
Alleycats dalam pasaran muzik tempatan sudah bergerak sebagai sebuah band legenda yang akan sentiasa didengarkan lagu-lagu mereka biar berganti generasi. Daripada persembahan Pop “Sampaikan Salam Cintaku” sehingga Balada “Sekuntum Mawar Merah” semuanya sudah tertulis dalam sejarah lagu-lagu Pop tempatan yang hebat sepanjang zaman.
Menyemak kembali katalog muzik mereka, Muzik Kita menyenaraikan sepuluh lagu Balada paling syahdu yang pernah mereka rakamkan. Dengarkan kesemua audio rasmi rangkaian lagu-lagu Alleycats di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
LAYANG-LAYANG TERPUTUS TALINYA (M.Nasir)
Melodi emas M.Nasir ini antara yang cukup membuai perasaan. Seawal bait “Berarak mendung kelabu…” ia sudah membawa kita larut dalam kesyahduan feel tersendiri David Aramugam dalam alunan nyanyiannya.
SERIBU BINTANG (M.Nasir / Eric Yeo)
Dicipta oleh Eric Yeo dengan tulisan lirik M.Nasir, “Seribu Bintang” mula diedarkan pada tahun 1981 menerusi album “Alleycats 4”. Menjadi hits utama album ini, “Seribu Bintang” sehingga hari ini menjadi antara naskhah yang paling tinggi jumlah strim mereka.
SENANDUNG SEMALAM (Wan Ibrahim / M.Nasir)
Sebuah lagi lagu dengan lirik yang cukup membuai sekali. “Kini tinggal kenangan belaka, Di taburan bunga pusaramu.” M.Nasir sekali lagi menerusi penanya mencipta magis dalam melodi Wan Ibrahim yang cukup kuat pengaruh Balada 80-an yang dikemaskan dengan rakaman live string yang melatari keseluruhan lagu ini dengan sangat baik sekali.
SEKUNTUM MAWAR MERAH SEBUAH PUISI (M.Nasir / S.Amin Sahab)
Puitis lirik S.Amin Sahab dalam sebuah naskhah malar segar. Pemilihan kata-kata yang disusun cukup kemas dalam cerita cinta sedih mengundang sayu. Lagu in dibaluti melodi emas M.Nasir dan vokal David yang mengalirkan ceritanya. “Tapi mengapa cinta yang menyala padam tiba-tiba?”
KERANA (M.Nasir)
Meneruskan kesyahduan dalam melewati perasaan pendengar muzik di era 80-an, Alleycats sekali lagi bersama M.Nasir menghasilkan sebuah lagi Balada berjudul “Kerana”. Struktur muzik di lagu ini mengikut template komposisi muzik M.Nasir yang biasa kita dengar – membuai dalam jalinan cerita sedihnya “Kau puja bulan yang mengambang, Kau pinta bunga yang di taman larangan.”
GERIMIS SENJA (M.Nasir / Alleycats)
Korus lagu ini antara yang paling menarik untuk dihayati. Persembahan keseluruhan lagu ini tidak terlalu mendayu tetapi masih berarah cerita cinta yang sedih. Ini antara all time favorite saya yang pasti akan ada dalam playlist.
HATIKU KAU LUKA (Samuel Tan /Othman Mohamad Noor)
“Mengapa tak kau katakan dulu, Dirimu sudah berteman?” Bait pembuka ini sahaja sudah mengundang sedih. Kisah hati yang luka dalam persembahan Balada terbaik Alleycats bagi saya. Lagu ini antara yang paling banyak saya putarkan. Feel nya berbeza dengan apa yang sering dihasilkan M.Nasir pastinya namun masih cukup sedap dihayati.
ARTIKEL BERKAITAN
Persembahan Ratu Balada Fauziah Latiff Dalam 10 Alunan Sentimental Terbaiknya