Lagu: Mona Lisa (Bang Bang) Persembahan: ALPHA Komposer / Lirik: Justin Seow / James Chaw / Kuizz Shah / Prem Anand / Roland Lim / Shi Jie / Sean Lew / Tyler Serfert Produser: Justin Seow / James Chaw / Kuizz Shah / Roland Lim Shi Jie
Gagasan Pop tempatan yang dimonopoli anak muda hari ini cukup beragam dalam memberi satu variasi pasaran muzik secara menyeluruh. Pengaruh K-Pop dan Hyperpop yang dibawa masuk dengan persembahan cemerlang Dolla sepanjang lima tahun bermuzik masih antara yang utuh meninggikan standard muzik tempatan dengan sound yang lebih bersifat global.
Dolla tidak hanya datang dengan tawaran lagu yang bagus sahaja namun mereka lengkap sebagai satu grup yang memiliki imej dan visual yang sempurna – melengkapi kehendak lagu dan kehendak pasaran pendengar hari ini. Hasilnya, apa yang kita nikmati adalah muzik video yang berkelas, styling yang current dan attitude yang tepat.
Big Stage tahun ini merangka ilham baru serba segar dalam membentuk satu grup lelaki pula yang pabila difikirkan semula sememangnya diperlukan di pasaran muzik tempatan. Biar awal saya agak skeptikal namun peserta-peserta yang ada kali ini sememangnya berbakat, current dan cukup segar serta faham kehendak muzik hari ini.
Maka dengan itu terbentuk ALPHA yang terdiri daripada Ariel, Araf, Afiq, Daniel, Izat, Ray-D dan Rizal. Melengkapi satu sama lain dan berpotensi untuk memiliki satu jalan yang cukup jauh jika mengena dengan percaturannya.
Dan bercakap tentang percaturan, maka terhasil single perdana boy group ini iaitu “Mona Lisa (Bang Bang)” sebuah persembahan Pop yang membuka peluang untuk mereka benar-benar meyakinkan pengikut muzik tempatan.
Dihasilkan Justin Seow, James Chaw, Kuizz Shah, Prem Anand, Roland Lim Shi Jie, Sean Lew dan Tyler Serfert. Lagu ini bergerak sebagai permulaan yang baik untuk ALPHA – attitude bermuzik mereka sebagai grup itu dirasai cuma lagu ini bagi saya agak kurang punch untuk memberi justifikasi pada vokal dan keupayaan mereka.
Namun ia masih boleh dilayan pabila didengar berulang. Tetap catchy cuma ia masih belum solid untuk kita bangga sebagai lagu yang boleh memiliki standard pasaran global. Beat, momentum dan kemasan muziknya could be better. Ada bahagian yang memerlukan lebih punch and killer untuk buat kita woo, wow, damn good – macam kita dengar lagu-lagu Dolla.
Maaf kalau saya banyak merujuk Dolla, tapi ini hal yang harus pihak pengurusan fikirkan kerana mereka memiliki line-up yang sangat bagus dalam grup ini cuma “Mona Lisa” tidaklah terhasil begitu impresif. Saya mungkin ada ekspektasi yang tinggi sebab saya rasa kesemua mereka yang ada dalam ALPHA ini luar biasa bakatnya and they deserve great material.
Namun saya percaya ini hanya permulaan, ALPHA banyak ruang dan masa sebetulnya untuk berkarya. Produser seperti Gaston Pong, SonaOne, ALYPH, MFMF., Mingaling, Joshua Tan dan Yonnyboii antara yang saya kira mampu menciptakan sound yang lebih solid untuk ALPHA di masa mendatang.
Ketika saya memutuskan untuk menulis tentang muzik, Saniboey Mohd Ismail menjadi individu terpenting mengapa ghairah menulis kritikan muzik itu wujud. Saniboey lantang dan bebas dalam penulisannya, penanya tajam biar ramai yang menganggap itu satu hentaman yang mahu mematikan pemuzik, penyanyi dan dunia showbiz tempatan – saya melihat sebaliknya. Ia sebetulnya satu cabaran untuk semua pemain industri melangkah lebih berani dalam berkarya.
“AJL Sucks!” , “Lagu ini sebenarnya kalau bagi orang buta dengar pun boleh tahu Pak Ngah yang buat.” – melekatnya sehingga hari ini di kepala saya saat dia mengkritik keras AJL ke-17 yang mengangkat Nirmala pemenang kategori Lagu Irama Malaysia Terbaik (Sependapat dengan saya, Hala Timur sepatutnya diangkat sebagai juara kategori)
Setelah itu, saya tahu saya mahu menjadi Saniboey Mohd Ismail biarpun ketika memulakan Muzik Kita (Blog asal accordingtohafizanmohd) pada tahun 2009 dia sudah memasuki dunia penyiaran – apa yang Saniboey tinggalkan pada saya adalah satu inspirasi dan keterujaan untuk menulis tentang muzik dan dunia showbiz secara amnya.
Bacaan di Rolling Stone Indonesia dan R.O.T.T.W (sebelum Pitchfork dan NME) juga banyak membuka pemikiran dan melihat muzik itu sebagai satu tanpa batas jaluran. Mungkin saya satu daripada ribuan yang ada berada di kategori yang disebut Miji Cromok sebagai crossover genre market (Ketika menemubualnya di EMI bagi projek universiti dulu) – jadi, apa pun jaluran muzik yang ada saya raikan, saya dengarkan dengan terbuka.
Maka dengan itu, Muzik Kita saya tubuhkan untuk meneruskan kelangsungan minat pada muzik dan penulisan kerana ketika ia bersiar sudah semakin tiada sebetulnya penulis yang mahu menulis tentang muzik tapi tulis tentang aib artis itu ramai.
Berbeza hari ini, kebangkitan penulis muda yang mahu menjadikan kewartawanan muzik ini sebagai sesuatu yang dipandang serius itu benar-benar ada. Maka dengan itu lima bersahabat, Ku Syafiq (Yang saya kenal sejak dia di Utusan), Zim Ahmadi (Daily Seni, Gedegang!) Al Kamil Kamarludin (Junklist), Farhira Farudin (noisyheadspacemag) dan Zahfrin Zulkifli (Gedegang!) melakukan sesuatu yang kolektif sebagai permulaan memasyarakatkan music journalism sebagai satu wadah dan budaya.
Menerusi buku yang diberi nama Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma lima idea menyatu dan bersuara dalam penulisan yang kritis tentang muzik, pemuzik dan peranan kita sebagai pendengar dalam menerajui dengan terbuka seni dalam penulisan berbentuk kritikan dan saran. Ada cerita pengalaman bersulam pengetahuan baru yang saya pelajari daripada kelima-lima mereka.
“With all the despondency of a failing music ecosystem, Lumut came into my life…”
Zim Ahmadi
Zim Ahmadi meritmakan penulisan daripada pengalaman, kerisauan dan kekaburan masa depannya dalam esei “Maybe the Scene is the Friends We Made Along the Way”. Berhujah panjang dan melekakan, saya bersahabat dengan penulis ini dengan ceritanya yang mungkin tidak sama tetapi berakar pada paksi serupa. Saya mungkin bertuah, bidang editorial membuka ruang untuk saya terus menulis dan bagi Zim yang melalui satu transisi naik turun melihat penerbitan indie ber’sayonara’ satu per satu itu memeritkan.
The Wknd yang diusahakan Fikri Fadzil dan Daily Seni yang buram membuat Zim sedikit jatuh hampa namun seperti di eseinya, Lumut memberi nyawa untuk dia tahu jika harapan masih ada untuk dia meneruskan keghairahan sebagai jurnalis muzik.
Dalam esei Zhafirin saya menumukan satu alunan seperti mengalirnya air dalam bahasa tersusun dan melekakan. Membaca “An-Nafs” membuat saya terdetik betapa besarnya kosa kata yang dikuasai Zhafirin. Dalam esei yang mengupas satu daripada lagu Inspired The Bee ini saya menemukan sesuatu yang jarang saya ‘consume’. Namun ia menjerat pendengaran saya melayani keseluruhan EP ‘Lowlife’ dengan satu keterbukaan yang membebaskan saya seketika daripada radar Pop harian.
Di sini saya kira peranan penulisan muzik itu sesuatu yang penting. Ia menghubungkan pembaca pada citarasa dan pemikiran penulis yang memperkenalkan saya untuk mendengarkan lagu-lagu Inspire The Bee. Hal serupa juga saya kutip dalam kupasan Zim menerusi esei Hyperpop yang ditulis di buku ini. Sejujurnya saya tidak tahu jika EDM hari ini disebut sebagai Hyperpop oleh generasi kini.
“Bersama Monoloque ia kedengaran terlalu dipaksa-paksa, semacam mengadun minyak dengan air.”
Alkamil Kamarludin
Saat diberi draft awal buku ini oleh Ku Syafiq, kata-kata Kamil membuat saya tersenyum dan berkata sendiri, “He’s not wrong.” Esei Kamil menjulang Sang Rawi – sebuah kugiran yang saya discover ketika PKP menjadi topik yang cukup dekat dengan saya sebagai pembaca. Ia berenang-renang di kiri dan kanan kepala ini dengan setuju tanpa prejudis.
Sang Rawi bak kata Kamil adalah pengemudi. Mereka memberi satu nuansa yang cukup keasliannya dalam memanipulasi muzik nusantara dan tradisional untuk pendengar muda dan moden. “Saya sarankan anda berhenti membaca sekarang dan tonton kesemua live session mereka di YouTube.” Obsesi Kamil yang begitu relatebale dengan apa yang saya percaya tentang kugiran ini.
Farhira Farudin melewati kebangkitan muzik galau dan healing music di era pandemik sehingga membuka seluasnya pintu untuk kugiran seberang Fourtwnty benar-benar diraikan di sini. “Sadness sells.” dalam hujahan panjang Farhira merungkai stigma kesedihan dalam persembahan live sambil menyanyi itu barangkali membawa anda kembali menyangkut pada kisah silam atau jika beruntung mampu melupakan kisah silam.
Hal ini sebetulnya membuat saya berfikir jika anda anak band atau anda sitizoners sekalipun – yang mendindingi kita daripada untuk berperasaan itu sebetulnya tiada. Muzik sekali lagi saya lihat sebagai satu tanpa batas pemisah kerana akhirnya ia berbalik pada rasa – sedih atau bahagia. Itu sahaja yang memanusiakan kita sebenarnya.
Kupasan Ku Syafiq di babak akhir buku ini melihat ekosistem muzik indie dan capaiannya serta peranan media. Ku mempersoalkan mengapa jaluran alternatif sukar diterima pendengar. Dan dia memberi jawapan yang kira cerdas – “Realitinya kita kekurangan pendengar yang berdikari dan mandiri. Yang mampu mentadbir cita rasa dan ada kesanggupan meneroka kepelbagaian muzik.”
Kerisauan Ku dalam dunia algoritma dengan generasi spoon feed ini menjadikan kita sebagai individu yang memiliki kebergantungan pada satu sistem dunia digital yang disebut Ku juga “Sampai nak makan apa pun kena tunggu review pempengaruh?” Itu baru soal makan, belum persoalan sesubjektif muzik. Kita menjadi individu yang menanti-nanti lagu apa lagi yang bakal viral setelah yang satu ini.
Tiada lagi keinginan meneroka sendiri dan memberi satu dedikasi juga apresiasi kendiri. Muzik hari ini menjadi sesuatu yang bermusim tiada lagi istilah timeless. Jadi jangan persoalkan mengapa radio masih mengulang putar Isabella dan data penstriman kugiran seperti Iklim masih antara yang tertinggi jumlah mainnya.
Algorifobik: Alternatif Resah Algoritma sebuah naskhah yang memiliki nilai fikir yang tinggi. Sudut pandangnya tidak hanya berlegar idea personal tetapi masih ada pengisian yang membawa kepada satu pemikiran baru. Saya senang melihat penulis-penulis muda seperti Ku, Zim, Kamil, Zhafirin dan Farhira mengemudi sebuah lagi cabang penulisan muzik sebagai satu representasi yang baik dan ada ilmu di dalamnya.
Ini adalah satu permulaan yang baik untuk sebuah kelangsungan penulisan muzik yang berpanjangan. Dan semoga generasi kini akan menjadikan kelima-lima penulis ini sebagai rujukan untuk percaya ruang untuk bersuara dalam penulisan itu sentiasa ada dan sentiasa bertumbuh biar caranya berbeza. Lihatlah kepentingan mereka seperti saya melihat Saniboey Mohd Ismail dahulu.
Dan untuk Kamil kembalilah mengemudi Junklist sebab Muzik Kita pun bukan hari-hari orang baca beb! *wink
Lagu: Sendiri Aku Ok Persembahan: Aizat Amdan Komposer / Lirik: Aizat Amdan / Mel Ramlan Produser: Izzy Musa
Aizat Amdan melewati pasaran bermuzik dengan santai sahaja sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Mungkin tiada apa lagi yang mahu dikejar selain terus meraikan penggemarnya dengan lagu-lagu sedia ada namun pada masa yang sama tidak kurang juga rilis-rilis baru yang tanpa perlu program pemasaran yang terlalu loud.
“Simfoni Hati Beradu” menjadi pertaruhan tahun lalu meramu ilham Synth Pop dengan feel retro-ish yang menawan. Dan jarang juga sebenarnya mendengarkan Aizat dalam pesona lagu-lagu sebegitu, setelah itu “Tegap Berdiri” dihasilkan sebelum menutup agenda muziknya tahun lalu.
Tahun ini sekali lagi dengan santai-santai sahaja Aizat melepaskan sebuah lagu single terbaru berjudul “Sendiri Aku Ok” yang sekali lagi dihasilkan dengan kerjasama Mel Ramlan dan Izzy Musa yang banyak menerbitkan karya-karyanya kebelakangan ini.
Lagu ini bergerak sekali lagi dengan ilham Synth Pop yang lebih moderate temponya berbanding “Simfoni Hati Beradu”. Kekuatan pada korus berulang “Sebenarnya sendiri aku ok // Untuk bahgia sendiri aku ok // Tinggal di kota sendiri aku ok.” Aizat benar-benar memilih jalan sederhana kali ini dan saya percaya kesederhanaan itu berbalik juga pada visi yang dia ada dalam bermuzik.
Saya senang dengan penghasilan lagu-lagu begini, lagu yang kala di persembahkan di pentas muzik live akan cukup senang membuatkan kita melayaninya, menyanyikannya dan berdansa dengannya. Berbicara soal persembahan muzik Live, Aizat sebetulnya sudah siap untuk memiliki sebuah konsert berskala besar.
Dengan barisan hits berawal “Hanya Kau Yang Mampu”, “Kau Aku”, “Lagu kita” sehingga “Sungai Lui”, “Susun Silang Kata”, “Jangan Menangis” dan “Sampai ke Hari Tua” – Aizat setidaknya memiliki kurag lebih 20 lagu yang kita kenal, hafal dan gemarkan. Hal yang Aizat harus pertimbangkan saya kira, a full scale concert because we are all ready for it.
Jumaat datang lagi, senarai lagu-lagu terbaru untuk anda isi sebagai penghibur akhir pekan menampilkan lagu-lagu baru Ernie Zakri, Aniq Iffat, Perry dan Naim Daniel.
Satu kerjasama strategik diraih dalam satu memorandum yang ditandatangani DBKL bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO). Kerjasama ini ini menjadi inisiatif berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya juga pada masa yang sama mempelbagaikan pengalaman pelancongan di ibu negara.
Majlis disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut merasmikan Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang menjadi salah satu program tahunan DBKL untuk mengangkat seni muzik orkestra tempatan ke tahap lebih tinggi.
Festival ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan bakat muzik sahaja malah menjadi sistem penggerak penyertaan aktif masyarakat dalam kegiatan seni budaya yang inklusif dan memberi impak bertaraf antarabangsa.
Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) diusahakan bagi mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya sepanjang tahun ini. Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
FOKL akan menjadi platform pembangunan ekosistem seni dan budaya melalui penglibatan para pelajar yang terpilih. Para peserta akan diberi peluang untuk terlibat secara langsung melalui persembahan orkestra sekolah yang dijadualkan pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL.
Menerusi program ini, DBKL turut menjalin kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai satu lagi usaha membina potensi generasi muda. Satu forum istimewa turut dianjurkan iaitu Orchestra Festival Forum yang menjadi destinasi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman setiap peserta yang terlibat.
Satu inisiatif dilaksanakan untuk memastikan keterangkuman dan akses yang adil untuk semua kelompok masyarakat. Antaranya termasuk penganjuran konsert amal bagi menyokong Persatuan Orang Buta Malaysia serta penyediaan tempat duduk khas bagi individu kurang upaya di setiap konsert.
Album: Misompuru Persembahan: Marsha Milan Produser: Amir Jahari / Velvet Aduk / Simmy Lor / Oja
Dedikasi Marsha dalam mengangkat lagu-lagu Etnik Borneo sebagai salah satu tanggungjawabnya sebagai pemuzik itu satu hal yang seharusnya diberi kredit. Ketika awal menghasilkan beberapa single Etnik bersama Velvet Aduk menerusi lagu-lagu seperti “Aramaitii”, “Oi Gaman” sehingga “War Cry” yang turut menampilkan kolaborasi bersama Alena Murang – Marsha membuka mata saya akan keseriusannya dalam mengemudi satu landasan Pop dengan tanggungjawab.
Hal ini mungkin tidak begitu diberi perhatian penggemar-penggemar “Cinta” atau “Kembali Terang” namun ini adalah satu hal yang harus diberi perhatian dan diperkatakan semua. Maka atas dasar tanggungjawab itu juga, Marsha meneruskan sebuah kelangsungan dalam menghasilkan lagu-lagu Etnik ini menerusi persembahan EP lima lagu “Misompuru”.
EP ini bermula perjalanannya dengan “Nalan Nalan” kolaborasi bersama Alena Murang. Dibuka lembut dengan ambien yang membawa kita terbayang luas sebuah pemandangan sebelum menjadi lebih catchy di keseluruhan lagunya. Lagu ini memiliki festive mood yang cukup kuat akar etniknya.
Lagu-lagu begini sebetulnya kalau secara komersial bunyinya sangat dekat dengan apa yang Noraniza Idris selalu bawakan. Ia sempurna sebagai sebuah naskhah mendekatkan kita sebagai pendengar dengan satu sound yang kita miliki tapi jarang betul dibicara dan diraikan.
Ilham catchy di lagu “Nalan Nalan” diteruskan menerusi kolaborasi Marsha bersama Velvet menerusi “Lintah Darat”. Korusnya mengikat, diiisi dengan cerita dalam kelompok masyarakat yang dekat dengan sesiapa sahaja sebetulnya. Ia bergerak sebagai sebuah satira Pop yang baik. Lagu sebegini sangat mudah dinikmati dalam persembahan pentas live.
“Pelangi Pasti” menjadi focus track EP ini yang dikemudi dengan begitu sempurna saya kira. Melodi ciptaan Amir Jahari dalam menyatukan elemen Nusantara, Etnik, Pop dan Folk itu sesuatu yang tidak diragukan lagi. Dia sudah membuktikan hal ini dalam lagu “Ingga” dan “Wangikanlah Hatimu” sebelum ini.
Menerusi “Pelangi Pasti” Marsha saya kira menemukan sebuah naskhah Pop Etnik yang terbaik sebagai pentafsiran muziknya. Lagu ini bergerak sebagai sebuah spiritual Pop yang diisi dengan dengan semangat dalam penulisan lirik terutamanya. “Kita pasti akan menang // Hujan tanda Tuhan sayang.” sebelum korusnya ditutup sempurna bait “Kerna setelah lebat hujan // Pasti pelangi kan datang.” Lagu ini seharusnya diberi satu perhatian yang besar daripada pendengar.
EP ini ditutup dengan “Santai Saja” dan “Hey Aramai Ti” sebagai sebuah pelayaran muzik yang baik bagi kita yang peduli dengan seni, budaya dan keunikan yang kita ada. Marsha mempersembahkan “Misompuru” sebagai sebuah naskhah yang komersial jika mahu dibandingkan dengan Alena Murang yang lebih teliti dan bereksperimentasi muziknya – tetapi ia juga sesuatu yang cukup bagus dan harus dibanggakan.
Apa yang dihasilkan Marsha mahupun Alena Murang saya pasti adalah satu dedikasi teguh pada seni dan budaya yang harus terus diperjuangkan generasi kini yang memiliki pengaruh. Marsha menggalas tanggungjawab ini sebaiknya dan “Misompuru” adalah sesuatu yang seharusnya kita raikan sebagai pendengar.
Album: Ini Adalah Ujian Transmisi Persembahan: Ramayan Produser: Ramayan / Faliq Mohd
Kebetulan beberapa hari sebelum album in beredar saya sedang melayani debut Francissca Peters berjudul “Komputer Muzik” sebuah persembahan Synth Pop, Jazz, Disco yang dikepalai maestro muzik Michael Veerapen yang memberi variasi bunyi untuk pasaran muzik 80-an yang cukup menarik dijadikan sebuah rujukan muzik hari ini.
Dan kelmarin Ramayan akhirnya mengeluarkan album terbaru mereka “Ini Adalah Ujian Transmisi” yang meramu ilham Synth Pop dalam muzik mereka. Semuanya saya kira bermula dengan single “Dendang” yang beredar lewat 2023 sebelum single “Samudera” dan “Jangan Biar” (Bersama Lunadira) diedarkan sebagai kelangsungan sound baru kugiran ini.
Ramayan yang sebelum itu cukup dikenali dengan muzik Psikedelik Pop dalam dua album “Ramayan” dan “Di Persiaran Cakerawala” memberi satu keterujaan untuk pendengar mereka. Transisi ini saya kira penting sesebuah kugiran atau persona muzik memberi satu suntikan segar dengan pengaruh baru dalam muzik mereka tanpa terikat idea serupa.
Identiti masih mampu dikekalkan dengan manipulasi muzik bersulam pengalaman, pengaruh baru dan kretiviti dalam bekerja. Dan ini yang saya dapat daripada mereka menerusi “Jangan Biar” “Samudera” dan “Dendang”. Keterbukaan untuk berkolaborasi bersama produser luar juga membukan satu landskap baru Ramayan untuk kedengaran cukup segar dan berbeza.
Faliq Mohd (FLQ) yang cukup dikenali dengan sound Synth Pop dalam karya-karyanya menyulam ilham Psikedelik Ramayan yang menyatu dengan cukup menari untk dinikmati tanpa rasa canggung. Album ini diisi dengan 11 lagu keseluruhannya yang memberi satu momen baru muzik Ramayan.
“Gadis Berbaju Merah” menjadi focus track albun ini yang cukup mengingatkan saya pada intro lagu “Komputer Muzik” dan “Si Mata Merah” milik Fran – which a good thing kerana ia setidaknya mengembalikan satu nostalgia yang terpinggir dalam persembahan muzik baru. Korusnya sangat baik dan kemasan muziknya juga datang dengan ilham yang cukup membebaskan ruang kreativiti Ramayan.
“Disko Kelana” dan “Cita-Cita Asmara” meneruskan ilham Disko dan Pop yang berlandaskan sesuatu satu vibes yang serupa. Dan berbicara tentang vibes, itu adalah hal yang ditawarkan Ramayan di album ini. Ia bergerak sebagai sebuah album berkonsep – melodinya mungkin tidak begitu mesra pendengaran namun persembahan muziknya boleh buat kita mengikut rentak Ramayan. Ia sebuah album yang sempurna untuk sebuah pesta tertutup dan it’s perfect for your weekend.
Di era 90-an dan 2000, Siti Nurhaliza mendominasi pasaran muzik tempatan dengan bersahaja. Bagai tiada yang mampu disaingi dan diterima terbuka – membenarkan dia menjadi figura Pop yang terus diraikan sehingga hari ini. Fasa perkahwinan dan melahirkan anak memperlahankan sedikit langkahnya dan membuka lebih ruang pada pemuzik baru mencuba nasib.
Namun di tahun 2018 dia kembali mendominasi pasaran muzik tempatan. Karya pelapis pop Hael Husaini dan Ezra Kong membawa namanya kembali gah dengan naskhah baru bermuzik. Muzik Kita melewati era baru Siti Nurhaliza dalam lagu-lagu terbaik yang pernah dirilis sepanjang tempoh 2018 sehingga 2024.
ANTA PERMANA(Hael Husaini / Ezra Kong) Keterbukaan Siti merakamkan lagu-lagu komposer baru membenarkan dia untuk terus diraikan generasi berganti. “Anta Permana” bergerak sebagai sebuah lagu yang membawa suara baru muzik tradisional ke tahap yang moden dan kekinian. Apa yang dihasilkan selengkapnya memberi justifikasi dan bergerak sebagai pentafsiran terbaik muzik Siti yang baru.
MAGIS(Mas Dewangga / Jova Devito / Aden Keng) Sebuah lagi lagu yang membawa ilham muzik tradisi dengan infusi Pop dan EDM yang menjadi kekuatan Mas Dewangga dalam karya-karyanya. Biar begitu pertembungan bunyinya, ia tidak langsung kedengaran canggung dan menjadikan ia antara lagu terbaik era baru muzik Siti Nurhaliza.
SIAPA TAK MAHU (John Jeeves / Ikhwan Fatana / Omar K) Pop Siti kembali tersusun baik di lagu Siapa Tak Mahu. Penciptaan melodinya matang dan mengena dengan attitude Siti Nurhaliza. Kemasan muziknya baik dengan penghasilan cukup catchy dan mengikat. Dalam katalog lagu-lagu Pop (bukan Balada) ia terhasil ceemrlang melengkapi usia bermuzik Siti.
7 NASIHAT(Luca Sickta / Kmy Kmo) Ilham tradisional sememangnya mencantum baik dengan landskap muzik Siti. Luca Sickta dan Kmy Kmo berjaya menghasilkan sebuah lagi hits malar segar yang baik dan seiring imej Siti. Lagu ini simple dan bukanlah datang dengan idea baru tetapi ia kuat sebagai pentafsiran terbaik muzik baru Siti.
AKU BIDADARIMU SYURGAMU (Ippo Hafiz / Siti Rosmizah) Balada menjadi kekuatan Siti namun di era baru bermuziknya tidak banyak yang seiring dengan balada-balada hebat yang pernah dia rakamkan dulu. “Aku Bidadari Syurgamu” memberi kepuasan daripada segi vokal dan feel Siti buat pendengar.
GANTI(Mingaling) Lagu ini memberi vibes serupa “Debaran Cinta”, “Ku Milikmu” dan “Pendirianku” yang cukup moden dan mengena dengan Siti. Lagu sebegini tidak sukar untuk Siti bermain dengan warna vokal dan stail nyanyiannya. “Ganti” antara lagu yang penting era baru bermuziknya.
Lagu: Malam Nestapa Persembahan: Nikki Palikat Komposer / Lirik: Leonard Yap / Raihani Mohd Saaid Produser: David Koon
Perjalanan Nikki dalam mendapatkan momen dalam kariernya mungkin masih belum memuncak seperti penyanyi lain yang sudah memiliki jutaan strim sehingga pencapaian di majlis anugerah muzik. Namun untuk terus meraikan bakatnya itu saya kira mungkin hal yang masih belum benar-benar diberi ruang oleh pendengar tempatan.
Apa yang sudah dihasilkan setelah fasa Gegar Vaganza saya kira itu sudah mengikut template Pop tempatan. Balada sudah dihasilkan melalui “Sudah” dan “Dugaan Takdir Cinta” yang saya sifatkan semampunya untuk berada di radar popular kerana apa yang dipersembahkan sama sahaja sebetulnya dengan apa yang dipersembahkan Marsha, Aina, Ernie yang terus diraikan tanpa putus.
Namun mengapa tidak mereka yang meraikan tiga penyanyi ini turut sama meraikan Nikki? Itulah persoalan berbalik soal keadilan dan sikap memilih pendengar kita. Hal ini sama juga saya lihat dengan penerimaan pendengar terhadap Balada persembahan Jaclyn Victor. “Sesal Tak Bermakna” yang beredar tahun lalu dipandang sepi pendengar.
Tapi saya masih harus terus memuji dedikasi penyanyi seperti Nikki dan Jac dalam terus bekerja. Bagi meneruskan satu kesinambungan bermuzik pada pendengar yang masih mahu mendengarkan persembahannya, Nikki menghasilkan sebuah lagi pertaruhan Balada menerusi “Malam Nestapa” sebuah naskhah runut bunyi filem “Gayong”.
Lagu ini terhasil dengan bait lirik yang puitis, itu hal pertama yang saya perhatikan pada penghasilannya. Meneliti penghasilan liriknya ia bagai membaca puisi yang ditulis dengan emosi dan perasaan yang paling galau. Bait seperti “Laut pun berkisah // Malam terbakar // Pantai pun tercalar, terhiris.” Dan Nikki benar-benar mendalami cerita tertulis dalam penyampaian vokalnya yang begitu kemas dan datang dengan dinanik yang tepat tanpa perlu berlebihan.
Melodinya saya kira terhasil mengikut standard lagu-lagu Balada AJL – dan atas faktor ini membuatkan saya semakin yakin untuk mempersoalkan jika lagu ini sebenarnya akan menjadi penanda aras keterbukaan pendengar untuk menyokong Nikki sama seperti mereka menyokong penyanyi-penyanyi AJL.
Jika ia masih gagal membawa Nikki ke tahap yang sepatutnya dan memiliki momen besarnya dalam industri muzik tempatan, saya kira salah bukan padanya tetapi pada pendengar yang memilih apa yang mereka mahu dengar dan sokong sahaja. Setidaknya lagu ini masih memliliki melodi yang sedap didengar dan lirik yang jauh lebih baik dengan berbanding Balada setahun dua kebelakangan ini yang diangkat cendekiawan AJL.
Kegalauan Raisa dalam mentafsir sebuah persembahan Pop yang sentiasa dinantikan penggemarnya terus bernadi lebih sedekad usianya. Atas permintaan tinggi dalam penghasilan lagu-lagu Balada, kita disua dengan rangkaian hits seperti “Apalah Arti Menunggu”, “Mantan Terindah”, “Kali Kedua”, “Usai Di Sini” yang bergerak sebagai satu kelangsungan bermuziknya.
Dalam pada mengisi kehendak pasaran muzik semasa, Raisa masih terus bereksperimen dengan R&B yang menjadi kekuatannya tanpa perlu hanya bertaan dengan Balada semata. Kepelbagaian dalam Pop yang dia miliki memberi satu keseimbangan dalam muzik yang dipertaruhkan.
Bakal melepaskan album kelima, Raisa melepaskan single perdana di album ini “Terserah” yang sekali lagi bergerak atas landasan Balada yang cukup memikat. Kali ini bekerjasama dengan produser muzik Lafa Pratomo yang sebelum ini menzahirkan juga “Si Paling Mahir” – menjual jiwa galau Raisa dalam persembahan sederhana namun masih beremosi.
Lagu ini tidak hanya berpaksi pada kesayuan melodi yang dihasilkan untuk kita senang melayaninya tetapi saya kira kekuatan sebenar ada pada penulisan liriknya. Killer utama pada teks lirik yang ditulis cukup berisi, puitis dan relatable dengan pendengar semasa.
“Di belakang pikiranku // Sebenarnya sudah tahu // Kisah cinta mirip kita // Tak menyentuh selamanya.” membuka lagu ini sebagai sebuah naskhah yang bercerita jelas tentang kisah pada lagu ini. Bait di bahagian pre-chorus nya semakin baik dan saya terusik dengan prosa ini “Ternyata ini rasanya // Ditinggal berjuang sendirian.” yang saya pasti mampu difahami dan dirasai pendengar-pendengar lagu-lagu galau Raisa.
“Terserah” menjadi pembuka yang baik untuk album yang berjudul “Ambivert” yang akan beredar kurang seminggu lagi. Penghasilannya sederhana dan masih berpaksi pada apa yang prnah dibawakan Raisa namun it doesnt sound dated. Sempurna untuk buat anda termenung, melayan perasaan dan terkenang-kenang.