
Lagu: Bahagiakan Dia
Artis: Liza Hanim & Shila Amzah
Komposer / Lirik: Alif Iskandar
Produser: Rudy Nastia
Kolaborasi Pop hari ini semakin dirancakkan dengan gabungan yang tak diduga. Pernah Jaclyn Victor diganding bersama Siti Nordiana menerusi “Nisan Cinta” yang awalnya terasa aneh namun hasilnya cukup memuaskan begitu juga gandingan Dayang bersama Zynakal tahun lalu.
Projek kolaborasi sebetulnya jika kena pada percaturan dapat membesarkan pasaran muzik buat kedua-dua penyanyi yang digabungkan bersama dalam satu lagu. Boleh berkongsi kuasa peminat hari ini yang sokongannya luar biasa obsesinya.
Hal ini sudah terbukti impaknya menerusi rilis seperti “Tak pernah Hilang” (Amylea dan Kaer), “Aku Cinta” (Ernie & Syamel), “Belenggu Rindu” (Wany & Jamal) dan “Haram” (Dayang & Hael) antara yang cukup berjaya membesarkan nama-nama ini dalam radar popular.
Tahun ini giliran Liza Hanim bersama Shila Amzah pula disatukan dalam sebuah projek terajui In Digital Music yang menghasilkan lagu berjudul “Bahagiakan Dia” yang baru-baru ini membawa pulang 2 trofi di Anugerah Industri Muzik.
Istimewanya lagu ini bukanlah kerana kehebatan melodinya tetapi kekuatan nama Liza dan Shila yang menunjangi lagu berdurasi 3 mint 21 saat ini untuk membuat kita mahu mendengarkannya sehingga ke hujung.
Jika mahu bergantung pada penghasilan melodi saya tidak melihat apa-apa kelebihan. Daya pengikatnya benar-benar pada kolaborasi vocal giants dua bintang mega ini. Jika ia diberikan pada penyanyi lain mungkin ia sekadar angin lalu.
Liriknya juga tidaklah begitu memikat pendengaran saya. Bait “Jujurlah kepada ku sayang // Luahkan semua rasa rindu // Katakan kau milikku walau hanya penipuan” begitu mengelirukan. Di saat mahukan satu kejujuran, diminta juga satu penipuan.
Saya mendengar lagu ini berkali-kali sejak ia diedarkan. Kadang cuba untuk suka dan in denial sebab saya suka Liza Hanim saya suka Shila Amzah tapi itulah saya jujur dan tidak sukakan penipuan. Jadi lagu ini agak gagal di pendengaran saya.
Namun begitulah percaturan muzik hari ini. Urusan pemasaran yang bijak akan membawa sesebuah naskhah itu ke tahap yang lebih baik. Sebagai bukti sekali pun ia hanya sebuah melodi biasa tetap memberi impak kerana pelantunnya. Peminat mereka akan laju mengundi agar kekal dalam radar popular dan pastinya menjadi pengisian content creator yang ada untuk bereaksi di saluran mereka.
4.2/10
ARTIKEL BERKAITAN
Kesyahduan Nikki Dalam Memikat Pasaran Semasa Dengan “Sudah”