
Lagu: Campak Bintang
Artis: Faizal Tahir & M. Nasir
Komposer / Lirik: Faizal Tahir / Romeo / Glowrush / Karim Karam
Produser: LET ZAPIN
Kematangan FT sebagai seorang penyanyi, pemuzik yang bercerita lewat lagu, mengambil ilham lagu-lagu rakyat dalam karya-karyanya yang dimodenkan dengan kemasan muzik yang current membentuk satu ekosistem Pop yang cemerlang tanpa terikat muzik pada idea muzik luar semata.
Sejak “Ragaman”, “Sumandak” sehingga “Santai” – FT bermuara dengan ilham muzik yang lebih catchy, mudah mendekati pendengar muzik semasa namun masih datang dengan infusi muzik Pop yang moden dan current. Idea-idea P. Ramlee, lagu rakyat yang dimodenkan dengan cerita masa kini menjadi ruang eksplorasi FT dalam bermuzik.
Dengan kerjasama tenaga baru muzik baru di bawah Faithful Music menjadikan landskap muziknya itu evolve. Cukup laju dalam penghasilan lagu-lagu baru, FT bagai tiada keinginan untuk memperlahankan langkah bermuziknya.
Kali ini datang dengan idea yang lebih besar dalam sebuah dream collab bersama sifu muzik M. Nasir, FT bersama batalion muziknya di Faithful menghasilkan single “Campak Bintang” yang menjadi pengisian utama karier muziknya tahun ini.
“Campak Bintang” terhasil dengan begitu mudah untuk didekati. Melodinya cukup mengikat dengan sekali pendengaran. Bersulam attitude bermuzik M. Nasir dan FT yang menyatu sempurna menjadikan lagu ini sebuah lagi lagu yang saya kira bakal menjadi lagu penting dalam karier FT.
Liriknya bercerita dalam sebuah teks cerita yang mungkin tidak jelas jika dibaca sekali lalu. Ia mungkin menuntut sedikit ilmu juga ketajaman pengetahuan dalam kisah-kisah sejarah Islam. Dalam bait-bait yang disusun kemas di lagu ini, ia bergerak sebagai sebuah bahan fikir untuk pendengar.
“Semalam Ku Bermimpikan Dia // Bagai Purnama Terangi Gelap Gelita.” membuka lagu ini tanpa memberi bayangan siapa ‘Dia’ yang dimaksudkan di lagu ini sehingga di bait “Dia Pergi Tinggalkan Cahaya // Menerangi Segala Pelusuk Gelita.” memberi bayangan lagu ini berkisah tentang Rasulullah S.A.W.
Teks lirik lagu ini serta melodinya benar-benar mengikut attitude bermuzik M. Nasir sebetulnya dan FT dengan begitu bersahaja menyatu dalam roh bermuzik sifu. Kolaborasi ini cukup genius bagi saya. Lagunya tidak dihasilkan terlalu kompleks, ideanya mahu pendengar dekat dengan jalan cerita yang ditulis di teks lirik dengan melodi yang mudah mengikat pendengaran.
Naskhahnya tepat untuk kedua-dua ikon muzik ini, saya tidak mampu membayangkan jika lagu ini dapat pada penyanyi lain kerana hasil dan impaknya akan sangat berbeza. “Campak Bintang” sempurna di tangan FT bersama M. Nasir. Sehingga Mei ini saya kira kita sudah memiliki lagu terbaik tahun ini.
10/10
ARTIKEL BERKAITAN