
Dalam lambakan muzik Pop yang semakin serupa bunyi dan perasaannya, Amir Jahari mengalihkan pendengaran saya pada satu pengalaman mendengar muzik dengan perasaan yang cukup dalam sekali.
Album yang beredar secara fizikal ini dilancar 10 November lalu dalam satu showcase istimewa buat penggemarnya. Sayang saya terpaksa melupakan hasrat untuk ke showcase tersebut atas undangan perkahwinan yang bersilih.
Dan album ini hanya tiba di meja kerja seminggu selepas Amir merenda perasaan bersama semua penggemarnya yang menghadirkan diri di showcase tersebut. Saya tidak terus memasang album ini tetapi saya bermula dengan membaca tulisan tangan Amir dalam inlay yang serba sederhana.
Tersedia dalam tujuh lagu bersama penambahan hidden track “Ingga” yang sudah pun lebih awal dirilis. Ingga menjadi antara lagu terbaik persembahan Amir sepanjang kariernya selain karya cipta “Wangikanlah Hati” yang ditulis bersama AG Coco persembahan betari seni muzik Melayu, Noraniza Idris.
“Nafas” membuka Siang & Malam sebagai satu melodi pengabdian hamba kepada tuhannya.
Seperti membaca teks doa dalam sebuah cerita – penyerahan jiwa Amir buat sang pencipta begitu jujur dan humanis sekali. Bait pembuka “Ku menghampiri waktu yang terus berjalan berputar tanpa ada yakin.” dan bait-bait ini diteruskan dengan “Aku tahu Kau wujud aku tahu dikau di mana ku melihat sekeliling.”
Dan semua bait-bait puitis ini dilantun sempurna dalam kesederhanaan feel Amir yang saya harus katakan di sini dirasai jujur dan betapa dia memaknakan apa yang diucapkan. Saya paling terkesan dengan persembahan Amir dalam bait “Ada bila masa untuk ku bernafas, ada bila waktu terus berputar.”
“Sila Robek Hati Ini” lebih memukau, Amir mengundang kagum saya dengan produksi muzik yang begitu besar sekali sifatnya ini. Elemen folk nusantara yang dikomersilkan dengan cukup cemerlang tanpa terasa pretentious seperti pemuzik yang satu lagi itu, ermm tak apalah…
But seriously lagu ni begitu dasyat sekali penghasilannya. Saya menguatkan volum stereo saya untuk membiarkan pendengaran menyerap bunyian yang maha hebat sekali penghasilannya ini.
Lagu ini bagi saya memperlihatkan segala potensi yang ada pada Amir untuk bergerak sebagai seorang karyawan muzik yang bijak bermain dengan elemen muzik yang pelbagai dan menjadikan sifat muziknya asli dan berdiri sendiri.
Trak ketiga album ini, “Syurga” seawal intronya sudah mengingatkan saya pada lagu-lagu hebat Mumford & Sons seperti I Will Wait dan Babel dan diteruskan dengan lagu “Sang Perindu” (Bersama Noh Salleh) datang ilham rasa nusantara yang cukup sederhana. Saya sukakan blend vokal Noh dan Amir dalam lagu ini menyatu baik sekali.
Persembahan vokal Amir semakin lembut dalam “Bayang” yang sekali lagi buat saya seronok membaca teks lirik lagu ini. Amir ibarat berbicara dengan dirinya sendiri tentang kekecewaan, kegagalan dan betapa dia ingin bangkit menjadi a better person. Cantik sekali hasilnya. “Kita adalah satu untuk selama-lamanya.”
“Tersenyumlah” sebuah lagi favorite saya dalam album ini. Ada feel festival, lagu-lagu yang begitu akan mudah kita enjoy dalam persembahan live. Struktur lagu ini seakan “Ingga” – catchy, mesra pendengaran. Bagus juga untuk radio.

Album ini ditutup dengan “Hadiah Dari Tuhan” (Menampilkan Mafidz) yang cukup mellow dalam komposisi dan penulisan lirik yang cukup puitis sekali. Ibarat penyudah dalam kembara seharian sebagai manusia, Hadiah Dari Tuhan saya kira naskhah lullaby yang sempurna untuk menenangkan jiwa-jiwa yang resah.
“Siang & Malam” bergerak sebagai satu refleksi kemanusian dan kehidupan yang cukup besar sekali jiwanya. Amir Jahari, AG Coco & Ahmad Huzaini membawa kita pada satu kosmik ranjau hidup yang sebetulnya dilalui setiap satu daripada kita semua.
Fasa kekeliruan, keresahan dan kebahagiaan sebagai seorang manusia. Melewati erti kesederhanaan malah kekecewaan dengan begitu bererti sekali.
Saya tidak pasti bila lagi agaknya segala jenis rasa kemanusiaan setebal ini dapat dipersembahkan dalam sebuah repertoire muzik yang solid serba serbi baik pada penghasilan melodinya, lirik juga persembahan vokal paling humanis seperti “Siang & Malam” yang dipersembahkan penuh kejujuran.
Album ini mungkin bukan sebuah naskhah yang anda akan dengar setiap hari di radio, apa lagi menjadi naskhah AJL yang mungkin bagi sesetengah juri terlalu kompleks hasilnya serta tidak boleh dipertandingkan kerana lagu yang bertanding sifatnya harus “diterima ramai”. Apa-apalah…
Tetapi saya nak cakap kat sini – sila beli, dengar, faham dan hadamkan kehalusan hasil album ini. Belajarlah untuk mendengar muzik yang sebegini – sesuatu yang dihasilkan dengan cukup teliti dan halus kerana hanya dengan itu kita mampu menjadi masyarakat yang faham bahawa fungsi muzik itu lebih daripada sekadar hiburan.