
Artis: Panklima
Produser: Panklima
Satu hal yang pasti tentang bakat indie biar capaian mereka tidak melejit tetapi idea mereka besar, bebas dan datang pemikiran yang tersendiri. Hal-hal ini disatukan dalam penceritaan berbaur kritikan sosial dengan kemampuan bermuzik yang datang dengan ilham sebiasanya menolak ilham komersial.
Panklima yang saya temukan dalam carian cadangan di Apple Music satu daripada kugiran yang menarik pendengaran. Bukanlah kerana muzik mereka terlalu asli dan tidak biasa didengar tetapi ketajaman pemikiran dalam penulisan lirik yang diceritakan membuah satu attitude bermuzik yang sangat menarik untuk ditawani.
“Dato Seri” membuka EP lima lagu ini dengan cukup mudah mengikat pendengaran saya. Liriknya benar-benar menjerat untuk saya kekal ke hujung lagu – “Aku percaya satu hari nanti // Di langit terbangnya anak-anak babi.” cukup provokatif sebelum ia menjadi lebih keras menyuntik nama politician “Aku percaya Najib baik hati // Aku percaya Anwar rendah diri // Aku percayakan semua ini // Kerana mereka itu Dato Seri.”
Melodinya juga sangat baik dalam memberi justifikasi yang sangat baik untuk bergerak sebagai sebuah naskhah muzik yang keras kritikannya. “Senggama Dunia” meneruskan momentum muzik serupa. Sekali lagi dengan pena yang sangat tajam, lagu ini bergerak sebagai wakilan suara yang (Yang mungkin) ditindas atau merasa sebegitu.
“Mahu hidup harus mendustai // Berlaku jujur engkau mati.” sebelum diisi dengan “Kau liberalisasikan ekonomi // Tanpa persetujuan kami.” dan menjadi lebih hopeless “Aku mahu cuba // Menyelamatkan dunia // Tapi seorang diri // Takkan memberikan sebarang makna.”
Menikmati muzik Panklima itu harus beriring pemahaman pada penulisan lirik mereka. Lagu-lagu yang dihasilkan mungkin bukan ilham baru tetapi ia harus diraikan sebagai sebuah kelangsungan pemuzik-pemuzik yang mahu bersuara biar tidak ada yang mendengar. Itu mungkin tanggungjawab bagi mereka dan tiada yang salah tentang hal ini.
EP ini harus didengar dengan terbuka dan sebetulnya ia tidaklah sukar dinikmati. Muzik yang mereka hasilkan masih ada daya pengikat dengan ilham nusantara yang ada suntikan Keroncong, Joget dengan cara tersendiri. Lirik menjadi senajata mereka untuk kita melekat sehingga ke penghujung setiap lagu. “Orang kita // Tak makan babi // Tapi arak dibedalnya pula.”
Saya harus juga memuji persembahan vokalisnya yang ada attitude yang sangat kuat dalam penyampaian lagu-lagu begini. Jika anda boleh pinjamkan 12 minit yang ada hari ini, silakan membuka pendengaran dan pemikiran lewat EP ini.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN