
Album: Bisikan
Artis: Noh Salleh
Produser: Noh Salleh
Label: Hujan Selaseh / Noh Phrofile
Nama Noh Salleh sebagai bakat solo muzik hadir cukup tersendiri yang berawal dengan lagu “Angin Kencang” yang dimuatkan dalam album studio pertamanya yang turut menampilkan lagu lain seperti “Sang Penikam” dan “Mr. Polia”.
Album perdananya itu juga menjadi semakin menarik dengan paket semula yang menampilkan lagu-lagu dalam produksi muzik kelas satu. Lagu “Sarawak” sehingga hari ini saya letakkan sebagai lagu terbaiknya sehingga hari ini.
Tahun lalu Noh sempat mengedarkan single melankolik berjudul “Debu Bercahaya” dalam persembahan melodi yang cukup membuai dan kemasan muzik yang begitu baik sekali penghasilannya. Berserta single itu Noh turut mengedarkan sebuah lagu lagu berjudul “Mahu Ke Mana”.
Terkini, Noh dalam rencana karier muziknya menghadirkan sebuah lagi naskhah EP digital terbaru berjudul “Bisikan” yang memuatkan 5 lagu keseluruhannya termasuk “Debu Bercahaya”.
EP ini dibuka sedikit keras dengan “Cinta Tak Lama” dalam ilham fusion retro dengan kemasan string yang merasuki baik keseluruhan melodi lagu ini. Korusnya mudah diingati dan melodi linear dalam cerita cinta remaja.

“Mau Ke Mana” lebih menarik pendengaran saya dengan kemasan string yang agak raw tetapi masuk dengan penampilan vokal Noh dan kemasan muziknya yang baik. Saya lebih gemarkan melodi ini di bahagian korusnya yang hadir dalam groove yang sederhana namun cukup terasa.
Momentum album ini menjadi lebih sederhana dan mellow di lagu “Jalur Dia” dan “Debu Bercahaya” sebelum ditutup begitu kemas dengan lagu berjudul “Bisikan” yang saya sifatkan sebagai lagu terbaik di EP ini.
“Bisikan” hadir dalam spirit bermuzik yang cukup Noh Salleh sekali sifatnya. Melodinya begitu mellow membuai dalam rasa yang cukup buram dan hiba lirik yang cukup membuai rasa. Bait “Biarkan ku tunggu sebentar, usia ku dah tak lama, sampai akhir masa ku yakin kau pulang…” menghadirkan remang rasa yang begitu dalam sekali.
Melewati EP lima lagu yang dihasilkan sepenuh lagunya oleh Noh ini saya kira dia sudah siap siaga berdiri teguh sebagai seorang pemuzik yang akan dihormati.
Lagu-lagu Noh mungkin sukar untuk menembus carta lagu popular tetapi akan pasti dijadikan rujukan muzik pada masa mendatang oleh pelapis-pelapis muzik muda.
8.6/10
ARTIKEL BERKAITAN
Faizal Tahir Menawan Hati “Sumandak” Semalaysia Dalam Seriosa Penuh Humor