
Lagu: Neraca
Artis: Kmy Kmo / Luca Sickta / Jamal Abdillah
Komposer / Lirik: Kmy Kmo / Luca Sickta
Produser: Kmy Kmo / Luca Sickta
Kmy Kmo & Luca Sickta dua nama pelapis rapper tempatan yang semakin on demand dalam pasaran muzik tempatan hari ini sudah menghadirkan beberapa single kolaborasi mereka berdua Bersama nama besar seperti M.Nasir dan Siti Nurhaliza.
Single “Zuhud” dan “7 Nasihat” saya kira sudah meletakkan nama mereka di radar popular muzik hari ini. Semua sudah sedia maklum kiranya dengan keberadaan dua anak muda ini sebagai pemuzik pelapis.
Usai kejayaan “7 Nasihat” dan “Zuhud” mereka terus berkarya dalam sebuah lagi lagu yang mengambil ilham muzik yang menjadi signature mereka dalam dua single awal yang sangat booming itu.
Terhasil dengan kolaborasi Bersama Jamal Abdillah – Kmy Kmo dan Luca Sickta hadir dengan single terkini berjudul “Neraca” yang mengambil ilham Hip-hop dalam adunan muzik timur tengah yang sedikit sebanyak terilham dari “Ghazal Untuk Rabiah” – Mungkin.
Paduan dua anak muda ini dalam penulisan lirik yang puitis dengan rima yang begitu baik susunan katanya menjadi kekuatan Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Bait seperti “Bersantun nan sehaya, Terlukanya si cahaya.” Saya sifatkan sebagai penulisan yang cukup matang untuk sebuah teks Hip-Hop.
Sebagai penulis, saya kira mereka sangat detail dalam persembahan sebuah cerita manusiawi. Pemilihan kata-kata dalam susunan teks lirik mereka sangat kemas dan menarik untuk dihayati, difahami.
Namun melodi di lagu ini bukanlah datang dengan idea baru. Mendengarkan Luca Sickta dan Kmy Kmo di 3 single yang sudah dirilis membuatkan saya tidak boleh memadamkan ingatan pada Too Phat, Ahli Fiqir atau mungkin Salammusik.
Memanipulasi irama Melayu, Nusantara, Fusion dalam dominasi Hip-Hop itu hal yang sudah dilaksanakan. Namun “Neraca” bukanlah hasil yang teruk cuma mungkin saya sudah terbiasa dengan melodi yang begini.
Tapi hujah-hujah saya ini bukanlah hal yang penting untuk mengubah landskap muzik mereka kerana views nya masih tinggi, lagunya masih disukai umum. Cuma itulah sifatnya terlalu domestik.
Jadi saya kira istimewanya untuk saya menikmati Kmy Kmo dan Luca Sickta adalah pada teks lirik mereka yang sangat baik.
6.2/10
ARTIKEL BERKAITAN
Kesinambungan Raggaeton Andi Bernadee di Single “Kais Pagi Kais Petang”