
Album: Lagu Anak Desa (1980)
Artis: Sudirman
Produser: S.Atan
Sudirman Hj. Arshad dalam membentuk kosmik Pop Melayu tempatan menjadi nama penting dalam perkembangannya. Hits Balada, Pop Melayu sehingga rangkaian lagu-lagu patriotiknya menjadi rujukan banyak pemuzik sehingga hari ini.
Melewati katalog Pop bermuzik Sudirman, saya tertarik mendengar kembali album “Lagu Anak Desa” yang diterbitkan pada tahun 1980 di bawah kendalian produser S.Atan. Album berisi 11 trak ini terhasil dalam satu acuan muzik yang begitu kuat spirit Melayunya – baik penghasilan melodi sehingga cerita-cerita rakyat di lirik-liriknya.
Dibuka dengan “Anak Gembala” Sudirman menjadi wakil suara yang bercerita tentang latar masa masyarakat ketika itu “Akulah anak gembala, Merentas segenap desa, Ke gunung, padang, dan lurah, Dari pagi hingga senja,Berbekalkan tongkat rotan.” Kisah yang diceritakan mengikut keadaan hidup orang Melayu ketika itu mungkin.
Sudirman menerusi album ini berhasil menampilkan beberapa hits malar segar. Antara yang paling akan diingati adalah Balada “Hujan” (Syed Haron) dalam layangan kisah cinta yang pergi dalam bait-bait puitis dalam perlambangan hikmah hujan itu sendiri.
Melodi lagu ini dicipta dalam kesayuan sebuah rasa yang dilagukan Sudirman dengan begitu merdu sekali. Stail nyanyiannya, pengucapan lirik dan penyampaian keseluruhan yang begitu mudah menyentuh jiwa-jiwa yang mendengar.
Hujan saya kira menjadi benchmark Balada 80-an yang cukup ikonik sekali penghasilannya ketika diterbikan awal 80-an dan biar sehingga hari ini kita masih mampu melayani syahdunya jiwa dalam rasa yang disampaikan legenda Pop Melayu ini.
Kekuatan melodi Pop Melayu di album ini diteruskan dalam beberapa lagu lain yang cukup catchy dan mudah buat kita sebagai pendengar enjoy dengan penghasilan melodinya. Lagu-lagu seperti “Kau Akan Kembali”, “Teratai Menjelma” dan “Aku Penganggur” yang sudah menjadi lagu-lagu penting karier muzik Sudirman.
Pendengaran saya teralih pada lagu “Ke Dunia Baru” (S.Atan) yang terhasil dalam ilham City Pop 80’s yang cukup enjoyable muziknya. Jazz chord di lagu ini memberi satu suntikan yang cukup moden berbanding lagu lain yang terhasil di album ini.
“Sepetang Di Pinggir Bukit” kembali dalam acuan Pop Melayu dengan lenggok Sudirman yang sangat-sangat sedap sekali nyanyiannya. Album ini ditutup dengan “Tanah Ini Tanahku” sebuah epilog beriring petikan gitar dalam jiwa patriotsme Sudirman.
Mendengar album ini dengan membaca teks liriknya membuat saya berfikir muzik itu sememangnya bergerak seiring latar masa dan masyarakat ketika ia dihasilkan. Semuanya adalah sebuah representasi kepada apa yang terjadi pada ketika dan saat juga situasi semasa masyarakat.
ARTIKEL BERKAITAN
Synth, Disko & City Pop Dalam Ekspresi Muzik “Kebebasan” Kumpulan “Carefree”