Pengaruh Slam dalam pasaran muzik Pop tempatan 90-an antara yang sudah terisi dalam sejarah muzik tempatan. Populariti mereka sebagai Pop band yang menjual ilham Balada dan moderate Pop yang disatukan dengan penghasilan melodi yang dekat dengan jiwa pendengar Melayu khususnya memberi kelebihan untuk mereka sangat bersinar ketika itu.
Seiring dengan band Pop yang lain seperti Exists, Iklim juga Mega antaranya – Slam mencipta fenomena berbeza dengan jumlah penjualan album yang cukup tinggi dan konsert-konsert yang sentiasa dipenuhi penggemar mereka. Biar sehingga hari ini lagu-lagu mereka masih diperdengarkan dan diraikan peminat muzik berganti generasi.
Muzik Kita mengembalikan nostalgia Balada-Balada terbaik yang pernah dirakam kugiran Pop yang didepani vokalis hebat Zamani dalam alunan merdu malar segarnya. Di bawah label Johan Sound Production bersama BMG mereka diperkenalkan menerusi album perdana yang menampilkan hits utama “Buat Seorang Kekasih”.
Menerusi lagu ciptaan Rahim Othman ini memperkenalkan Slam dalam legasi Pop tempatan untuk terus bergerak sebagai sebuah kugiran masa hadapan yang akan terus mengisi carta-carta muzik popular ketika itu. Vokal Zamani ketika itu mula dikagumi ramai dengn feel serta persembahannya yang sampai ke hati pendengar.
Menerusi album serupa, berbekal sebuah lagi single berjudul “Nina” yang juga diciptakan juga oleh Rahim Othman sudah mengukuhkan nama Slam untuk terus bernadi dan dinanti-nantikan kemunculan album mereka yang berikutnya. Dan kali ini pastinya Balada mereka menjadi semakin baik dengan karya-karya komposer hebat lain.
Saari Amri, Kids (Search) dan trio KRU menghasilkan sesuatu yang lebih besar ilham Pop mereka. “Kesan Terbukti” dilahirkan tidak lama setelah kemunculan album pertama mereka. Album kedua ini semestinya menghadirkan lebih lagi hits-hits yang menjadikan album ini sebagai sebuah killer album.
Naskhah ciptaan Saari Amri begitu menjadi sekali kali ini. Semuanya menjadi hits yang didengari dan digilai. Penangan populariti album ini juga membawa nama Slam terbang jauh ke negara seberang mengikuti jejak kejayaan Search, Exists dan Iklim yang terlebih dahulu berjaya menembus pasaran Indonesia.
Beberapa lagu di album ini seperti “Tak Mungkin Berpaling”, “Kembali Terjalin” (Saari Amri) dan “Bukan Niat Membalas Derita” (Shadek) menjadi pertaruhan terbaik Balada mereka dalam mencuri perhatian pendengar tempatan ketika itu yang ternyata memberi lebih populariti buat mereka.
Lagu-lagu mereka di album ini bersifat cukup komersil dengan formula muzik Saari Amri yang ketika itu begitu mencuri perhatian pendengar tanpa gagal. Melodinya cukup mengikat pendengaran peminat muzik tempatan dengan killer chorus serta melodi yang menyentuh serta lirik yang puitis ditulis beberapa lyricist hebat seperti Habsah Hassan dan Azam Dungun.
Album “Kembali Terjalin” menjadi antara album yang paling berjaya daripada segi jualan ketika diedarkan pada 1995 dengan barisan hits yang tidak hanya bergantung pada lagu-lagu Balada, album ini juga cemerlang dengan rangkaian lagu-lagu Pop seperti “Nur Kasih” dan “Manisnya Rindu”.
Slam ketika itu sudah cukup matang bergerak sebagai band Pop yang sudah jelas arah muzik mereka. Apa yang mereka harus lakukan seterusnya adalah untuk kekal sustain dengan mencari gali lebih lagi lagu-lagu yang datang dengan formula terbaik yang membolehkan mereka kekal relevan dalam pasaran muzik.
Maka dengan itu pada tahun 1996 terlahirlah album ketiga mereka yang saya sifatkan sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang bermuzik membawa judul “Kembali Merindu” yang sekali lagi didominasi karya cipta Saari Amri dengan beberapa penambahan komposer lain seperti Johari Teh.
Album bergerak lebih cemerlang daripada sudut komposisi sehingga produksi muziknya. Menikmati muzik Slam di album ini terasa lebih dewasa dan tinggi standard muzik Pop yang mereka hasilkan. Hits seperti “Jika Kau Rasa Getarnya”, “Malam Ku Kesiangan”, “Kita Terpaksa Bermusuhan” dan “Kembali Merindu” berjaya meletakkan nama mereka sebagai bakat muzik sudah cukup utuh di pasaran muzik Pop 90-an.
Menerusi album ini juga memberikan ruang untuk mereka aktif berkonsert sekitar tahun 1996 juga 1997. Dua konsert diberi judul “Slam LIVE Concert Unplugged” turut dialbumkan sebagai sebuah kenangan buat peminat-peminat yang hadir di konsert tersebut.
Pasaran muzik Slam ketika itu semakin luas. Album “Kembali Merindu” dirilis di Indonesia dengan mengambil judul “Gerimis Mngundang” yang juga dirilis di Malaysia sebagai single mengisi album kompilasi mereka yang turut diisi dengan hits lain seperti “Kurnia”.
“Gerimis Mengundang” pastinya memberi lebih tuah untuk mereka bersinar. Saari Amri semakin cemerlang dengan komposisi muziknya untuk mejadikan Slam semakin disenangi. Tidak salah juga meletakkan lagu ini sebagai salah satu Balada terbaik yang pernah dihasillkan sepanjang era 90-an. Cukup berhantu sekali biar sehingga hari ini didengar masih mampu mengikat pendengaran.
Slam menjejak langkah populariti mereka dengan rangkain-rangkaian lagu-lagu yang cukup mudah menawan hati pendengar-pendengar nusantara. Melodi denga barisan-barisan lirik cinta, patah hati juga kecewa menjadikan mereka seperti dekat dengan jiwa-jiwa lara pendengar nusantara.
Populariti mereka memberika tuah yang tidak hanya di negara sendiri. Di Indonesia bersama label Musica Studios mereka menzahirkan sebuah album berjudul “Rindiani” untuk pasaran di sana pada tahun 1998 dengan lagu-lagu hasil ciptaan komposer seperti Irwan G. S dan beberapa lagu lain yang ditukar judulnya bagi pasaran Indonesia.
Menerusi album “Dalam Harapan” yang diedarkan pada 1998, Slam bergerak dengan percubaan baru meletakkan single bukan ciptaan Saari Amri sebagai pertaruhan. Ternyata nama mereka cukup kuat untuk tidak bergantung pada Saari Amri, lagu berjudul “Mentari Muncul Lagi” menjadi sakti baru mereka untuk bergerak dalam acuan muzik yang lebih segar
Lagu ini nyata memberi perspektif baru Slam sekalipun ada beberapa lagu ciptaan Saari Amri di album ini namun ia tidaklah menjadi hits yang digilai seperti lagu-lagu ciptaannya sebelum ini. “Mentari Muncul Lagi” bergerak sebagai sebuah transisi baru Slam untuk bergerak matang dan berbeza kali ini.
Slam setelah fasa bersama BMG bergerak dengan rentak sendiri tanpa lagi naskhah-naskhah Saari Amri di album “Slamanja” tidak memperlihatkan lagi nama Saari. Album ini menjadi naskhah perdana menampilkan karya -karya komposisi ahli-ahli Slam. Daripada segi impak mungkin ia tidak sehebat album sebelumnya namun Slam bergerak dengan cara lebih baik kali ini.
ARTIKEL BERKAITAN