
Kiriman emel yang sering MK terima datang dari pelbagai barisan label, baik independen sehingga label besar yang sibuk dalam rangka promosi arti serta produk mereka baik yang datangnya dari pasaran tempatan mahupun jauh di tanah seberang.
Dalam banyak-banyak yang kami terima, bakat solo bernama “Irma Seleman” ini antara yang cukup memikat. Biar hanya pertama kali mendengar muzik yang dikirimkan, Irma tampil cukup meyakinkan menerusi single yang diberi judul “Was It A Lie” yang siap beredar di gedung muzik digital 8 Julai lalu.
Mendapat pendidikan awal dalam muzik di International College of Music (ICOM), Irma diterbangkan ke Berkelee dalam satu program akademik – “Berklee Transfer Program” yang mengikatnya menjadi pelajar muzik di sana selama 2 tahun setengah bagi membawa pulang segulung Ijazah.
Membesar dengan pengaruh muziknya seperti Stevie Wonder, Chaka Khan, Mary J. Blige dan Erykah Badu – Irma dilihat dekat dengan naskhah urban begini dalam penghasilan lagu-lagunya.
Di tahun 2016 dia tampil dengan album sulungnya berjudul “My World” yang mengambil ilham Funk, Pop & R&B yang menjadi forte baginya bermuzik. Biar album tersebut tidaklah mendapat perhatian menyeluruh, percaturan Irma saya kira tepat bagi perkembangan kariernya.
Terkini, Irma tampil dengan single rakaman live berjudul “Was It A Lie” yang menampilkan sekali lagi sisi groove dan funk yang ada padanya. Single yang dihasilkan sepenuhnya Irma ini melibatkan 20 pemuzik termasuk kumpulan koir yang terdiri daripada Evelyn Feroza.