
Lagu: Adakah Kau Mendegar
Artis: ALYPH
Komposer & Lirik: ALYPH
Produser: Magic Potion
Sumbangan ALYPH (Alif) dalam perkembangan muzik tempatan sangat besar saya kira dalam meninggikan standard Pop tempatan ke arah yang begitu membanggakan. Berawal dengan naskhah-naskhah cemerlang buat Kaka Azraff ALYPH perlahan memberi satu suntikan yang cukup segar membanggakan.
Pengalaman bermuzik bersama SleeQ membantu ALYPH mencipta empayar muziknya perlahan-lahan dalam menemukan formula muzik yang cukup solid dengan jiwanya dan pada masa yang sama memberi anjakan pada landskap Pop tempatan.
Lihat sahaja senarai lagu yang sudah diciptakan buat penyanyi lain “Bukan Hal Aku”, “Diamonds”, “Sibuk” (Kaka), Satu Peluang”, “Donde”, Shimmy” (Andi Bernadee),”Panas” (De Fam), “Berserah” (Zizan) sehingga “Bagaimana Dengan Aku” (Rayiputra) antaranya hadir memberi satu warna berbeza dalam pasaran Pop tempatan.
Hal-hal ini terlalu besar bagi saya jasanya seorang pemuzik mampu lakukan untuk mengubah landskap Pop tempatan yang tidak lagi stuck dengan ilham serupa.
ALYPH semakin cemerlang dengan kolaborasi genius “DETAIL” bersama SonaOne dalam menghasilkan Hip-Hop yang seiring pasaran global tetapi masih terisi jiwa domestiknya.
Terkini setelah kali terakhir tampil solo pada tahun 2017 dengan single “Buat Selamanya” ALYPH tampil dalam dengan naskhah “gelap” dalam persembahan penuh kejujuran yang bergerak sebagai sebuah transfusi muzik yang menyerap perlahan tetapi cukup dalam.
“Adakah Kau Mendengar” terhasil sebagai sebuah formasi muzik yang melambangkan perjalanan panjang bermuzik ALYPH. Karyanya kali ini lebih berat yang hampir tidak meneumukan titik klimaks dalam kepuasan mendengar.
Namun saya kira itulah istimewanya “Adakah Kau Mendengar” sebagai sebuah siren pemberitahu – ALYPH di radar kematangan bermuzik yang menantikan hasil yang ranum dalam karya-karya mendatang.
Single ini menyuntik sebuah jiwa baru dalam gerakan muzik ALYPH. Hal-hal ini saya temukan dalam penulisan liriknya yang terisi dengan sebuah kepastian dalam banyak hal yang dia lakukan sekarang dalam keegoan sebagai seorang pemuzik.
“Aku tahu nak bercampur dengan siapa,
Boleh Baca cara, jenis dan niatnya.”
“Pada saat aku mengambil alih
Aku yang telah meluaskan ruang yang sempit”
Untuk benar-benar enjoy “Adakah Kau Mendengar” saya kira harus memahami konteks liriknya dan perjalanan bermuzik ALYPH. Satu kepuasan sebenar akan anda temui menerusi lagu ini.
Saya tidak mahu mengatakan ini lagu terbaik sepanjang kariernya kerana saya pasti ini hanya satu prolog kepada bab baru yang masih banyak lagi episod yang bakal ditulisnya sebagai pemuzik yang matang. Dan saya tidak sabar menantikan episod seterusnya.
10/10
ARTIKEL BERKAITAN
Menyemai Chemistry Dalam Feel Good Pop Lunadira & Reddi Rocket Menerusi EP 5 Lagu “Tangerine”