
Kitaran muzik Indonesia tidak pernah membosankan saya. Sebagai seorang yang membesar dengan mendengar Harvey Malaihollo, Katon Bagaskara, ME, AB3, Ruth Sahanaya sehingga munculnya Krisdayanti, Maliq n D’Essentials dan era kugiran Dewa 19, SO7 dan Padi – saya kira piramid muzik Indonesia sentiasa memberi keterujaan bagi saya.
Tahun ini tahun besar untuk joki cakram (DJ) paling hangat Jakarta mencipta nama dalam skala yang cukup besar sekali. Nama Dipha Barus hari ini menjadi dambaan semua penyanyi yang mahu berkolaborasi bersamanya.
Rakaman semula lagu saduran Aku Wanita oleh Bunga Citra Lestari antara yang paling popular tahun ini. Kolaborasi ini antara yang begitu menjadi sekali selain all-time favorite saya tahun ini Made In Jakarta kolaborasi Dipha bersama Adrian Khalif yang penuh groove namun masih terasa esen muzik Indonesianya.
Saya mula mendengar nama Dipha ketika kolaborasinya bersama Andien dalam lagu Rindu Ini yang dimuatkan dalam album rakaman semula Let It Be My Way yang diedarkan pada tahun 2014 dan kemudian nama Dipha sekali lagi mendapat perhatian saya ketika dia muncul dalam debut extended Teza Sumandra tahun lalu menerusi lagu I Want You Love.
Terus terang saya bukan penggemar EDM dan muzik-muzik yang berlegar pada idea beat-beat pantas elektronik ini. Tetapi saya kira istimewanya Dipha Barus ini adalah kerana dia tidak sesekali berkompromi untuk hanya menghasilkan beat dalam lagu sahaja. Yang paling saya kerap ulang dengar adalah kolaborasi bersama Rinni Wulandri dan Teza Sumandra menerusi trak Lemme Get That.
Setiap produksi yang dihasilkan bakat berusia 31 tahun ini masih mengekalkan melodi dalam lagu tanpa terlalu overdo hanya untuk kedengaran current dan internasional. Bunyi Indonesia dalam produksi muzik Dipha masih ada yang dibantu kuat pelantunnya.
“Gue ingin menjadi musisi yang terus mengeksplorasi budaya. Bukan cuma budaya Indonesia, tetapi eksplorasi ke mana-mana. Jadi intinya gue nggak mau bikin musik yang sekadar gamelan berkolaborasi dengan DJ. Bagi gue bukan begitu caranya. Seharusnya bagaimana musik-musik ini bisa ketemu titik tengahnya.” – Dipha Barus (Rolling Stone ID)

PENGARUH MUZIK JAMIROQUAI KE FRANK OCEAN & KUALA LUMPUR
Dipha dalam temubual bersama Rolling Stone Indonesia memberitahu Frank Ocean adalah pengaruh besar dalam penghasilan muziknya. Ketika dia di bangku sekolah, Dipha mula bermain muzik bersama kugiran Infinity yang banyak bermain lagu-lagu saduran.
Kendatipun obsesinya terhadap muzik tidaklah disokong sepenuhnya oleh kedua ibu bapanya, Dipha Barus kedatangan Dipha ke Kuala Lumpur sebagai pelajar Lim Kok Wing yang berkelulusan grafik ini meneruskan segala obsesi dalam muziknya ketika ibunya mengirimkan upright bass miliknya ketika menuntut.
Hasrat untuk meneruskan minat dalam bidang muzik di Berkeley terbantut di situ namun sebetulnya perjalanan muzik Dipha sebetulnya bermukim di Kuala Lumpur apabila dia membeli turntable pertamanya di sini dan terlibat dengan home session gig bersama teman-teman kuliah.
Maka di sini bermula segala perkenalan Dipha bersama DJ Yulansi dan Ray Soo yang mambawanya ke kelab malam ternama Kuala Lumpur, Zouk ketika itu sebagai opening act buat dua DJ tersebut. Saya kira di sinilah titik mula bakat Dipha disedari.
DJ Blink antara yang membawa Dipha ke acara seperti LAPSAP dan kolaborasi mereka di ruang The Loft, Zouk membawa nama Dipha setapak lagi dalam arena muzik sebagai joki cakram yang semakin dinantikan kemunculannya setiap hujung minggu.
Sekitar 2007 Dipha harus pulang ke Jakarta kerana masalah kesihatan ayahnya sebelum kembai membuat comeback di Zouk bagi slot Unity yang diselenggarakan persatuan pelajar Indonesia di Kuala Lumpur.

PULANG KE JAKARTA BERSAMA AGRIKULTURE
Sisa pengalaman bermain muzik di kelab popular Kuala Lumpur akhirnya mengembalikan Dipha ke Jakarta dengan menubuhkan Agrikulture yang menghasilkan sebuah album pada tahun 2012 dengan hit Lagu Cinta Cintaan.
Dipha aktif sebagai DJ bagi acara muzik elektronik sekitar Indonesia. Dia memulakan PonYourTone sebagai acara festival muzik yang kemudiannya bergerak sebagai sebuah label muzik yang menjadi hub kreatif anak muda Jakarta hari ini yang mahu berkarya.
Membaca journey muzik Dipha ini sebetulnya membuatkan saya cukup terinspirasi. Daripada angan-angan tak berestu mahu ke Berkeley belajar muzik membawanya ke Kuala Lumpur bergaul dengan kelompok muzik elektronik di sini sehingga menjadi produser paling on demand tahun ini di Jakarta.
Daripada tenaga muda seperti Roman Food Soldier, Rinni Wulandri sehingga top score muzik Pop seperti Andien, Titi DJ dan Bunga Citra Lestari – Dipha membuktikan obsesi berserta kerja keras akhirnya membuahkan hasil yang cukup memuaskan hatinya.
Tahun lalu Dipha sudah mencipta satu lagi sejarah yang tersendiri, Anugerah Musik Indonesia (AMI Awards) 2017 menganugerahkannya trofi Karya Produksi Rap / Hip-Hop Terbaik dan Karya Produksi Dance / Electronic Terbaik.
Dan tahun ini dia mampu berbangga pabila mendapat nominasi tertinggi AMI Awards 2018 dengan tujuh pencalonan kesemuanya termasuk Karya Terbaik menerusi lagu Money Honey. Dan dengan beberapa lagi single cemerlangnya tahun ini seperti Decide dan Skin To Skin (Monica Karina) Dipha saya kira sudah cukup selesa dengan apa yang diusahakan selama ini.
Ini hanya satu permulaaan, saya pasti segala jenis kecemerlangan yang dikecapi sepanjang tahun ini akan berterusan kerana kerja keras, minat tinggi dan segala kualiti yang ada dalam dirinya yang ada mampu membawa nama Dipha Barus kekal relevan dalam legasi yang diciptanya.
Bagi yang baru mahu mengenal Dipha Barus di Malaysia, Ini senarai lagu yang harus anda dengarkan. Lebih mudah klik sahaja pautan Spotify MuzikKita di bawah