KRU cukup dominan dalam pasaran muzik tempatan dengan ilham Rap dan Hip-Hop. Mereka bergerak sebagai pioneer jaluran muzik ini dan sudah bergelar legenda muzik tanah air. Kehebatan 3 beradik ini dalam meramu karya-karya mereka tidak mampu disangkal sesiapa jua pun.
Kegemilangan “Mengerti”, “Awas”, “Negatif”, “Oh Lala”, “Fobia” dan “Fanatik” antaranya akan sentiasa dilaung nyanyikan penggemar mereka yang membesar di era 90-an sehingga berganti generasi hari ini. Dengan kredibiliti mereka untuk sustain dalam pasaran muzik tempatan lebih 3 dekad dan diingati itu hal luar biasa dalam sejarah penubuhan grup muzik.
Tidak terikat dengan fast number yang menggabungkan Pop Hip-Hop, Dance – tiga beradi Norman, Yusry dan Edry ini juga jagoan dalam penghasilan Pop Balada yang diproduksi dengan cukup cemerlang penghasilan melodinya yang menongkah arus tipikal Balada mendayu tempatan.
Ketika mengedarkan album ketiga mereka “Awas” (1994) sebuah single berjudul “Janji Tinggal Janji” cukup mencipta fenomena tersendiri. Lagu ini antara naskhah Balada penting dalam kembara muzik mereka yang cukup berjaya mencuri pendengaran penggemar muzik tempatan ketika diedarkan. Kraf melodi lagu ini bergerak cukup tersendiri dan ikonik sekali.
Melepaskan sebuah lagi Balada hits sepanjang zaman mereka menerusi lagu “2” yang dimuatkan dalam album “Awas Da’ Soundtrack” berjaya memperlihatkan citarasa bermuzik mereka yang sangat banyak dipengaruhi feel R&B Ballad in the 90-s ketika itu. Pengaruh Boyz II Men dan All For One antaranya meresap dalam lagu ini. Selain sebuah lagi lagu di album ini yang cukup baik penghasilannya berjudul “Emilia”.
Meneruskan persembahan Balada mereka, album “Ooh La! La!” beredar pada tahun 1996 antara yang sekali lagi berjaya menghasilkan hits Ballad mereka menerusi lagu berjudul “Apa Saja” sebuah Akustik Ballad terbaik pernah mereka hasilkan sepanjang berkarier.
“Apa Saja” saya pasti bukan sahaja personal favorite saya sebagai penggemar mereka tetapi sudah dihafal ramai orang yang mendengarkan lagu ini. Korusnya “Untukmu kasih gembira bersedih, Selagi ku bernyawa, Untukmu kasih, Kukorban Apa saja” itu akan sentiasa diingati by heart pastinya.
Menerusi album serupa trio tiga beradik ini turut menghasilkan dua lagi lagu Balada yang penghasilannya sangat sedap sekali. “Balada Hati” dan “Ulangkan Sekali Lagi” pasti akan terus diingati penggemar mereka.
Pernah menghasilkan album Inggeris perdana mereka “The Way We Jam” yang beredar pada tahun 1999 – KRU mengeksplorasi feel Pop R&B dengan lebih baik. Lagu seperti “More Than Forever” dan “For You” memiliki esen Pop kumpulan Extreme, Boyzone dan Savage Garden antaranya yang dialun gitar akustik melatari Balada mereka.
KRU menerusi “Formula Luar Biasa” (1999) kembali menghasilkan sesuatu yang lebih matang dalam persembahan muzik mereka. “Jangan Lafazkan” yang menjadi antara hits album ini saya letakkan sebagai Balada terbaik yang pernah mereka rakamkan. Kualiti persembahan keseluruhan lagu ini terletak di tahap sangat baik dan matang untuk sebuah grup muzik.
“Jangan Lafazkan” dihasilkan dalam kemasan muzik yang cukup moden ketika diedarkan, terisi dengan efek bunyian yang disatukan feel Pop Melayu dengan cukup baik. Dan siapa saja mampu lupakan konsep muzik videonya yang cukup kreatif dan berevolusi ketika diedarkan. Lagu ini sempurna sebagai sebuah naskhah yang harus menjadi benchmark Balada era milenium.
Kreativiti mereka sebagai pemuzik bergerak semakin baik ketika membuah ilham rakaman semula “Getaran Jiwa” yang menghidupkan kembali Seniman P.Ramlee. Sempat menjadi kontroversi ketika itu kreativiti KRU ketika itu dipersoalkan kerana memanipulasi seniman agung itu dalam persembahan Pop mereka.
Tidak mahu larut dan berhenti kerana kritikan, KRU menghasilkan sebuah lagi Balada mash-up dua lagu popular 80-an “Perpisahan” persembahan Revolver dan “Terasing” nyanyian Sudirman. Lantas menghasilkan sesuatu yang baru dan segar dalam meninggikan kembali standard Pop tempatan menerusi “Perpisahan Terasing”.
Lagu ini antara yang terhasil cukup baik kemasan muziknya. Eksperimentasi KRU cukup menjadi dalam menggabung dua lagu popular ini menjadi satu sound baru untuk dinikmati generasi baru ketika itu. Diedarkan pada tahun 2002 menerusi album “Empayar KRUjaan V 2.0″.
Ilham Balada KRU tidak hanya terikat pada lagu-lagu nyanyian mereka semata-mata. Projek kolaborasi bersama Indigo (Seperti Yang Kujangka), Elite (Di Pintu Syurga) dan Erra Fazira (Ucapkanlah) juga antara yang cukup popular dan diingati sehingga hari ini. Persembahan Pop Balada mereka cukup tersendiri tanpa terikat ilham mendayu dan meleleh.
Berikut 10 trak Balada terbaik KRU sepanjang zaman pilihan MK. Kesemua lagu-lagu KRU boleh anda dengari dan dinikmati secara rasmi di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
1. Jangan Lafazkan
2. Perpisahan Terasing
3. Seperti Yang Ku Jangka
4. Janji Tingga Janji
5. 2
6. Apa Saja
7. Babe
8. Ulangkan Sekali Lagi
9. Saat Ku Pejamkan Mata
10. Di Pintu Syurga
ARTIKEL BERKAITAN