Lagu: Tanpa Rela
Artis: Misha Omar
Produser, Komposer & Lirik: Sze Wan / Misha Omar / Zul Husni / Slen Fadzil
Mixed & Mastered by: Ari Renaldi
Label: Sony Music
Saya semakin kurang mendegar ballad lokal tahun ini kerana ilhamnya serupa kecuali beberapa tenaga baru yang datang dengan ilham brand new ballad dengan sound terkini yang hebat seperti “Peluang Kedua” dan “Sembah”.
Selain itu saya kira saya hanya enjoy sahaja merdunya alunan Siti Nordiana menerusi “Angkara” juga Liza Hanim “Tiada” yang kedua-duanya meneruskan ilham ballad “Sampai Bila” Misha Omar sejak booming pada tahun 2018.
Cabaran untuk penyanyi Balada cukup besar saya kira untuk zaman sekarang. Kebijaksanaan untuk memberi sound yang current, fresh dengan produksi muzik yang berkelas menjadi hal yang harus difikirkan.
Sebab itu saya suka cara X Missing U, Penat, Peluang Kedua, Sembah, Sad To Cry, Nobody dan Simpan yang menjadi antara contoh melodi dengan asas Balada yang baik dan ditinggikan standard muziknya dengan kemasan muzik yang kekinian.

Misha Omar bersama producer Sze Wan dan vocal director Syafinaz
Terkini, Misha Omar hadir dengan hadiah terbaru buat penggemar muziknya, menghasilkan “Tanpa Rela” yang merupakan sebuah balada melankolis karya ciptaan Misha bersama Sze Wan juga listrik lirik Slen dan Zul Husni.
Cabaran besar buat Misha adalah untuk merangka sebuah Ballad yang mampu setanding standard “Sampai Bila” yang memberi satu impak luar biasa pasaran Balada lokal lantas menghasilkan terlalu banyak Sampai Bila dalam pasaran muzik tempatan selepas ia beredar dengan jayanya.
Dari segi melodi “Tanpa Rela” terhasil dalam standard teks Balada yang biasa kita dengar. Sedikit sebanyak mengingatkan saya pada lagu “Tiada Ruang Untukmu” (Adnan Abu Hassan). Penghasilan melodinya masih menjual elemen sayu, rintih dan resah yang sememangnya perlu ada dalam mana-mana Balada Melayu khususnya.
Keistimewaan “Tanpa Rela” saya kira terletak pada transisi kemasan muziknya yang cukup sederhana tanpa terlalu memaksa melodinya menjadi terlalu merintih dan lembik.
Sze Wan cukup bijak menjadikan Balada ini kedengaran mahal di setiap inci sudut rakaman muziknya yang begitu jelas dan lively. Menjadikan “Tanpa Rela” hidup sebagai sebuah pelayaran perasaan yang sempurna tanpa terlalu bereksperimen dengan sound yang berbagai-bagai.
Graf muzik turun naiknya lagu ini tersusun rapi dan kemas. Tak ada bahagian yang saya dengar seperti memaksa perasaan pendengar untuk suka dengan lagu ini. Semuanya terhasil indah dalam memberi justifikasi secukupnya terhadap asas melodi lagu ini
Jalan cerita lagu ini disusun dengan barisan bait lirik yang matang, pemilihan kata-kata yang jelas tanpa terlalu banyak bermain dengan perlambangan yang keterlaluan. Dibaca dan dapat diresapi perasaanya dalam setiap bait. “Memadam Hatiku Dan Hadiahkanku Sepi”, “Sendirian Didera Waktu” , “Hanyut Tak Terpujuk” – frasa rasa yang cukup kuat dan relatable dengan pendengar.
Dan melengkapkan naskhah ini tentu saja perasaan terbaik Misha Omar dalam persembahan vokalnya yang cukup kemas menyatu sebagai satu roh yang melengkapi sempurna dengan melodinya. It’s all about feelings – tiada bahagian yang kedengaran keterlaluan atau memaksa nyanyiannya.
Misha tenang dalam penyampaiannya, biar begitu sedih dan sayunya lagu ini, saya dapat menangkap satu rasa keberserahan yang tidak lemah tetapi cukup kuat tanpa perlu terlalu melepaskan semua emosi yang ada. Dikawal dengan begitu kemas sekali dan yang paling penting tanpa perlu adlib yang berlebihan.
Setiap bait dinyanyikan dengan memaknakan isinya. Nyanyiannya tidak terburu-buru, setiap patah kata kedengaran jelas. Misha memberi yang secukupnya tanpa perlu “berlawan” dengan lagu yang terhasil.
“Tanpa Rela” saya letakkan sebagai sebuah Balada yang cukup matang penghasilannya daripada setiap sudut – produksi muzik, penulisan lirik dan vokal.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN