
Di saat Aji mengumumkan bahawa album keduanya bakal beredar hari ini (14 September 2018) saya sudah siap-siap menikmati album demo awal yang beredar diberi judul Overthinker. Mendalami muziknya dalam 5 Mantra muzik berdurasi 8 Min 22 Saat itu bikin saya teruja kerana bunyiannya kedengaran berbeza dan lebih exciting.
Jadi di lewat malam 14 September tepat jam 00:00 saya sudah siap sedia di Apple Music untuk mendengar segala keterujaan Aji dalam membikin album ini yang dihebohkan lewat akaun Instagramnya sepanjang minggu ini. Dan lebih menambah keterujaan saya pabila melihat senarai produser maha hebatnya kali ini.
Batalion muzik Mantra Mantra menampilkan Petra Sihombing (Rehat & Jakarta Jakarta), Ankadiov Subran (Sulung, Bungsu, Rancang Rencana, Pilu Membiru & Topik Semalam), Anugrah Swastadi (Konon Katanya) dan Bam Mastro (Saudade).
Ya, melihat nama Bam Mastro saja saya sudah cukup teruja untuk mendengar eksperimentasi muziknya bagi naskhah terbaru Kunto Aji ini.
Seperti album awalnya Generation-Y, Mantra Mantra turut dibuka dengan prolog muzik berjudul Sulung dan diakhiri dengan Bongsu – Satu konsistensi perasaan yang cukup dalam sebagai pengisian journey dalam muzik. Dan seperti biasa Aji akan membuat saya melayang dengan alunan puitisnya dalam bait yang diulang:
Cukupkanlah Ikatanmu
Relakanlah yang tak seharusnya untukmu
Yang sebaiknya kau jaga adalah dirimu
Sendiri…
Dan kehebatan Sulung diteruskan dengan Rancang Rencana dan Pilu Membiru yang bergerak atas satu tempo muzik yang cukup kemas sekali. Topik Semalam menjadi semakin memikat, saya betul-betul sukakan feel Aji dalam lagu ini yang cukup soulful (mengingatkan saya pada Ekspetasi) riff gitar melatari lagu ini diselang-seli dengan gabungan suara latar begitu melengkapi feel Aji dalam lagu ini.
Dan bait kegemaran saya dalam lagu ini tentu saja “Tapi tunggu dulu, kurangkai dengan waktu, kusemai harapan mu sebelum kutemui Ayahmu…Ibumu.”
Kehebatan Topik Semalam diteruskan dengan lagu berjudul Rehat yang sekali lagi menjadikan momentum album ini begitu hebat sekali penghasilannya. Trak dengan durasi lebih 5 minit ini ditutup dengan senandung muzik yang cukup sempurna sekali pelayaran perasaannya. Lagu ini saya ulang dengar berkali-kali sebelum sempat ke lagu seterusnya.
Dan di saat ini jika Aji ada di depan saya, ingin saya bangkit untuk standing ovation atas lagu yang terlalu hebat sekali penghasilannya ini.
Segala kesempurnaan Rehat diteruskan dengan Jakarta Jakarta. Seawal bait “Dalam hati aku ingin selalu beranjak pergi, Kota yang sama yang membuat ku tegak berdiri..” dan diteruskan dengan “Kota yang sama membuatkan ku berasa sepi..”
– Satu eskpresi perasaan cinta Aji buat kota Jakarta; antara benci dan kekecewaan tetapi tersulam perasaan cinta paling dalam.
Single perdana album ini Konon Katanya terlebih dahulu diedarkan tahun lalu diteruskan dengan lagu penuh terakhir album ini berjudul Saudade. Jika diikutkan carian saya Saudade membawa maksud nostalgik; perasaan yang paling dalam; melankolik.
Dan seperti mana maksudnya, saya kira begitulah tepat sekali pentafsiran Bam Mastro dalam memproduksi lagu terbaik yang saya letakkan dalam Mantra Mantra.
Lagu ini punya elemen nostalgia melodi-melodi melankolik 80-an yang dimodenkan dengan beat dan susunan muzik yang cukup cemerlang sekali. Dan saya sekali lagi cukup melayang dengan penulisan lirik dalam lagu ini. Baca saja bait di bawah:
Dikatakan oleh angin yang menghasilkan gelombang,
Jadilah besar bestari dan manfaat tuk sekitar,
Dikatakan awan hitam sebelum datangnya hujan,
Biarlah aku dikutuk dan engkau yang dirayakan.
Album ini saya sifatkan sebagai sebuah refleksi kehidupan. Melodinya bermula perlahan dari satu trak ke trak yang lain bergerak dengan momentum yang cukup tepat temponya, perasaannya dan execution yang cukup sempurna.
Penulisan lirik dalam album ini begitu humanis sekali, Aji membawa kita akan isu besar dalam hidup – mengenal diri dengan perjalanan yang kita sedang lalui, dalam situasi yang menyekat dan tentang impian juga cita-cita yang mengecewakan kita.
Saya henti di sini review ini. Biar saya terus larut dalam pelayaran perasaan paling sempurna setakat ini di tahun ini. Sepenuh bintang di langit malam ini buat sebuah album yang maha sempurna sifatnya ini.
BACA JUGA:
Yura “Merakit” Titian Dewasa Dalam Seriosa Paling Merdu & Puitis