
Saya mendengar Takdir (Dayang Nurfaizah) ketika album ini diedarkan sekitar awal tahun lalu dan terbit satu rasa betapa istimewa karya ciptaan Hazami dalam mencorak satu komposisi muzik yang memberi justifikasi pada vokal Dayang. Dan jujur dalam banyak-banyak lagu dalam album sepenuhnya balada itu, Takdir antara lagu dengan persembahan vokal terbaik Dayang.
Dalam erti kata lain saya puas mendengar butir sebutan dan feel Dayang dalam lagu tersebut. Takdir menjadi lagu kedua ciptaan Hazami buat Dayang. Kredit juga goes to Genervie Kam sebagai produser lagu tersebut pastinya. Coretan Cinta yang dimuatkan dalam album Dayang Sayang Kamu menjadi naskhah pertama ciptaan Hazami buat Dayang.
Kemudian saya mencari semula beberapa lagu ciptaan Hazami yang dinyanyikan penyanyi lain seperti Sarah (Tiada Dikau Tiada Makna & Cuma Permainan), Fazli Zainal (Harapan), Anuar Zain (Simpati Cintamu), Azharina (Rawan), Nikki (Pinta) dan Liza Hanim dengan lagu Cinta Kelana yang dimuatkan dalam album penuh terakhirnya Imagin sekitar 2007.
Ternyata lagu-lagu ciptaan Hazami punya dinamik melodi yang cukup bagus sekali. Kraf muziknya masih berlatar melodi balada melayu yang biasa kita dengar tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya adalah Hazami bijak menggerakkan melodi ciptaannya sesuai penyampaian penyanyinya.

Sekalipun tidak semua lagu-lagu tersebut disusun dan diterbitkan oleh Hazami, tetapi kraf asal muziknya bagi saya cukup besar sifatnya tetapi masih in control, tiada yang terlalu mencuba menjadi luar biasa.
Hazami memulakan karier nyanyiannya dengan populariti Sonata Musim Salju dan Tekad. Pop yang dibawanya bersulam feel R&B tetapi masih kental feel Melayunya. Tekad masih antara lagu terbaik Hazami sehingga hari ini begitu juga Kata yang ditulis untuk album keduanya.
Lagu seperti Mungkir Bahagia bagi saya antara naskhah melodi yang cukup cemerlang penciptaannya yang memiliki semua elemen penting untuk menjadi malar segar. Dan formula serupa diteruskan dalam lagu Kata Cinta Madah Dusta (Album Nyata) dan Yang Pertama (Yang Pertama/Running) namun dua single tersebut sedikit gagal mendapat perhatian.
Pinta yang dicipta untuk Nikki masih antara komposisi terbaik Hazami yang pernah dicipta sepanjang kariernya selain Rawan persembahan Azharina. Skala muzik Pinta cukup luar biasa bagi saya dan apa yang lebih luar biasa adalah persembahan serba sempurna Nikki dalam lagu yang dimuatkan dalam album berjudul Maharani tersebut.
Sebuah lagi lagu yang cukup underrated adalah karya Hazami buat Amylea menerusi debut Selepas 3. Lagu berjudul Andai dengan feel R&B – Saya sukakan komposisi simple lagu begini. Groove masih terasa dan gabungan vokal Amylea dan back-up vokal yang dibuat Hazami cukup istimewa sekali. Groove yang sama kental dalam album Nyata yang saya sifatkan sebagai album terbaik sepanjang karier Hazami.

Tahun lalu sebelum melibatkan diri dalam pertandingan Gegar Vaganza, dia sempat menghasilkan single ketuhanan berjudul Maha. Lari daripada skop balada ala Mungkir Bahagia, lagu tersebut bagaimanapun tidak begitu mendapat perhatian. Melodinya baik cuma mungkin bukan untuk pasaran massa.
Terkini, Hazami sudah menyiapkan rakaman lagu terbaru Aishah berjudul Malar dan kita masih lagi menanti masanya untuk single tersebut dikeluarkan. It is good to know masih ada yang mampu melihat karya Hazami masih memiliki sakti. Untuk popular tiada jaminan tetapi untuk menjadi timeless dan sentiasa boleh didengar pada bila-bila masa itu pasti. Malah saya kira karya-karya Hazami biar kental jiwa melayunya tetapi masih punya kelas dan lebih baik daripada mana-mana lagu komposer muda seperti, ermm tidak mengapalah.
Terus sukses buat Hazami daripada Muzik Kita. Berikut Senarai Lagu Terbaik Ciptaan Hazami sepanjang masa.
PINTA
Penyanyi: Nikki
Album: Maharani (2005)
Arranger / Produser: Sharon Paul
Semua tentang lagu ini bagi saya cukup timeless – baik penciptaan melodi, lirik, susunan muzik cukup kemas Sharon Paul dan yang pastinya vokal memukau Nikki yang memberi justifikasi terbaik dalam lagu berjudul Pinta ini. Truly masterpiece!
KATA
Penyanyi: Hazami
Album: Kata (2005)
Formula Pop paling cemerlang sepanjang karier Hazami. Kraf lagu ini cukup asli dalam acuan yang tersendiri. Biar usia lagu ini sudah lebih sepuluh tahun namun ia masih segar untuk didengar tanpa jemu dan tanpa rasa ke belakang.
SIMPATI CINTAMU
Penyanyi: Anuar Zain
Album: Anuar Zain (2011)
Arranger / Produser: Irwan Simanjuntak
Sayang lagu ini terbiar begitu sahaja tanpa didengar umum kecuali penggemar Anuar. Landskap penciptaan Simpati Cintamu sememangnya acuan muzik yang biasa ditulis Hazami (dengarkan lagu-lagu dalam album Yang Pertama…Running). Irwan Simanjuntak yang bertindak sebagai arranger membuatkan standard lagu ini menjadi lebih baik dan menjadikannya cukup kemas sekali.
RAWAN
Penyanyi: Azharina
Album: Rawan (Single)
Antara lagu ciptaan Hazami yang datang dengan killer chorus. Melodi lagu ini cukup syahdu, melankolik yang terlalu but feel lima bintang Azharina dengan skil nyanyiannya membuatkan segala kesyahduan melodi ini tidaklah kedengaran terlalu meleweh (Atau saya yang in-denial lol).
ANDAI
Penyanyi: Amylea
Album: Selepas 3 (2008)
Arranger / Produser: Hazami
Saya sukakan simplicity yang ada dalam lagu ini. Latar muzik R&B yang cukup minimal tetapi masih memilki groove yang cukup baik. Mendengarkan semula lagu ini sekarang membuatkan saya fikir Hazami sudah 10 tahun ke depan berbanding lagu-lagu yang berada di carta teratas hari ini.
TIADA DIKAU TIADA MAKNA
Penyanyi: Sarah
Album: Tiada Dikau Tiada Makna (2005)
Arranger / Produser: Hazami
Inilah yang saya maksudkan pabila saya katakan Hazami seorang produser / komposer yang bijak memberi naskhah yang mampu memberi justifikasi pada kemampuan penyanyinya. Dinamik vokal Sarah cukup dirasai dalam lagu ini. Saya cukup puas mendengar penyampaian hebatnya yang pastinya datang daripada kekuatan melodi yang dicipta Hazami. Sebuah lagi lagu dalam album serupa ciptaan Hazami buat Sarah berjudul Cuma Permainan.
MUNGKIR BAHAGIA
Penyanyi: Hazami
Album: Kata (2005)
Hazami membawa ilham Balada ke satu tahap yang lebih kemas dan berstruktur. Saya sukakan corak kemasan muzik Mungkir Bahagia dan tentu saja feel yang cukup mendalam daripada Hazami. Contoh terbaik naskhah malar segar yang akan sentiasa senang untuk dinikmati.
CINTA KELANA
Penyanyi: Liza Hanim
Album: Imagin (2007)
Arranger / Produser: Genervie Kam & Hazami
Imagin saya sifatkan sebagai karya terbaik Liza Hanim. Puas, itu perkataan yang tepat menggambarkan betapa senangnya saya mendengar persembahan sempurna Liza Hanim dalam Cinta Kelana. Sayang sekali lagu ini terpinggir dan jika saya jadi team Liza lagu ini dan sebuah lagi lagu berjudul Semilir akan saya rilis semula.
TAKDIR
Penyanyi: Dayang Nurfaizah
Album: Dayang Nurfaizah (2017)
Arranger / Produser: Genervie Kam
Sebuah lagi gabungan sempurna Hazami dan Genervie yang begitu baik penciptaannya. Biar saya lebih suka kraf muzik Coretan Cinta, tidak dinafikan Takdir lebih mudah kiranya menangkap perhatian pendengar mass. Saya hanya berharap team Dayang akan memberi justifikasi pemasaran yang sebaiknya untuk lagu ini. Maybe a duet version dengan Hazami, why not kan?
PENGALAMAN CINTA
Penyanyi: Bob
Album: Hantaran Hati (2006)
Sebagaimana saya puas mendengar vokal Liza dalam Cinta Kelana begitu jugalah saya puas mendengar suara emas Bob dalam lagu ini. Kombinasi melodi, lirik dan vokal yang maha dahsyat.
IMPIAN
Penyanyi: Jaclyn Victor
Album: Gemilang (2004)
Produser: Edrie Hashim
Impian memiliki pattern muzik kemenangan sama seperti Gemilang. Komposisi serta struktur Impian cukup baik bagi saya Cuma lagu Gemilang terlalu besar skalanya sehingga menenggelamkan Impian untuk menarik perhatian. Namun Impian masih lagi antara penciptaan terbaik Hazami biar agak underrated.
ARTIKEL BERKAITAN