
Usai fasa pandemik yang menghentikan banyak aktiviti seni dan budaya selama lebih dua tahun lamanya, Dewan Filharmonik Petronas mengembalikan semangat muzik orkestra mereka dalam rencana memberi huburan bertaraf tinggi buat pengikut muzik tempatan khususnya.
Masih dalam vibe raya yang terus diraikan sepanjang bulan ini, Malaysian Philharmonic Orchestra di bawah kendalian konduktor muzik Ahmad Muriz Che Rose bakal mengembalikan nostalgia lagu-lagu raya ciptaan komposer legenda S.Atan.
Menamakan konsert istimewa ini sebagai “Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S.Atan” , persembahan istimewa ini akan menampilkan tiga vokalis handalan tempatan Azlina Aziz, Jamal Abdillah dan Jay Jay mengalunkan beberapa lagu ciptaan komposer hebat tersebut.
S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, seorang komposer dan penerbit album yang sudah menghasilkan lebih daripada seribu lagu-lagu popular untuk ramai artis yang terkenal seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Dato’ Jamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Konsert ini akan menampilkan karya S. Atan yang ikonik dan penuh dengan nostalgia di pentas DFP seperti Cahaya Aidilfitri, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Joget Hari Raya, Salam Aidilfitri, Inang Aidilfitri, Menjelang Hari Raya dan banyak lagi.
Semua lagu yang dimainkan telah digubah dan diberikan nafas simfonik oleh Luqman Aziz, Jenny Chin, Ilham Subri, Gerard Salonga, Ahmad Muriz Che Rose, Vivian Chua dan Syed Sharir.
Konsert bakal berlangsung Sabtu ini, 14 Mei 2022 dengan penjualan tiket bermula RM129, RM153, RM219, RM329 bagi tiket suite dijual pada harga RM526 dan RM592. Tiket boleh dibeli di talian 03-23317007 / 7511 / 7512 atau emel boxoffice@dfp.com.my
ARTIKEL BERKAITAN
Sebuah Kesyahduan, Resah dan Sepi “Sudirman” Menerusi 10 Balada Terbaik Yang Pernah Dirakam