Kelibat anak muda bernama Aizat yang mula kita lihat dan kagum bakat organiknya ini adalah ketika di pentas Akademi Fantasia musim ke-5. Hari ini setelah 12 tahun bermuzik saya kira Aizat sudah boleh berbangga dengan apa yang dia capai hari ini.
Nama Aizat sudah berada di tahap yang baik untuk kita hormati tidak hanya sebagai penyanyi malah pemuzik yang sudah mencipta momen kariernya yang tersendiri. Bermula dengan balada “Hanya Kau Yang Mampu” Aizat meneroka lebih lagi kemampuannya dalam bermuzik sepanjang 12 tahun dia berkarya.
Aizat berjaya mencipta kraf Pop yang begitu baik tanpa terlalu berkira-kira mengikut ilham pasaran semasa. Apa sahaja yang dia lakukan hari ini kita semua sudah siap sedia untuk menerima, mendengar dengan penuh keterujaan.
Kejayaan “Sampai Ke Hari Tua” single terhangatnya tahun lalu dengan jumlah strim Spotify melebihi 3 Juta dan MV di YouTube yang kini melebihi 15 Juta tontonan menjadi bukti dia sudah berada di tahap selesa sebagai penyanyi komersil.
Tampil sekali lagi tahun ini dengan single terbaru berjudul “Angin Lalu” yang cukup meruntun emosi, Aizat memberi satu warna berbeza dalam kembara kariernya.
Lagu ciptaan Aizat bersama Mel Ramlan ini tampil dengan sentuhan lirik bersama abangnya Anas Amdan dalam feel ballad yang disusun indah string session oleh Alvin Witarsa (yang pernah bekerja bersama Afgan, Tulus, Yura Yunita & Noh Salleh antaranya). Anas turut bertindak sebagai produser single ini.
Balada cukup indah ini saya kira mampu sekali lagi meneruskan kejayaan single sebelumnya dengan kraf muzik yang lebih deep dan berjiwa kali ini. Datang dengan pakej melodi yang cukup baik, pemulisan lirik yang puitis dan susunan muzik yang cukup menyentuh perasaan oleh Rudy Nastia. Antara karya terbaik Aizat setelah “Langit Tetap Biru” yang diedarkan pada 2015.
Seiring dengan kelahiran single ini Aizat tampil berbeza dengan memperkenalkan filem pendek yang diarahkan Ganesh V & Yee Lisan yang kini tersedia di YouTube.