Berilham muzik Reggae dalam balutan lirik berjiwa merdeka, Dr. Sam terus diingati sebagai seorang penghibur Patriotik.
Setiap kali menjelangnya bulan merdeka, lagu “Saya Anak Malaysia” pasti akan menjadi melodi yang berdendang di sana sini sebagai lambang kesatuan bangsa yang melambangkan jiwa besar patriotisme kita semua. Pelantunnya dR. Sam atau nama sebenar Salim Ibrahim menyinggah pasaran muzik tempatan dengan naskhah penuh kemanusiaan.
Pemilik nama penuh Salim Ibrahim antara bakat muzik yang awal merakamkan album solo dalam jaluran muzik Reggae. Bekerjasama dengan beberapa bakat muzik seperti M. Nasir, A. Ali dan Manan Ngah, namanya mula mengisi pasaran muzik tempatan di tahun 1983 dengan pengedaran album “Abu Nawas”
Bersama label Polygram ketika itu diisi dengan barisan sepuluh lagu diterbitkan oleh dua maestro muzik tempatan Michael Veerapan dan M. Nasir. Namun nama dR. Sam lebih dikenali ketika album ketiganya beredar.
Hits “Saya Anak Malaysia” yang diisi di album ketiganya itu benar-benar memberi momen tersendiri buat dR. Sam bergerak sebagai pemuzik. Dengan hampir kesemua lagu dihasilkan M. Nasir bersama penulisan S. Amin Sahab album ini bergerak dengan ilham Folk Nusantara.
“Sejuta Kalau Seribu Mungkin” menjadi sebuah lagi lagu yang memberi hits untuk dR. Sam di album ini. Ilham muzik dominan sifu M. Nasir di lagu ini dengan gaya mid-tempo menjadikan ia sebagai salah satu lagu yang cukup menarik di album ini.
Kisah dalam lagu-lagu yang berisi di album ini berlegar ilham masyarakat. Jiwa dalam lirik yang ditulis benar-benar menyelami kisah masyarakat biasa. Hal ini jelas dalam lagu seperti “Tuan Doktor”, “Raja Lelong” dan “Peristiwa di Tengah Hari”.
Album “Sinar Harapan” yang diedarkan pada tahun 1987 menjadi album terakhir yang dirakamkan dR. Sam namun apa yang sudah dipersembahkan menerusi lima album kesemuanya – Abu Nawas (1983), Sayang Oh Sayang (1984), Saya Anak Malaysia (1986), Semarak Merdeka (1987) dan Sinar Harapan (1989) akan sentiasa diingati pengikut muzik 80-an khususnya.
Kesemua lagu-lagu daripada dR. Sam boleh didengari di saluran YouTube EMI – Getaran Nostalgia.
ARTIKEL BERKAITAN