
Saya tidak pasti berapa ramai yang sedar akan kehadiran album Folk Pop daripada kumpulan legenda folk tempatan, Kopratasa. Aku Ingin Kembali mula beredar pada awal tahun sekitar bulan April yang lalu di semua platform digital.
Aku Ingin Kembali merupakan album penuh Koratasa setelah yang terakhir Mulia yang diedarkan FMC sekitar tahun 2003. Namun kugiran ini tidak pernah senyap sebetulnya. Tahun lalu mereka mengeluarkan EP lima lagu berjudul Mathnawi – Rumi yang cukup deep penghasilannya.
Saya akui pada tahap ini kebijaksanaan pendengar kita akan benar-benar teruji dengan teori muzik Kopratasa. Mathnawi – Rumi bukan naskhah komersil yang mudah dihadam. Akan tetapi kalau anda pendengar yang bijak ad acara yang tepat untuk menghadam segala isi cerita muzik dan falsafah kugiran senior ini.
Sepertimana kugiran-kugiran folk nusantara yang lainnya, Kopratasa juga bergerak atas landasan Folk yang asas. Penulisan lirik menjadi kekuatan muzik ini dan satu cara paling baik untuk menghayati Aku Ingin Kembali adalah dengan memahami teks lirik yang ditulis.
Melodi-melodi dalam album ini bergerak atas penceritaan lirik. Saya kira di sinilah istimewanya Kopratasa. Tiada melodi yang hook at your first listen tetapi kalau anda dengar sambal membaca nashkhah liriknya. Anda akan terbuai, melayang dan berfikir akan segala falsafah seni yang mahu diresapkan mereka.
Isu-isu ketuhanan dan kemanusiaan menjadi asas cerita dalam setiap lagu dalam album ini. Seawal pembukaan lagu Hidup mereka sudah berbicara tentang kemanusiaan
“Hidup adalah seni di dalam seni yang tersendiri.
Kita adalah diri di dalam diri yang menyendiri.”
Dan bait-bait puitis ini diteruskan dalam lagu-lagu lainnya seperti Cinta. Saya amat sukakan intro lagu ini cukup baik sekali penghasilannya. Kesepian dan kesuraman diri manusia ditafsirkan dalam teks penceritaan yang cukup puitis sekali.
Lagu-lagu puisi Kopratasa bergerak atas satu landasan yang cukup jelas. Sepertimana saya katakan awal tadi cara terbaik untuk menikmati album ini adalah dengan menghadam segala kata-kata mereka dalam setiap lagu yang dipersembahkan.
Dan dalam banyak-banyak lirik yang ada dalam album ini lagu Mati antara puisi terbaik yang ditulis.
“Teman sejati adalah mati,
Teman mati adalah sepi…”
Album ini kaya dengan segala kata-kata yang anda perlukan dalam pembersihan jiwa dan pendengaran. Album ini berjalan atas satu landasan cerita harafiah manusia sebagai manusia, sebagai hamba. Lihat sahaja bagaimana rencana susunan trak dalam album ini. Bermula dengan Hidup dan berakhir dengan Mati.
Peluang untuk mendengar lagu-lagu dalam album ini di radio sudah hampir pasti tiada. Tetapi andai kata anda sudah terlalu bosan dengan lagu-lagu anak muda yang mahu mati kerana cinta, saya amat mencadangkan anda untuk ambil seberapa banyak masa untuk hadam dan faham setiap teks puisi yang Kopratasa persembahkan untuk kita ini.