
Lagu: Hilang
Artis: Kaka Azraff
Komposer / Lirik: Ezra Kong / Omar K
Produser: Ezra Kong
Konsistensi Kaka Azraff dalam bermuzik dengan caranya tersendiri tanpa perlu terlalu terikat kehendak pasaran Pop tempatan membawa namanya cukup utuh hari ini sebagai salah seorang penyanyi wanita yang tidak perlu dibayangi mana-mana penyanyi seusianya.
Setelah terkahir kali mengungguli gelaran juara di Anugerah Juara Lagu bersama Ezra Kong menerusi “Gila” , dia mengatur langkah bermuzik tanpa perlu tergesa-gesa hanya untuk kekal dalam radar popular.
“Janjiku” yang dihasilkan bersama MFMF. meneruskan momentum muziknya yang saya sifatkan “Kaka” sekali hasilnya. Setelah lebih setahun lagu itu beredar Kaka siap kembali hadir dengan lagu terbarunya “Hilang”.
Kali kedua menggunakan khidmat Ezra Kong yang kali ini berkolaborasi mengulik ilham bersama Omar K. “Hilang” hadir dalam pertaruhan Pop serba moden yang memberi satu dimensi kematangan bermuzik Kaka sebagai penyanyi berpengalaman.
Saya sudah lebih awal terlarut membaca teks liriknya sebelum mendengarkan lagu ini. Seawal dibuka dengan “Pohon merah tanduk // Senduduk tidak berbuah lagi // Tanam pada tanjung terkurung terbit bunga yang mati // Apakah pernah tuan saksikan Sakit dan kehilangan?” Sudah membuat saya teruja. Ini yang kita perlukan dalam penulisan lirik muzik Pop hari ini.
Kemasan bahasa dalam perlambangan menyampaikan cerita terhasil terlalu baik saya kira penulisan Ezra dan Omar dalam keseluruhan teks lirik lagu ini. Cara mereka mentafsir erti kehilangan itu begitu puitis dan cantik sekali susunan katanya.
“Hilang // Akarnya setia dikenang Janganlah biar cintanya hilang // Hilang” di bait korusnya saya kira keluar daripada ruang klise penulisan lirik lagu patah hati tempatan. Verse kedua lagu ini menjadi lebih baik.
“Gading tuah sudah berbuah tidak putus terhenti // Titisan-titisan air mata membasahi bumi // Bukan permata yang ku ingini Ku ingin kau kembali”
Lagu ini saya letakkan antara yang terhasil dengan penulisan lirik terbaik tahun ini. Persembahan vokal Kaka juga kedengaran berbeza, lebih bold dan penuh soul dalam penyampaiannya. Garau dan kasarnya memberi attitude berbeza. Pentafsiran Kaka dalam memaknakan setiap bait kata yang ditulis dijaga santun sebaiknya.
Saya sukakan semua tentang single tebaru Kaka ini, melodinya lengkap mentafsir definisi muzik Kaka sehingglah penghasilan seni kulit gambar single ini yang penuh estetika.”Hilang” definitely satu antara yang terbaik saya dengar tahun ini dalam radar Pop tempatan.
9.2/10
ARTIKEL BERKAITAN
Langkah Bermuzik Andi Bernadee Semakin Meyakinkan “Aku Di Sini”