
Album: Rubik
Artis: Dere
Produser: Tulus / Petra Sihombing / Ari Renaldi / Ibnu Dian
Kepelbagaian muzik di Indonesia benar-benar membesar landskap pendengaran pendengar di sana. Dengan segala kepelbagaian ini juga membuatkan semakin ramai pemuzik di sana lebih bebas berkarya kerana mereka benar-benar diraikan.
Tahun ini antara yang cukup menarik. Penghasilan album sangat dirayakan di sana. Setelah Tulus membekas rasa dengan album “Manusia” diikuti Pamungkas dengan melodi personalnya menerusi “Birdy” sehingga Ardhito Pramono yang semakin matang dengan “Wijayakesuma” dan Isyana yang semakin bereksperimental dengan “My Mystery”.
Semuanya menhasilkan sesuatu yang tersendiri dan berbeza tanpa perlu bergantung pada trend muzik semasa malah memilih untuk bergerak dengan cara yang cukup tersendiri. Hal-hal ini sangat membuatkan saya sebagai pendengar teruja kerana diraikan dengan muzik yang beragam begini.
Bakat baru bernama DERE tidak terlepas daripada memasuki legasi ini. Dengan barisan hits seperti “Tanya” dan “Kota” dia berjaya mengumpul pengikut muziknya. Tanpa perlu lama menunggu, bersama label Tiga Dua Satu maka terhasil album perdananya “RUBIK” yang beredar 21 Julai.
Album ini terisi 10 lagu berserta empat single yang lebih awal beredar sejak 2020 seperti “Kota”, “Tanya”, “Berisik” dan terakhir “Rumah” – memberi ilham buat pendengar muzik seperti apa yang anak muda ini bakal hidangkan di album perdananya.
Hampir kesemua lagu di album ini ditulis Dere bersama Tulus dalam nada yang sinonim dengan apa yang suda dia rilis sebelum ini. “Kenanga” menjadi lagu baru yang membuka album perdananya ini. Hadir dalam nuansa muzik Folk sebelum menjadi lebih catchy di lagu “Rubik”.
“Teka-teki dunia // Untuk apa aku, Diciptakan sebenarnya…” Ditulis dalam satu persoalan humanisme dalam mentafsir metafora rubik sebagai sebuah dunia penghidupan. Lirik Dere mejadi lebih puitis di lagu “Jangan Pergi” – “Dulu bahas hati melulu // Kini sapa pagi pun sering lupa…”
“Tumbang” menjadi kegemaran saya di album ini. Selain melodinya yang cukup mengikat pasti saja kerana liriknya yang cukup berisi menjadikan ia sebagai sebuah naskhah yang sangat menarik untuk dinikmati. “Satu pohon harapku telah tumbang // Hilang lagi harapan cinta…”
Dere dalam ketersendiriannya bermuzik berjaya mengikat pendengaran banyak orang. “Rubik” menjadi sebuah percaturan yang menjadi langkah awalnya bermuzik di lapangan komersial untuk lebih lama lagi pastinya.
8.2/10
ARTIKEL BERKAITAN