
Album: Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (1988)
Artis: Ramlah Ram
Produser: Ahmad Nawab
Nama biduanita Pop Ramlah Ram mula mencuri perhatian ketika dia mengungguli program Bintang RTM yang menjadi pembuka pada jalan panjangnya sebagai penyanyi sehingga hari ini. Berbekal bakat, semangat juga sokongan individu yang tepat album perdana “Sabarlah Sayang” (1986) menyusul sebagai penanda aras sama ada dia akan survive atau tidak sebagai penyanyi baru ketika itu.
Menyingkap kembali kejayaan Ramlah Ram sebagai sebuah figura Pop yang begitu diingati, album keduanya “Kau Kunci Cintaku” menjadi sebuah album yang cukup penting sepanjang kariernya dengan barisan hits malar segar. Mendengarkan kembali album ini mengundang nostalgia dan menggambit memori.
8 Ogos 1988 menjadi tarikh album ini diedarkan dan tahun ini Ramlah Ram bersama peminatnya meraikan ulang tahun ke-35 hits-hits seperti “Apa Khabarmu Di sana”, “Diam-Diam Jatuh Cinta” dan pastinya Balada malar segar “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu”.
Album ini datang dengan pengaruh muzik Melayu di era 70-an dan 80-an dengan infusi Dangdut juga Hindi. Hal ini saya kira jelas dalam lagu seperti “Penantian Yang Tak Berakhir”. Elemen nostalgia muzik dua era tersebut jelas dalam penghasilan lagu ini. Vokal Ramlah begitu cocok dengan lenggok yang melengkapi melodi yang dihasilkan.
Biarpun ketika itu muzik tempatan sudah mula berevolusi dengan sound yang lebih moden dengan kelahiran Sheila Majid juga kumpulan Freedom yang lebih forward dengan pengaruh muzik luar yang lebih segar. Namun nama Ramlah Ram tidak tercicir daripada mendapat tempat juga air play di radio. Namanya dilihat sebagai pelapis bakat-bakat ciptaan Ahmad Nawab.
“Pedihnya Kerana Cinta” menjadi sebuah lagi lagu di album ini yang memiliki lenggok Melayu Asli yang diadun dengan Balada tipikal Ahmad Nawab. Lagu-lagu begini saya kira sudah terlalu banyak di pasaran muzik ketika itu dan ya mungkin ia juga bergerak sebagai filler sahaja melengkapi album ini.
Selain “Kau Kunci Cintaku” yang menjadi Balada utama di album ini saya tertarik dengan komposisi muzik di lagu “Rindu Semalam” (Talha Tukiman / Ismail Ahmad Nawab) yang kedengaran lebih lembut dengan iringan piano di sepanjang lagu yang memberi pengalaman berbeza mendengarkan penyampaian vokal Ramlah Ram.
“Rindu Itu Menyeksakan” (Ahmad Nawab / Juwie) sebuah lagi hits di album ini dalam adunan melodi penuh rintihan rasa berbalut bait lirik yang sepertimana judulnya – menyeksakan. Sebuah kebiasaan dalam penulisan lirik-lirik Juwie, lagu ini begitu juga penghasilannya. “Rindunya di hatiku // Menikam kalbu // Menyeksa Kalbu.”
Album ini benar-benar hidup saya kira dengan fast number “Apa Khabar Kau Di sana” (Ahmad Nawab) yang penuh dengan elemen nostalgia dengan penyampaian vokal Ramlah yang cukup santai bersahaja dalam penceritaannya. Lagu ini saya letakkan antara lagu yang paling fun pernah dihasilkan Ramlah Ram sepanjang kariernya.
Bergerak daripada kelangsungan lagu itu, “Diam-Diam Jatuh Cinta” (Talha Tukimin / Ismali Ahmad Nawab) menjadi sebuah lagi nadi menghidupkan album ini sebagai sisi fun menikmati muzik Ramlah Ram. Cheeky pada liriknya memberikan nyawa berbeza berbanding lagu lain yang terisi di album ini. “Dulu malu tapi mahu // Kini baru ku tahu // Diam-diam jatuh cinta // Bersama akhirnya.”
Pengisian album ini dalam 10 lagu yang terisi benar-benar mengisi kehendak paten bermuzik Ahmad Nawab dan Ramlah Ram sebagai duo penyanyi – produser yang menyatu baik jiwa kedua-duanya dalam mentafsir persembahan muzik mereka. Hal ini jelas dalam lagu seperti “Membilang Butir Harapan”, “Insafilah” dan “Rindu Semalam.”
Saya tertarik pada persembahan lagu “Hanyalah Padamu Ku Cinta” (Ahmad Nawab) yang datang dengan groove berbeza. Ramlah biar dalam persembahan vokalnya itu mmasih mampu berbalut rapi dengan melodi begini tanpa kedengaran canggung. Mungkin ini satu-satunya lagu di album ini yang datang dengan ilham 80’s groove di bahagian verse lagu ini terutamanya.
“Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu)” menjadi lagu kemenangan dan juga lagu cari makan buat Ramlah Ram buat dia bertahan lebih 3 dekad lamanya di persada muzik tempatan. Tidak hanya popular di carta radio, lagu ini diangkat sebagai pemenang lagu terbaik di Juara Lagu 1988 menewaskan saingan hebat lainnya seperti “Cukuplah Sekali” (Jay Jay), “Suratan Takdir” (Gersang) dan “Rayuanku” (Rohana Jalil).
Lagu ini sempurna buat Ramlah Ram saya kira, untuk range besar yang dia miliki, single ini benar-benar solid bergerak sebagai sebuah naskhah yang membentuk siapa Ramlah Ram itu sendiri selepas itu. Dan sehingga hari ini akan kejayaan “Kau Kunci Cintaku” meletakkan nama Ramlah Ram sebagai satu daripada penyanyi Balada terbaik yang kita ada sepanjang zaman.
Album ini sudah berusia 35 Tahun dan rangkaian lagu-lagu di album ini masih juga didendang juga diperdengarkan tidak hanya di kalangan penggemar Ramlah Ram sahaja namun sebahagiannya masih lagi mendapat air play di radio dan memenuhi senarai lagu yang dibikin penggemar muzik 80-an di pelantar muzik digital.
ARTIKEL BERKAITAN