Ketika awal dia muncul mencuri perhatian dengan single Terima Kasih Cinta (Mario Ricardo) suara gemersiknya sudah mula digilai tidak hanya di pasaran Indonesia malah gelombangnya terasa sehingga ke Malaysia.
Dengan tikaman wajah lembut, tutur bersantun dan perwatakan yang menyenangkan, Afgan bikin gadis senusantara menggila dengan kelibatnya dalam pasaran muzik komersil. Nyata percaturan Terima Kasih Cinta yang diikuti dengan beberapa single lain seperti Entah, Sadis dan Klise membawa tuah buat sosok kelahiran asli Jakarta ini.
Dan hari ini selepas sepuluh tahun mengemudi pasaran Pop Indonesia dan nusantara, Afgan muncul dengan sebuah naskhah kompilasi yang lengkap dengan 14 lagu terbaiknya termasuk beberapa lagu baru serta rakaman semula.
Mengenal Afgan dan corak muziknya sebetulnya dia tidaklah begitu grip my soul. Balada nyanyianya dalam lagu seperti Jodoh Pasti Bertemu dan Bukan Cinta Biasa khususnya sekadar meneruskan apa yang pernah dibawa Glenn Fredly, Marcell, Anuar Zain dan Rio Febrian.
Namun untuk menjadi Pop star dalam lapangan komersil lagu-lagu begitu harus diketengahkan terlebih dahulu untuk mengukuhkan nama sebagai penyanyi yang diyakini bakatnya. Beberapa single up-tempo seperti Pesan Cinta, Katakan Tidak, Wajahmu Mengalihkan Dunia dan Tak Pedulimeneruskan populariti Afgan sebagai soloist Pop.
Hanya sehingga Afgan memperkenalkan single Percayalah bersama Raisa dan Kunci Hati menerusi album SIDES membuka mata saya akan keseriusan muzik yang ada pada Afgan. SIDES memberi satu dimensi berbeza dalam persembahan muzik Afgan yang lebih tastefully produced.
Beberapa lagu dalam SIDES benar-benar hebat produksinya. Selain Kunci Hati dan Percayalah lagu-lagu seperti Berani Sadari, Knock Me Out dan Setia Menunggu memberikan standard muzik Afgan pada tahap yang lebih tinggi dan membanggakan. Dan sejak itu, saya kira Afgan sudah berjaya menawan perspektif muzik seperti standard yang saya fikir sepatutnya.
Kelahiran Dekade sebagai sebuah pengalaman sedekad muziknya juga saya sifatkan sebagai sebuah album yang solid sifatnya. Lagu baru kolaborasi bersama Rendy Pandugo dan Isyana Saraswati berjudul Heaven bikin saya semakin kagum dengan citarasa muzik Afgan.
Lagu ini cukup sempurna sifatnya sebagai sebuah kolaborasi yang begitu segar dan terkini begitu juga dengan trak Sudah yang begitu baik penciptaannya. Namun pendengaran saya tentu saja teralih pada kolaborasi Afgan bersama Sheila Majid dalam Bawalah Cintaku.
Lagu karya Bebi Romeo yang diproduksi semula oleh Andi Rianto dengan susunan string lima bintang yang begitu hebat sekali produksinya. Saya jujur melayang mendengar versi duet ini yang cukup lembut, sederhana tetapi sempurna sebagai sebuah naskhah Pop yang menyenangkan.
Afgan di aras satu dekad ini sudah berdiri sama tinggi dengan senior lainnya seperti Marcell juga Glenn dalam kraf muzik yang semakin disenangi dan diterima mudah pasaran yang lebih besar skalanya. Saya kira penggemar Afgan tidak hanya terikat pada satu kelompok tetapi mampu menawan penggemar cross genre lainnya.