Kemunculan awal Rizky dengan single “Kesempurnaan Cinta” memikat pendengar nusantara dengan melodi Pop catchy yang manis dan lembut sifatnya dalam korus yang cukup indah. Ia menjdi titik tolak Rizky mencuri perhatian pendengar bukan sahaja di Indonesia namun pengaruhnya cepat berlegar ke Malaysia.
Dan tanpa membuang banyak masa Rizky tampil single demi single seperti Penantian Berharga (2016), Cukup Tau (2017) serta dua single tahun ini Indah Pada Waktunya (bersama Aisyah Aziz) dan Hargai Cinta sebelum mengeluarkan album berjudul “Jejak” yang beredar di semua gedung muzik digital pada 30 November lalu.
Album ini menyenaraikan produser Pop yang menguasai carta muzik Indonesia hari ini seperti Lale Ilman Nino dan Rudi Pohang dalam menghasilkan rendisi Pop semasa yang cukup menyenangkan hasilnya.
Dibuka dengan energi “I’m Not Ready For Another Love” mid tempo dalam bait lirik cinta muda mudi. Lagu “Nona” dan “Reuni” meneruskan melodi-melodi Pop yang begitu mudah untuk diraikan pendengaran semua.
Saya lebih tertarik dengan lagu “Ragu” Lo-fi R&B dengan feel Rizky yang cukup baik sekali.
Ini trak kegemaran saya dalam album ini secara keseluruhan, begitu lembut dan mengujakan. Semua keterujaan dalam lagu ini diteruskan dalam lagu seterusnya “Pergi Menjauh” yang sedap sekali penghasilan melodinya.
Rizky menjadi semakin baik dari trak ke trak sehingga single perdana album ini “Menari” dalam nuansa Pop mid tempo. Bagai sebuah keraian pengharapan cinta yang paling indah, Menari disusun cukup cantik sekali melodinya. Saya mengulang dengar lagu ini berkali-kali dengan bait indah “Izinkan aku jadi takdirmu…”
Mendengar album Jejak buat saya fikir formula Pop Rizky ini sebaiknya menjadi acuan muzik perdana hari ini. Tidak terlalu cheesy apa lagi lembik dengan melodi-melodi meruntun jiwa. Masih ada kesegaran dan keterkinian dalam jalinan muzik yang cukup baik sekali penghasilannya.
BACA JUGA:
Sandhy Sondoro Beautiful Soul – Persembahan Muzik Di Ruang Jiwa Yang Cukup Personal