
Pasaran muzik Indonesia yang luas dan beragam membenarkan apa jua genre muzik ditinggikan darjatnya tanpa punya kasta atau pembahagi yang menjurangkan satu genre dengan satu genre yang lain.
Hal ini boleh sahaja dilihat dalam sejarah Anugerah Musik Indonesia (AMI) sudah seperti Grammy yang mengiktiraf semua jenis genre dengan seadilnya.
Faktor demografik, citarasa dan keseimbangan dalam pemasaran muzik itu wujud di sana. “Lagi Syantik” mampu mendapat jumlah stream lebih 11 Juta di Spotify dan pada masa yang sama “Heaven” persembahan projek trio AIR (Afgan, Isyana, Rendy) didengar melebihi 13 Juta kali.
Kesaksamaan ini tidak hanya berpihak pada bakat-bakat muda semasa. Sheila On 7 tahun lalu yang tampil dengan single “Film Favorite” mendapat jumlah strim melebihi 13 Juta setelah kali terakhir muncul dengan album “Musim Yang Baik” terlebih awal pada tahun 2014.
Keseimbangan ini saya kira ada di Indonesia dan keterbukaan penggemar muzik di sana terhadap muzik itu tidak berbelah bagi. Semua mampu menikmati muzik tanpa prejudis dan penyanyi tidak perlu melakukan gimik murahan untuk mendapatkan perhatian. Semuanya dilakukan berkelas. It’s just a matter of taste sahaja yang membezakan lagu mana yang lebih kerap didengar.

raisa dan dipha barus
Raisa, Dipha Barus dan Marco Stefiano menerusi label Juni Records mencipta satu gagasan baru muzik Urban Pop bernama Juni Studio yang memfokuskan jaluran muzik baru dalam pasaran Indonesia. Menerusi Juni Studio, terhasil kolaborasi “Mine” dan “My Kind of Crazy” yang membawa sub-genre R&B iaitu Lo-Fi.
Afgan, Isyana Sarasvati dan Rendy Pandugo melahirkan ilham genius dengan kolaborasi AIR yang awal tampil dalam single “Heaven” menerusi album sedekad Afgan dan projek khusus ini diteruskan dalam EP empat lagu “Feel So Right”, “Never Let Go” dan dua versi “Heaven” yang salah satunya diramu semula Dipha Barus dalam beat EDM.
Tidak berhenti di situ, sebuah lagi lagu dirilis beberapa minggu lalu dengan mengembalikan nostalgia Dewa 19 dalam “Lagu Cinta” yang diadun lebih romantis dan lembut.
Tiga bersahabat dalam muzik ini menyatu baik sebagai satu contoh gagasan Pop masa kini yang membentuk prisma muzik Indonesia lebih bercitarasa dan ke depan.
Di satu pasaran serupa Pop Indonesia terus cemerlang dengan nama yang sedia utuh 5 tahun ke belakang. Barisan nama seperti Tulus, GAC, Kunto Aji dan Yura Yunita sudah kuat sebagai barisan penerus dalam gerakan kosmik Pop yang cukup tersendiri tanpa perlu terlalu terikat dengan idea serupa.
Mereka bersaing dalam cara cukup sihat dengan memajukan kraf muzik dengan ilham penuh inspirasi dan dikagumi.
Dalam pasaran yang lainnya pula kita dapat melihat bagaimana perlahan-lahan Eva Celia, Marion Jola, Rizky Febian dan Ardhito Pramono mencuri perhatian di setiap ruang yang ada untuk mereka membuktikan sesuatu yang cukup unik penghasilannya.

marion jola
Soal bakat usah dipertikai, setiap yang hadir tidak ada yang mampu dipertikaikan kebolehan menyanyi dan bermuzik. Via Vallen umpamanya biar tampil dengan ilham lagu saduran yang didangdutkan, kebolehan untuk dia menyanyi dengan baik itu sangat menakjubkan.
Marion Jola paling menyerlah dan sudah mampu selesa di kedudukannya sebagai bakat baru yang paling disenangi. Empat single dalam masa kurang dua tahun berhasil meletakkan dia sebagai bintang Pop masa depan yang kilaunya pastinya kan bertahan setidaknya lima tahun mendatang.
Sebagai pemerhati muzik seberang tentu saja kehadiran album penuhnya dinanti dan kedudukan Marion Jola di Anugerah Musik Indonesia musim akan datang sudah hampir pasti menempatkan namanya sekali lagi setelah cemerlang tahun lalu dengan beberapa nominasi utama serta pulang dengan trofi bakat baru terbaik.
Tahun ini saja sudah menampakkan bakat-bakat muda bercambah dengan cukup dinamik sekali. Teddy Adhitya, Pamungkas, Sal Priadi, Putra Timur, Adikara Fardi dan Albert Fosis sebagai wakilan solois lelaki dan Rahmania Astrini, Hanin Dhiya, Vira Talisa, Nadin Amizah, Ify Alysa dan NIKI yang siap di medan antarabangsa di bawah label 88 Rising.

barisan papan atas gagasan pop indonesia – Andien, Yura Yunita, Raisa, Isyana Sarasvati, Teddy Adhitya, Rendy Pandugo dan Afgan.
Barisan papan atas gagasan Pop Indonesia seperti Rossa, Afgan, Andien, Yura Yunita, Raisa, Isyana Sarasvati, GAC dan Rendy Pandugo sudah menghasilkan sesuatu yang cukup membanggakan pasaran muzik seberang. Ini baru di legasi Pop belum lagi saya ke pasaran Hip-Hop, Indie serta Rock yang lebih beragam serta berkeksperimantal penghasilan muzik mereka.
Formula kolaborasi AIR saya kira sebuah projek genius dalam mengumpul penggemar muzik tiga penyanyi ini – eksperimen muzik mereka yang lebih urban diterima kerana pengaruh besar 3 penyanyi ini. Jika mereka bergerak sendiri kesannya mungkin belum mampu sebesar ini tetapi kolaborasi ini menghasilkan sesuatu yang cukup membanggakan sekali.
Afgan bagi saya sudah evolve sebagai pemuzik Pop yang cukup matang dan berkelas. Daripada solois melantun Balada patah hati dia perlahan-lahan mencipta satu kosmik Pop yang lebih moderate dan menjadi lebih kemas penghasilan muziknya.
Pemuzik muda Indonesia progresif dalam melakukan sesuatu yang berbeza bagi perkembangan muzik yang lebih global sifatnya. Mereka tidak lagi hanya mahu terikat dengan idea lokal dengan justifikasi yang biasa-biasa.
Setiap satu rilis yang hadir saban minggu pasti akan ada sesuatu yang cukup besar sifatnya dengan penghasilan kualiti muzik yang cukup membanggakan.
Neon, Bling & Ch$ng – Mendekati Kosmik Baru Lo-Fi Hip-Hop Nusantara
Pasaran muzik Urban tempatan sebetulnya sudah siap dengan bakat-bakat yang sudah menghasilkan karya yang baik. MFMF, Bil Musa, NJWA, Hani & Zue, Zamaera, Alif & SonaOne, Lunadira, Alextbh dan beberapa nama lain seperti Daiyan Trisha, Naim Daniel, Aisyah Aziz, Amni Musfirah, Beverly Matujal.
Cuma peluang serupa untuk didedahkan di media massa, mendapat air play dan dihebahkan media-media komersil juga alternatif perlu lebih ligat. Jika mampu kita mendidik pasaran seperti Indonesia – mengangkat lagu yang betul untuk dipopularkan rasanya kita mampu untuk bergerak lebih ke depan mencipta masyarakat yang celik muzik serta bercitarasa dalam muzik.