahan Terbaik dan bergelar Naib Juara program hiburan yang sentiasa menjadi dambaan semua penyanyi dan komposer tempatan itu.
Setelah beberapa bulan kemenangan di pentas AJL, how do you feel now?
Masih overwhelmed dan Alhamdulillah atas kesempatan yang diberi. AJL adalah satu milestone buat kerjaya seni Marsha, satu momen yang sangat buat Marsha happy. Tapi sebenarnya bila difikirkan sekarang ia jadi hal yang Marsha takut. What’s next? Am I going to move forward or backward after AJL? Persoalan yang macam ni buat Marsha jadi overthinking and hold back banyak benda. Sebenarnya tak bagus kan ada perasaan macam tu tapi itulah kadang terbawa-bawa bila difikirkan balik.
Selepas malam kemenangan di AJL tempoh hari ada tak perasaan untuk perform lagi di pentas serupa dengan naskhah yang lain? “Teringin mesti teringin kan. Tipu kalau tak. Tapi itulah andai kata dapat lagi peluang untuk Marsha ke pentas AJL I would like to see the healthier version of myself performing. Sebab masa AJL yang lepas tahap kesihatan tidak seratus peratus baik.”

“Cinta” memberi satu ekamatra berbeza dalam perjalanan muzik Marsha. Menginjak usia dua dekad berkarier dengan satu momen manis itu tentu sesuatu yang memberi kenangan indah yang akan dikenang. Susah ke untuk hanya bergelar penyanyi di Malaysia?
“Susah. Tujuh belas tahun untuk Marsha kukuhkan nama sebagai penyanyi. Itu bukan satu jangka masa yang singkat. Mungkin sepanjang tempoh masa tersebut juga Marsha struggle nak cari direction yang betul, material lagu yang betul untuk orang betul-betul ingat yang Marsha seorang penyanyi.
But again Marsha percaya ia soal rezeki. Bergelar penyanyi bukan sebab suara you sedap je or you have pretty face that can sell. Ada banyak sangat hal kecil yang harus dititikberatkan untuk seseorang itu betul-betul polish sebagai penyanyi yang prominent.”
Mengakui bidang nyanyian bukan satu jalan mudah untuknya kekal di dalam legasi showbiz tempatan. Lebih ramai yang mengenalinya sebagai pelakon berbanding penyanyi di Semenanjung terutamanya atas faktor tawaran yang datang.
“Kalau di Sabah lain, Marsha banyak peluang untuk perform di sana jadi peluang menyanyi di sana lebih banyak berbanding di sini. Tapi selepas AJL orang mula nampak yang Marsha boleh establish sebagai seorang penyanyi juga di sini. I always want to find balance between this two.”

Terus dalam bidang nyanyian apa yang Marsha mahukan?
“Marsha mahu orang kenal lagu-lagu Marsha. Nak tengok orang menyanyikan lagu-lagu Marsha di mana-mana. Tak kisahlah karaoke ke wedding ke or anywhere. I want to see more people to celebrate my songs in any way. Macam sekarang bila marsha tengok ramai orang start cover lagu Cinta buat Marsha sangat happy.”
Bercerita lanjut tentang kerjaya dalam bidang nyanyian Marsha berkongsi tentang perancangannya bersama label untuk mengeluarkan single setiap enam bulan bagi mengekalkan momentum bermuziknya. Saya katakan padanya dengan usia bermuzik dan pengalaman yang ada dia deserves untuk memiliki sebuah album yang solid sebagai portfolionya.
“I always wanted to make an album but I guess now trend pasaran muzik dah berubah tak macam masa awal-awal Marsha keluar dulu. Pembikinan album mungkin bukan necessary macam dulu sebab banyak hal yang harus dipertimbangkan. Selain kos, Marsha kena fikir juga risiko lain, what if this album didn’t make it and all. Tapi of course kalau diberi peluang Marsha nak memiliki satu album penuh 10 lagu untuk fans semua cuma semua tu tergantung masa dan rezeki.”
Mewarnai portfolio dalam bidang muzik, Marsha bercerita tentang projeknya di Sabah, yang mana setiap tahun dia akan mengeluarkan single lagu etnik Sabah. Beberapa lagu seperti “Sumandak Sabah”, “Oi Gaman”, “Insan Tadau”, “Hiti Oku” dan “Aramaitii” menjadi portfolio lagu-lagu etniknya.
Projek ini disifatkan sebagai satu insiatif memberi semula kepada komuniti etnik di Sabah. Selain melihat ia sebagai satu sumbangan bersifat patriotisme yang boleh dia berikan sebagai anak kelahiran Sabah dalam rencana bermuziknya.
“Ini satu projek yang Marsha akan terus buat setiap tahun. Budaya dan penyatuan masyarakat Sabah sangat penting untuk Marsha selain kerana dilahirkan dan dibesarkan di sana ia juga dilakukan kerana Marsha percaya muzik mampu menyatukan masyarakat. I call this a passion project that I can contribute to my society. Tak kisahlah how small or big it is yang penting sekali dapat gerakkan visi unity dalam society di sana, Marsha akan lakukan.”
Berbual denganya tentang perjalanan muziknya membawa saya melihat kembali katalog lagu-lagu yang sudah diedarkan beberapa tahun kebelakangan ini. Marsha sempat menghasilkan album mini pada tahun 2011 dan sangat aktif dalam penghasilan single saban tahun. Mungkin ramai juga yang terlepas pandang penghasilan lagu seperti “Kesudahan Kita” ciptaan Ajai yang beredar tahun lalu yang tidak begitu mendapat sambutan.

Sempat saya bertanyakan individu yang paling berpengaruh dan dia sering look forward dalam bidang muzik, Marsha menyebut Sheila Majid dan Anita Sarawak. “I grew up listening to Sheila and always wanted to be like her. Marsha juga sukakan energy Anita Sarawak. She’s a special entertainer. Dia boleh menyanyi, menari and menghiburkan pada masa yang sama. I always wanted to see myself like them both tapi jauh lagilah perjalanannya.” Ujarnya disambut tawa.
Soalan saya seterusnya mahu mendalami her state of mind. Ada hal yang Marsha kesalkan sepanjang bergelar anak seni? “Mungkin if I see myself and direction earlier, I will work harder to polish my talent lebih awal. Yeah I wish I could do that sooner. Selain itu rasanya tiada apa yang terlalu perlu dikesalkan.”
Marsha mahu dilihat sebagai anak seni yang bagaimana? “Sebenarnya kalau diikutkan Marsha mahu menghibur sahaja. Tak kisahlah menyanyi atau berlakon, I just want to make people happy with what I’m doing especially for my fans. Kalau dari segi pencapaian mestilah Marsha nak lebih berjaya. Melihat progress diri dan karier dari satu tahap ke tahap yang lebih baik.”

Menemubual Marsha saya kira dia semakin matang tidak hanya sebagai seorang penyanyi atau pelakon tetapi sebagai seorang wanita. Tuturnya semakin tersusun, apa yang keluar daripada butir bicaranya semuanya berisi. Dia nyata semakin jelas dengan apa yang dia mahukan sekarang baik dalam kerjaya mahupun kehidupan.
Menutup bicara kami saya tanyakan padanya, apa yang membuat Marsha bahagia? “To see my family happy and proud dengan apa yang Marsha buat itu sudah mencukupi untuk buat Marsha bahagia.” Begitulah bicara kematangannya sebagai sebagai seorang Marsha Milan yang meniti kembara sebagai anak seni dalam naik turun yang belum lagi mahu menokhtahkan langkahnya.
Gambar: GLAM & Marsha Milan
Artikel ini lebih awal diedarkan di majalah GLAM isu Ogos’2022
ARTIKEL BERKAITAN