
Lagu: Kuasa
Artis: Joe Flizzow & Azlan & The Typewriter
Komposer & Lirik: ALYPH / Joe Flizzow
Produser: ALYPH
Pasaran muzik Hip-Hop tempatan bergerak konsisten dengan adanya Mr. President ini yang sentiasa datang dengan pelbagai cara untuk meraikan kelangsungan jaluran muzik ini agar radar popularnya berterusan sehingga menjadi sub-budaya dalam masyarakat.
Dan ternyata usaha berterusannya menerusi Kartell Records disusuli projek 16 Baris dan sehingga terbentuknya Def Jam SEA melestarikan pasaran muzik Hip-Hop dalam skala yang lebih besar dan begitu berjaya sekali.
Banyak sudah nama-nama baru yang berjaya digilap bakatnya menerusi usaha yang dilakukan Joe bersama batalion muziknya bagi memberi satu warna berbeza pasaran muzik lokal yang hadir dalam citarasa muzik yang current dan tentu hadir dalam evolusi bunyi juga muzik yang baru.
Usai fasa “President”(2009) dan “Havoc” (2013), Joe kini dalam rangka menyiapkan album ketiganya yang dijadualkan untuk dirilis penghujung 2020. Dan bagi memberi keterujaan penggemarnya, “Kuasa” menjadi pertaruhan untuk album yang bakal diterbitkan nanti.
Bersama ALYPH (Aliff Magic Potion) Joe Flizzow menghasilkan “Kuasa” dalam kemasan produksi muzik kelas satu dengan teks lirik sarat kritikan sosial yang disusun baitnya dalam santun beralas.
“Bila gergasi terjaga suaranya kedengaran
Bila semut yang kecil kerjasama tiada berat
Bila tanya orang bijak apa perlu di angkat
Letak bawah dulang emas julang dulu martabat.”
“Kuasa” bergerak sebagai sebuah naskhah Hip-hop dalam tanggungjawab sosial yang penuh. Penghasilan lagu ini menampilkan sisi matang seorang Joe Flizzow sebagai pemuzik yang serius dan peka terhadap sosio-masyarakat.
Lagu ini mengingatkan saya pada penghasilan “Freedom” Pharell dan “The Charade” D’Angelo juga beberapa lagu lainnya yang hadir dalam persembahan teks kritikan sosial begini.
Kreativiti juga kajian penulisan Joe di lagu ini mengundang keterujaan pabila dia mengambil kata-kata Soekarno untuk mengutuhkan teks lengkap “Kuasa” dalam bait “Berikan aku sepuluh orang muda pastiku bisa menggoncangkan dunia.”
Mendengar “Kuasa” saya kira naskhah ini bukan hasil kerja yang siap dihasilkan seminggu dua kerana penghasilannya cukup teliti dan solid. Kolaborasi bersama Azlan & The Typewriter yang bertindak sebagai suara kedua dalam semua pesan-pesan hebat di lagu ini menyempurnakan naskhah “Kuasa” sebagai salah satu lagu terbaik tempatan tahun ini.
10/10
ARTIKEL BERKAITAN
“DETAIL” Naskhah Dynamic Duo Pasaran Muzik Hip-Hop Kelas Satu Tempatan