
Album: ep “lelaki gila.”
Persembahan: Naim Daniel
Produser: Amir Firdaus / Bajai / Doadibadai Hollo
Naim Daniel dalam rencana bergerak sebagai pemuzik benar-benar menggunakan peluang yang ada sebaiknya. Tidak hanya bijak dalam percaturan lagu-lagu yang sudah menjulang hits, Naim turut menjadi generasi baru muzik tempatan yang membentuk satu landskap yang mewarnakan pasaran muzik Pop yang hal-hal yang baik.
Sudah dibuktikan sebelum ini dengan rangkaian lagu seperti “Sumpah”, “Sembah”, “Adakah Engkau Menungguku” sehingga kolaborasi “Lara” bersama dua lagi genarasi Pop pelapis Hael Husaini dan Haqiem Rusli – Naim menjalani satu perjalanan bermuzik yang cukup menarik.
Lama tidak hadir dengan persembahan solo terbaru, sekadar kolaborasi bersama Daiyan Trisha tahun lalu juga Jamal Abdillah serta projek berkumpulan yang diusahakan. Naim tahun ini kembali dengan percaturan baru yang pabila diamati sebetulnya ia satu fasa yang menarik perkembangan karier muzik Naim.
EP diberi nama “lelaki gila.” ini bergerak dalam durasi 20 minit yang dilatari melodi Balada dalam persembahan jiwa galau. Dibuka dengan rakaman semula “Mengenangmu” yang pernah dirakam Kerispatih, Naim beremosi sebaiknya dalam persembahan rakaman ini. Tiada yang berlebihan semua yang yang dialurkan adalah perasaan yang tepat melambangkan perjalanan EP ini.
“lagu lelaki gila” (Naim Daniel / Amir Hassan) lebih menarik penghasilannya. Terhasil cukup mellow dengan naratif yang disusun dalam kisah air mata seorang lelaki. Rayuannya Naim dalam lagu ini cukup dirasai dan saya kira itu kelebihan Naim sebagai seorang pelakon yang mampu mengeluarkan emosi yang tepat.
Korus lagu ini terhasil cukup menawan. Bait “Biar aku // Simpan kamu // Tak ada yang tahu // Tak ada yang mampu // Memikul semua // Rasa pedih kita.” menjadi killer utama lagu ini dan dinamiknya semakin menarik di bahagian monolog Malis “Mengikhlaskanmu bagai memaksa kematian sebelum ajal.”
“ini tidak adil” (Naim Daniel / Amir Hassan) meneruskan momentum EP ini untuk bergerak sebagai sebuah persembahan Pop yang lebih baik. Saya paling tertawan dengan penghasilan korus lagu ini. Such a strong melody here. Instrumentasi di lagu ini menjadikan penghasilannya cukup menarik – piano yang melatari keseluruhan lagu membantu mood lagu ini untuk dirasai pendengar.
Naim lebih santai di lagu “syaitan pun pening.” (Naim Daniel / Amir Firdaus) dengan penghasilan lirik yang lebih kasual. “selasa.” (Naim Daniel) mengembalikan kita pada asas melodi yang biasa kita dengar dalam lagu-lagu awal Naim. Mellow dan meruntun perasaan dengan hanya iringan gitar rakaman lagu ini kalau diperhatikan seperti satu rakaman langsung. Naim sekali lagi beremosi sebaiknya di lagu ini dan itu adalah kekuatan dia sebagai tukang cerita.
EP ini terhasil singkat dan menyenangkan. Naim melayari sebuah kendala Pop tempatan yang sukar diduga dalam radar kreatif yang dia miliki dengan sebaiknya. Mendengarkan “ep lelaki gila.” tepat jam 12 tengah malam ketika ia diedarkan Jumaat lalu, jatuh tepat pada waktu dan sepinya kehendak sebuah malam.
7.6/10
ARTIKEL BERKAITAN