
Artikel ini sebetulnya sambungan artikel sebelum ini yang mengupas pasaran muzik tempatan yang secara menyeluruhnya masih berlegar dengan lambakan balada daripada bakat muda yang amat diragui bakatnya. Mudah cerita pemasaran muzik yang ada sekarang tidak bervisi dan hanya berdasarkan apa yang seperti dikatakan – pendengar mahukan. Jika benar ini apa yang pendengar mahukan, again saya repeat – kenapa teruk sangat taste muzik korang? Berikut senarai rilis terbaik yang ada sepanjang setengah tahun ini tanpa mengikut turutan.
HARAM (Dayang Nurfaizah & Hael Husaini)
Hael Husaini / Ezra Kong
Diperdengarkan buat pertama kali di pentas Anugerah Neelofa yang lalu – Lagu ini tidaklah terlalu original (rujuk lagu-lagu dalam album Faizal Tahir 2013) tapi relevan dan segar – baik melodinya, liriknya dan kolaborasi live yang begitu sempurna sekali. Gandingan Hael dan Dayang tidak kedengaran janggal, menyatu dengan sempurna di pentas. Tapi maaf saya tidak begitu menyukai versi studio lagu ini yang seperti mendengar dua jentera vokal digital yang didayangkan dan dihaelkan (Saya harap anda faham maksud saya).
DEBAR LEMBUT (Salammusik)
Muhd Payung Irhas / Ashraf Salam Azlan
Corak muzik nusantara Salammusik dalam Debar Lembut membuatkan saya fikir masih ada harapan untuk genre begini bergerak tanpa di ‘fusion’ kan dengan cara yang terlalu elektronik. Penulisan lirik Ashraf juga sangat baik. Lagu ini sebetulnya sudah jauh meninggalkan lagu-lagu lain yang ada di pasaran mass hari ini. Peluang untuk melihat lagu ini popular mungkin sukar tapi saya percaya hayat lagu ini akan diingat lama sama seperti apa yang pernah Monoloque lakukan dalam Batu Belah Batu Konkrit (duet bersama Azlina Aziz)

OH! (Leaism)
Lea Ismail
Oh yes! Ini bakat baru paling promising tahun ini. Saya benar-benar sukakan kraf muzik Lea dalam single berjudul Oh! ini. Cukup lembut, menyentuh dan beremosi sekali. Dan saya sukakan cara Lea mengalun butir lirik dalam lagu ini dengan cukup jelas dan sampai cerita dalam teks yang ditulis. Saya berharap kraf begini akan diteruskan dan dikembangkan untuk single yang akan datang. Nasihat saya jangan buat lagu yang bising dan jangan jadi Fynn Jamal.
NJWA (EP)
EP ini beredar dengan hanya tiga lagu yang cukup solid penghasilannya. Ocean saya letakkan antara lagu terbaik yang pernah NJWA rakam sepanjang karier muziknya. Togok nukilan Loque juga menarik dengan eksperimentasi gamelan dalam kraf muzik yang cukup rich bunyiannya. Kualiti rakaman setiap lagu dalam EP ini terlalu hebat bagi saya. Kerjanya cukup halus dan butiran bunyian dapat didengar dengan cukup jelas dan puas sekali.
TAK PERNAH HILANG (Kaer & Amylea)
Farouk Roman / Amylea
Kolaborasi komersial yang cukup seimbang dan segala keseimbangan vokal dalam lagu ini menerbitkan satu perasaan yang cukup dalam mentafsirkan teks dalam lirik tulisan Amylea. Saya selalu percaya sebuah balada yang berjaya bukan atas faktor betapa tinggi nyanyian pelantunnya tetapi balada yang berjaya adalah naskhah yang memiliki feel yang sampai pada pendengar. Dan lagu Tak Pernah Hilang ini cukup sifatnya bergerak sebagai sebuah balada yang baik dan bersifat evergreen.
STARFEATHER (Faizal Tahir)
The Faithmen
Sejujurnya kali terakhir saya enjoy karya FT adalah lagu Assalamualaikum dan Negaraku kolaborasi hebat bersama SonaOne, Altimet, Joe Flizzow. Lagu yang lain-lain tu sejujurnya terlalu biasa dan tak ada apa yang terlalu istimewa. Even lagu Malaysia tu pun terlalu biasa untuk saya sebab dia FT jadi expectation kena tinggi sikit. But but but, Starfeather mengembalikan keterujaan saya mendengar FT sepertimana Assalamualaikum dan Negaraku.
Secara teorinya lagu ini terlalulah FT sifatnya tapi saya sangat sukakan cara team The Faithmen menyusun struktur lagu ini dengan efek khas melatari lagu ini dengan justifikasi yang cukup baik. Bukan setakat nak buat dan Nampak moden. Dan saya sangat-sangat sukakan bait ini – “If you feel like you’ve got the weight of the world on your shoulders, Look around, you’re alive, Alhamdulillah…”Indah…

SAMPAI KE HARI TUA (Aizat)
Aizat memang master dalam menulis melodi romantis begini. Raniaku, Dwihati dan Lagu Kita antara contoh lain. Sampai ke Hari Tua mungkin terinspirasi daripada kejayaan Strala tapi saya rasa SKHT lebih romantis, lembut dan menyenangkan. Lagu begini akan jadi klasik sebab yang pastinya akan sentiasa dipasang di majlis-majlis persandingan pengantin-pengantin baru.
SEMAKIN (Sarah)
Mera Utama
Saya betul-betul puas dengan comeback Sarah ini yang cukup sifat perasaannya. Vokal Sarah amat gemersik di bahagian awal dan transform menjadi cukup powerful towards the end. This is a very intense balada patah hati yang memiliki esen muzik balada Indo Pop. And its totally okay Sarah at least rujukan awak tidaklah kedengaran kebelakang.
LOVESICK (Midnight Fusic)
Adrian Danial / Arif Kamarudin / Firdaus Azmi / Muaz Rabbani
Sebuah kugiran yang cukup promising. Lovesick sebuah naskhah indie dengan groove dan feel retro yang menarik kraf muziknya. Current dan earworm untuk pasaran urban yang jalannya mungkin bukan untuk pasaran Khai Bahar atau Wany Hasrita yang pastinya tetapi nyata lebih baik daripada kedua-dua itu.
VIBE (Kuizz)
Kuizz Shah
Jumlah strim di Spotify yang melebihi 2 Juta membuktikan Kuizz bukan calang-calang bakat. Saya mula mendengar karya bakat muda ini ketika dia mewakili Malaysia untuk program Air Asia #DreamComeTrue dan single Vibe ini bukti ada sesuatu yang luar biasa dan harus kita sama-sama sokong serta angkat bakat yang bergerak sendiri ini ke standard yang lebih tinggi lagi.