
Melewati kalendar Pop Melayu 80-an mengembalikan nama-nama besar yang pastinya didahului Sharifah Aini, Anita Sarawak, Noorkumalasari dan Raja Ema antaranya. Namun dalam kemeriahan nama-nama tersebut sekuntum bunga kelahiran Pulau Pinang yang cukup sinonim sebagai the anchor of Pop Dangdut.
Zaleha Hamid awal menceburkan diri dalam bidang nyanyian secara profesional sejak era 60-an lagi dengan penglibatan bersama kumpulan Orkestra di Johor Bharu sebelum bergerak solo bersama EMI music dengan menghasilkan debut album berjudul “Curahan Rasa” pada tahun 1982.
Mengangkat adunan muzik Pop Melayu dengan infusi muzik Hindi dalam lenggoknya, Zaleha Hamid menerusi album tersebut bekerjasama dengan produser S.Atan. Beberapa lagu saduran dirakam semula di samping beberapa lagu lain yang rata-ratanya dihasilkan S.Atan sendiri.
Penghasilan beberapa album seperti “Kenangan” (1983) dan “Perasaan Cinta” (1984) tidaklah begitu memberi kelebihan untuk Zaleha benar-benar bersinar. Sekadar mengisi kemeriahan pasaran muzik semasa sahaja ketika itu.
Namun kehadiran album “Hadiah Kenangan” yang diedarkan pada tahun 1985 mengalihkan perhatian pendengar ketika itu dengan hits “Dangdut Raggae” yang meledak sebagai salah satu hits yang memberi laluan untuk nama Zaleha Hamid semakin dikenali.
Gaya nyanyian Dangdutnya dengan pengaruh penyanyi Hindi menjadi bahan bual ketika itu. “Dangdut Raggae” membuka lebih ruang untuk Zaleha Hamid muncul kerap di kaca televisyen selain mendapat airplay yang kerap di radio-radio tempatan.
Kejayaan single tersebut membawa versi terbaru yang dimuatkan dalam album berjudul “Asmara” yang beredar di tahun 1986. Album ini memberi kejayaan luar biasa buat Zaleha Hamid, album ini tidak hanya mengecap kejayaan di pasaran domestik tetapi di pasarkan sehingga ke negara matahari terbit, Jepun.
Keunikan muzik dan gaya nyanyian Zaleha Hamid menerusi “Asmara” menarik minat pengeluar muzik di sana, Bomba Records untuk memasarkan album ini sebagai sebuah naskhah muzik global.
Album yang masih mengekal S.Atan sebagai produser muzik turut menampilkan sebuah lagu daripada komposer Indonesia, Tito Ario yang melengkapkan “Asmara” sebagai sebuah banchmark muzik Dangdut tempatan sehingga hari ini.
Pesona vokal Zaleha dalam alunan tersendirinya itu jugalah menghadirkan sangat banyak penyanyi Dangdut setelah itu – Ramlah Ram satu daripadanya yang mengagumi bakat muzik legenda ini yang turut menjadikan rujukan muziknya.
Peralihan muzik legenda Dangdut ini ketara di album “Ombak Derita” yang menampilkan beberapa lagu Balada 80-an. Saya kira hal ini tentu sahaja kerana mahu merelevankan Zaleha Hamid di pasaran muzik semasa. Jadi terhasillah beberapa lagu seperti “Puas Aku Menangis”, “Ombak Derita” dan “Di Saat Ini”.
Penyampaian Balada Zaleha Hamid not bad at all, mungkin benar kata orang kalau anda master dalam penyampaian Melayu Asli campakkan sahaja apa juga lagu pasti akan mampu dibawa dengan baik. Dan itu juga ada pada penghibur ini.
Kelibat Zaleha Hamid di pentas-pentas acara sentiasa dinanti, terutama sekali hits malar segar miliknya “Dangdut Raggae”. Tenaga berpentasnya memberi nyawa dalam setiap acara yang harus diraikan.
Apresiasi muzik terhadap legenda ini seharusnya berterusan. Tanpa Zaleha Hamid saya tidak pasti siapa yang akan berani untuk mengetengahkan jaluran muzik ini di sini.
Kesemua lagu-lagu klasik Zaleha Hamid kini boleh anda dengarkan secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN