#PerspektifMuzik, Review, Terkini,

10 Album / EP Terbaik Malaysia 2024

Gelombang pemasaran album masih berpihak baik pada pemuzik indie yang benar-benar melihat kepentingannya sebagai satu portfolio muzik yang mempunyai kelestarian dan hayat panjang. Fokus pada penjualan CD fizikal juga vinyl masih diraikan dan bergerak sebagai item koleksi penggemar muzik yang bijak dan faham akan nilainya di masa mendatang.

Mendepani pasaran muzik semasa nama seperti Hael Husaini, Amir Jahari, Hazama dan Dayang Nurfaizah siap dengan persembahan muzik yang dekat dengan penggemar mereka. Album penuh sudah siap dihasilkan oleh bakat-bakat ini yang pasti berbekal modal dan usaha yang harus disambut baik. Penerimaan atas penghasilan itu subjektif pada pendengaran – suka atau sebaliknya itu pilihan.

Namun sejujurnya pasaran muzik Pop tahun ini masih mengulang idea serupa. Tiada album yang terlalu berani keluar daripada standard Pop yang sama dan masih bergantung pada penghasilan muzik yang sama. Kredit harus diberikan pada Daiyan Trisha yang sudah menghasilkan sesuatu yang cukup impresif tahun ini menerusi album “Lovelorn”.

Pasaran muzik Hip-Hop semakin mengujakan dengan kemunculan album gagasan 53 UNIVERSE. Kesinambungan idea juga pemikiran disambut baik dengan single “PP at Bukit Tabur” yang cukup booming tahun ini. LUCIDRARI satu lagi bakat baru yang cukup diraikan tahun ini, bersama FITTO terhasil album “CHRONOSPHERE” yang solid membentuk satu attitude muzik yang kekinian.

Beberapa album seperti “Pok Snahu” (Awang Samrow), “Di Persembunyian” (Satwo), “TUGU” (LUST) dan “Himpunan Lagu Rakyat” (Viona) dan “Pujangga” (Hazama) antara yang memiliki penghasilan yang baik pada kualiti muziknya.

Mendepani sebuah idea, sudut pandang dan visi Berikut 10 Album / EP Terbaik pilihan Muzik Kita tahun ini.

TELEPORTASI
Mafidz / Mafidz Music Management

Mafidz memberi satu pengalaman menikmati sebuah korpus muzik Folk / Nusantara yang cukup melekakan. “Kayuh” yang membuka album ini digerakkan dengan sepuluh lagi lagu yang membentuk satu perjalanan muzik berbeza dengan apa yang mungkin biasa anda dengar di pasaran mainstream. Kesungguhan kugiran ini dalam penghasilan “Teleportasi” beriring satu dedikasi muzik yang mentafsir siapa Mafidz sebenarnya. Lagu-lagu seperti “Lemas”, “Kala Malam” dan “Senandung” dihasilkan dalam satu konteks muzik yang cukup solid untuk diangkat sebagai naskhah terbaik di album ini.

CHRONOSPHERE
lucidrari / FITTO / Midlyfe Records

Menerusi “GADISKU” Lucidrari mencipta momen manisnya tahun ini. Dengan sebuah album yang datang dengan sudut pandang berbeza, “CHRONOSPHERE” memberi satu ruang untuk muzik tempatan bernadi dengan lebih forward dan tidak stagnant dengan idea serupa. Album ini satu gerakan dan sebuah wakilan suara generasi baru muzik tempatan. “LOWLOW”, “PAPERTAG” dan “GADISKU” persembahan terbaik di album ini. Lucidrari memiliki potensi besar untuk bertumbuh sebagai pemuzik masa depan.

ANTONIM PT.1
Hael Husaini / Maesat Broadcast Networks System Sdn Bhd / Warner Music MY

Hael Husaini membelah batas kreativitinya tanpa had. Hal ini jelas dalam penghasilan “Diam” sebagai salah satu Pop yang memberi revolusi sound Hael Husaini sebagai pemuzik. Caranya membentuk Antonim pt.1 cukup cemerlang dengan komposisi melodi yang baik, produksi muzik yang begitu kemas bagi membentuk satu pakej Pop yang cukup current. Ternyata kolaborasinya bersama Iqie Hugh, Hanis Rafis, Omar K dan Ezra Kong benar-benar membuah hasil yang cukup baik untuk perkembangan kariernya.

LOVELORN
Daiyan Trisha

Daiyan Trisha semakin jelas dengan arah muziknya. Hal ini ditafsir sepenuhnya lewat “Lovelorn” – sebuah persembahan Pop yang cukup menyeimbangi kehendak melodi, lirik, kualiti rakaman sehingga penyampaian cemerlang Daiyan. Bergerak atas satu naratif yang cukup personal, setiap satu lagu dikemaskan melodinya menjadi sebuah naskhah Pop yang tastefully produced. “Surrender”, “LDR”, “Lovelorn” dan “Everything We Had” sempurna bersama dinamik yang ada pada Daiyan.

CEKELAT
No Good / 1837453 Records DK

No Good masih belum lagi memperlahankan langkah bermuzik mereka. Dan tidak juga lagi mengecewakan, EP dengan durasi sesingkat 10 minit ini membawa kita sebagai pendengar berseliwiran jauh dalam muzik kompleks namun catchy yang dihasilkan. ceKELAT bergerak sebagai sebuah persembahan muzik di dimensi berbeza namun sangat diperlukan pasaran muzik tempatan hari ini.

KEMBALI
Amir Jahari / Sekalo Music

Amir Jahari menerajui kelangsungan kejayaan “Hasrat” dengan penghasilan “Kembali” yang menemukan dia satu titik tengah kembara bermuziknya. Album ini menyeimbangi kehendak dan kreativiti Amir sebagai pemuzik juga pada masa yang sama dekat dengan pendengaran penikmat muzik tempatan. Lagu-lagu seperti “Aku Rindu”, Kenangan” dan “Ingin Pulang” bergerak atas formula keseimbangan yang ditemukan Amir sebagai pemuzik.

99
FUGŌ / FUGO EMPIRE

FUGŌ memberi satu kepelbagaian dalam muzik yang begitu dituntut. Naratif disusun dalam setiap lagu dibentuk dengan cerita yang dekat dengan kehidupan seharian kita sebetulnya. “Pentas Sandiwara” menjadi lagu terbaik yang mampu memecah tembok indie yang boleh diterokai kugiran ini untuk memasuki pasaran mainstream.

SEMOGA DIPERMUDAHKAN
53 UNIVERSE / 53 Entertainment

Kolektif Hip-Hop tempatan disatukan dalam sebuah gagasan diberi nama 53 UNIVERSE. “PP at Bukit Tabur” menjadi naskhah yang paling diraikan tahun ini dalam persembahan sebuah album yang digerakkan oleh sebuah falsafah, prinsip dan pemikiran. Setiap satu yang dihasilkan di album ini dihasilkan atas landasan yang serupa membentuk sound, stail dan attitude bermuzik yang cukup solid. “Moonshine” dan “Ocean Tears” seharusnya menjadi fokus pendengar juga selain “PP at Bukit Tabur”.

KHODI
Khodi / Faithful Music Sdn Bhd

Ini arah muzik yang selalu dan seharusnya Khodi hasilkan sejak dia memperkenalkan dirinya di persada muzik tempatan. Soul dan Jazz bernadi sebaiknya dengan attitude suara yang Khodi miliki sebagai pemuzik. Suara yang jarang atau mungkin sudah lama tidak kita miliki setidaknya di pasaran mainstream. EP ini bergerak sebagai permulaan baik, yang harus dia fikirkan adalah mencari formula terbaik menambah nilai komersial pada penghasilan melodinya.

TERUNTUK JANTUNG
NAKI / Jumantara Records / Faithful Music Sdn Bhd

“Datanglah Sang Puteri” membawa NAKI ke satu landskap pasaran muzik yang lebih mainstream. Atas formula ini “Teruntuk Jantung” dibentuk dengan satu lagi idea baru yang disatukan sebaiknya. Lagu-lagu seperti “Rembulan” dan “Masa” seharusnya menjadi paksi muzik NAKI selepas ini. Pop yang dihasilkan current dan dekat dengan ilham yang senang mengikat pendengar muda. NAKI juga memiliki kelebihan dalam vokalnya yang sedap dan menyenangkan.


ARTIKEL BERKAITAN

Terkini,

Ulasan Gegar Vaganza 11 – Minggu 2


YAZID (35%)

Yazid ada vokal yang heavy, lagu santai begini dapat menangkap tone Yazid cuma agak terlalu biasa dan kurang impak.

NAI (23%)

Its giving the artis jemputan performance. Semua orang pun sibuk menyanyi berbanding mendengar nyanyian si penyanyi.

ILLA SABRI (32%)

Sebutan Illa bagus cuma dia ada masalah untuk stabilkan note di bahagian hujung selalunya datang daripada pernafasan. Kreativiti nyanyian masih kurang. 

THE LIMA (28%)

Tiada hal yang terlalu mengagumkan di persembahan The Lima. Sekadar menghiburkan. 

RESHMONU (24%)

Resh agak struggle malam ini. Banyak bahagian dalam nyanyiannya yang hit and miss. Towards the end ia jadi semakin membosankan. Kedudukan malam ini membimbangkan.

NING BAIZURA (90%)

Story telling Ning sangat baik. Delivery Ning pada lagu ini benar-bernar beriring emosi yang tepat dan secukupnya. 

RONNIE (30%)

Masalah saya dengan Ronnie adalah he need to step up the game. Dia dah banyak kali menyanyi lagu ini tetapi apa yang baru tentang nyanyiannya malam ini? Sama saja kan. 

ZEHRA (25%)

Lagu ini menuntut attitude dan style nyanyian namun itu yang tiada pada Zehra. Nyanyiannya agak membosankan, mendatar tanpa attitude

ARORA SALWA (15%)

Sebenarnya berdasarkan persembahan malam ini we can get why she didn’t last in her past time dalam bidang muzik. 

INKA (14%)

Very old fashioned and almost tiada entertainment value.

FAIRUZ (20%)

Meleweh sangat. Fairuz kena modenkan stail nyanyiannya. Didn’t we have enough of leman?

LIZA AZIZ (100%)

Sempurna.

SHEILA ABDULL (89%)

She has potential untuk sustain dalam competition. Kemampuan Sheila menyanyi live sangat baik dan bintang Pop begini harus diraikan. The next Nana perhaps.

DYRGA (56%)

Dia bijak untuk berinteraksi dalam persembahan. Sedang lagunya simple Dyrga mengikat tontonan pada gerakan pentasnya. 

*Markah adalah penilaian Muzik Kita

Highlight, Review, Terkini,

Nostalgia “Memori Baik” Sheila on 7

Lagu: Memori Baik
Artis: Sheila On 7
Komposer / Lirik: Eross Candra / Akhdiyat Duta Modjo / Adam Muhammad Subarkah
Produser: Sheila on 7

Enam tahun masa diambil Sheila on 7 setelah terkahir kali merilis single baru menerusi “Film Favorit”. Perkhabaran dan harapan untuk mendengarkan lagu baru itu berbalam sebetulnya – antara mungkin dan pasti tetapi tidak tahu yang mana dulu. Maka dengan satu kejutan manis awal minggu ini kugiran Indonesia nombor satu di hati saya ini (fyi saya tidak minat Dewa) akhirnya melepaskan naskhah terbaru yang sangat dibutuhkan.

“Memori Baik” melepas rindu yang sangat dalam mendengarkan karya-karya segar hasil cipta Eross khususnya. Dalam melodi yang masih kuat jati dirinya kugiran ini, lagu dihasilkan cukup sederhana tanpa perlu infusi sound baru yang ada di pasaran semasa. Tetapi sekadar cukup bergerak sebagai satu kesinambungan pada lagu-lagu yang mereka sering rakamkan.

Bersama Duta dan Adam lagu ini dihasilkan dengan begitu catchy dan bergerak seakan satu refleksi idea-idea asal muzik Sheila on 7 yang kita selalu rindukan. Dan saya kira kerana itu juga lagu ini diberi judul “Memori Baik”. Liriknya bergerak sebagai satu landasan kenyataan yang mahu disampaikan kugiran ini pada peminat mereka. Hal ini saya kira sangat jelas di bait “Melangkah dengan pilihan yang kau punya // Kami di sini kirim rindu yang sama.”

Menerusi single ini pendengar diraikan dengan suara belakang Aishameglio yang menyatu sempurna dengan feel serupa yang diberikan Duta di sepanjang lagu. Korus lagu ini is a killer. Ia benar-benar membawa saya pada lagu-lagu SO7 di album “Kisah Klasik Untuk Masa Depan” menerusi lagu-lagu seperti “Bila Kau Tak di Sampingku” dan “Sebuah Kisah Klasik” juga sangat dekat dengan lagu “Hujan Turun”.

Saya amat menyenangi penghasilan lagu ini. Ia benar-benar dihasilkan dalam ramuan nostalgia yang cukup kuat. Menantikan konsert yang mahu dianjurkan di sini entahkan bila jadi setidaknya lagu ini menjadi anthem baru Sheilagank di sini. “Semoga semua bertumuh pada akhirnya.”

9/10


ARTIKEL BERKAITAN

#PerspektifMuzik, Highlight,

Mengira-Ngira Siapa Yang Akan Menyerlah di Gegar Vaganza 11 & Perlukah Liza Aziz Menjadi Juaranya?

Ketika Astro mengumumkan GV All Star tahun lalu saya kira mungkin GV akan have a pause untuk setahun dua sebelum kembali dengan format yang datang dengan idea yang lebih baru dan refresh. Tapi ternyata Astro masih mahu meneruskan GV dan sebetulnya tiada masalah pun cuma it’s good to have a pause sometimes. 

Dan sehari dua sebelum PC berlangsung, whatsapp saya sudah didatangi dengan perkhabaran Liza Aziz antara yang akan menjadi pesertanya tahun ini. Wow, itu saja reaksi yang mampu saya ekspreskan dan pada masa yang sama i have second thought that cannot be she’s joining GV. Tapi saya kira itulah manisnya GV.

Tentu saja perkhabaran ini membuat saya teruja kembali untuk duduk di depan televisyen setiap Ahad malam menghabiskan masa dua jam melayani program ini. Liza definitely akan beri warna berbeza pada GV dan pada usia sudah menjangkau 60 tahun dengan kredibiliti juga kemampuan menyanyi live dengan sangat baik Liza akan memberi tamparan sangat hebat untuk peserta lain.

Gentar saya kira peserta yang ada kali ini. Liza is a multi-universe singer. She can go from a crazy R&B dynamic sehinggalah ke persembahan lenggok Melayu Asli. Saya pernah menonton persembahan live Liza Aziz menyanyikan lagu De Javu oleh Beyonce dengan flawless sekali. Ternganga saya masa tu.

Dan Liza Aziz juga penyanyi Pop, Melayu Asli yang sangat baik. Dia memahami kehendak lagu dan bijak mewarnakan dengan gayanya yang tersendiri. Dua lagu Melayu Asli yang pernah dirakam iaitu “Siti Payung” di album perdana dan “Rintihan Anak Kota” bukti she’s technically can pull anything.

Mungkin ada yang tahu dan mungkin juga tidak, Liza pernah digelar sebagai Shanice Malaysia kerana kemampuan nyanyian nada tinggi dan whistle yang clean. Go search Shanice jika tidak kenal. Liza sepastinya akan memberi satu cabaran yang begitu besar di program ini dan pada yang sama satu keterujaan yang berbeza. Sebab it’s not always you can watch Liza Aziz on national TV. 

Namun perlukan seroang Liza Aziz menjadi juara?

Tidak. Itu jawapan maktub saya. Kerana apa? Kerana kita harus rasional dengan konsep Gegar Vaganza itu sendiri yang menjadi platform untuk penyanyi-penyanyi (sendu) yang bertanding mendapat peluang kedua dan MENGGUNAKAN PELUANG yang ada dengan sebaiknya untuk kembali dikenali dan diraikan.

Sejarah sudah membuktikan ini medan untuk mereka yang benar-benar mahu aktif sebagai penyanyi komersil. Yang mahu benar-benar meraikan penggemar mereka dengan lagu-lagu bari yang tidak putus, yang mahu masuk Muzik-Muzik dan masuk Anugerah Juara Lagu. Ini sebenarnya yang Gegar Vaganza sudah tawarkan sejak awal diperkenalkan.

Dan dengan peluang yang ada itu jugalah diguna baik Siti Nordiana, Jaclyn Victor, Liza Hanim, Nikki Palikat, Tomok, Shila Amzah dan juga Naqiu yang saya kira sudah menggunakan pentas GV untuk benar-benar kembali aktif bekerja, mendapatkan undangan show, merakamkan lagu-lagu baru dan meraikan penggemar mereka.

Sejarah GV juga sudah membuktikan dengan peluang di GV jugalah Siti Nordiana, Aishah, Jaclyn Victor dan Liza Hanim berpeluang memiliki konsert solo pertama setelah berpuluh tahun di arena muzik tempatan.

Jadi persoalan saya, perlukah Liza Aziz semua ini? Jawapan saya mudah. Tidak. Tanpa GV dia tidak putus undangan nyanyian dan dia juga tidak perlu melahirkan lagu-lagu baru untuk membuatkan Anuar Zain menganguminya sehingga hari ini. Liza Aziz bakat istimewa yang satu dalam sejuta. Dia tidak memerlukan ratusan ribu follower untuk memahami lagu-lagunya yang dianggap advance ketika diedarkan lebih dua puluh tahun lalu. Tetapi, setiap satu daripada kita yang faham muzik Liza Aziz dont mind if she didnt produced any new song or album.

Saya memiliki kedua-dua album Liza dan sehingga hari ini biar album perdananya sudah lebih 30 tahun beredar saya masih mampu melayani lagu-lagu di album tersebut tanpa perlu Liza mengharap konsert atau lagu baru. Itulah istimewanya Liza Aziz. She’s timeless. 

Juara GV seharusnya adalah orang-orang seperti Nana atau Jac yang betul-betul menggunakan peluang yang ada untuk benar-benar meraikan penggemar mereka secara berterusan. Nana sejak hari pertama menang sehingga hari ini, tidak putus dengan lagu-lagu baru dan konsert. Suka atau tidak itu subjektif kerana Nana ada pengikut yang sangat besar menyokongnya. Dan dia terus bekerja tanpa lelah.

Dan cuba lihat apa jadi dengan Noryn Aziz, Cliff Umar dan Alif Aziz? Apa yang mereka lakukan sebetulnya setelah menang? Pemenang GV saya kira perlu faham mereka diangkat sebagai juara dengan satu tanggungjawab untuk bekerja dan berkarya. Bukan menang dan tidak buat apa-apa. Sebab itu saya kata, Alif Aziz tak patut menang sebab kita tahu dah penghujungnya apa. Nikki patut menang musim tersebut. 

Tahun ini agak tricky. Nama-nama seperti Ila Sabry, Sheila Abdul, Arora Salwa dan Zehra Zamri yang sememangnya sudah dilupakan akan bersaing dengan bakat urban seperti Reshmonu dan Ning Baizura. Fairuz akan jadi favorite juri dan peminat GV dan Yazid juga Nai antara yang jelas akan tersingkir awal.

Siapa yang perlu menjadi juara? Saya sejujurnya mengharapkan magis pada Ning Baizura (Walaupun sebenarnya saya dah lose hope). Ning ada momen dalam kariernya yang begitu baik dan tersendiri. Ning ada penggemar yang sangat setia dengan muziknya dan Ning masih ada kemampuan berpentas dengan baik. 

Cuma yang seorang Ning Baizura tiada adalah keyakinan penonton padanya. She never be mass favorite. My mom never like her dan ini tugas Ning sebetulnya untuk menjadi lebih likeable di GV. Dia masih boleh menyanyi dengan baik (Walaupun tidak sebagus dulu) cuma yang saya risaukan adalah konsistensi. Itu yang tiada pada Ning. She’s always have this hit and miss moment. 

Sehingga minggu yang pertama sudah bersiaran hujung minggu lalu saya masih belum nampak siapa yang akan menjadi Nana, Jac dan Liza Hanim yang benar-benar memanfaatkan pentas GV sebagai kelangsungan karier mereka sehingga hari ini.

Saya ada high hope pada Liza Aziz tapi saya tahu sekiranya dia menang, kemenangan itu tidak akan ada kelangsungan yang panjang. Semoga di pentas GV ini saya dapat melihat Liza Aziz menyanyikan lagu Beyonce dan menyanyi bersama Anuar Zain di minggu duet nanti. Dan oh ya, Reshmonu yang sangat bertenanga di pentas tetapi trust me he’s judges least favorite dan saya tidak terkejut dia tidak lolos ke final nanti. But let see if Sheila Abdull can do surprise this season.


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Menjejak Pemikiran & Nada Baru Khodi

EP: Khodi
Artis: Khodi
Produser: Kenneth Macartney

Ketika Khodi diperkenalkan dengan single “Ke Mana” bersama dua bradik Razqa ia membuka mata saya pada bakatnya. Persembahan Pop dengan infusi Jazz dan Soul juga Rap di tengahnya dihasilkan dengan cukup komersial sekali. Melodi lagu itu juga antara yang cukup segar ketika dihasilkan pada tahun ia diedarkan.

Setelah itu khodi melalui satu transisi bermuzik yang saya sifatkan sebagai fasa percubaan – atara mahu mengisi kehendak pasaran muzik semasa dan pada masa yang sama mahu mengutuhkan DNA muziknya sebagai sebagai penyanyi yang harus diperakui. Semuanya itu fasa juga pembelajaran sebetulnya untuk Khodi bertumbuh sebagai penyanyi.

Antara momen yang membuatkan saya semakin tertarik dengan Khodi adalah ketika dia membuat live di Instagram kalau tak salah saya dengan penyampaian lagu-lagu Amy Winehouse yang sekali lagi membuat saya tertawan pada soul yang dia miliki. Dan di saat tu saya sangat pasti muzik Soul dan Jazz itu adalah apa yang harus dia teruskan.

Namun untuk dikenali Khodi bersama label lamanya menghasilkan beberapa lagu yang hampir membuat saya berputus asa dengannya. “Lenggang” itu saya kira satu kesilapan tetapi sebagai manusia kita hanya akan belajar pabila membuat silap. Maka dengan kesilapan juga lagu itu berlalu tanpa ramai yang tahu.

Yang terbaru daripadanya adalah sebuah EP berisi 3 lagu yang diushakan bersama produser muzik Kenneth Maccartney. EP ini mengembalikan Khodi pada radar muzik yang seperlunya dia lakukan. “Feel The Light” menjadi pembuka yang cukup promising. Feel Jazz yang diadun begitu dirasai dan ia terbalut sempurna persembahan vokal Khodi. 

“Go” meneruskan kesinambungan yang baik untuk EP ini. Transisi verse ke korus sehingga ke penghujungnya cukup mengikat. Groove nya juga begitu dirasai dengan attitude dalam nyanyian Khodi yang menerajui lagu ini. Apa yang dihasilkan cukup menyenangkan, santai dan membuai.

“Tempo” menjadi penutup EP ini datang dengan feel Bossa yang menawan. It’s a simple melody yang begitu mengikat dengan perasaan yang semulajadi cukup menawan pendengaran. Biar durasinya kurang 2 minit namun ia menjadi satu persembahan melengkapkan EP ini sebagai satu pengenalan kembali muzik Khodi.

Saya senang dengan penghasilan keseluruhan sound baru Khodi yang dihasilkan ini. Ia sebetulnya satu landasan yang tepat untuk Khodi bernadi dan dia akan diraikan jika dia konsisten. Tapi satu hal yang harus Khodi usahakan setelah ini adalah untuk mencari satu formula mengkomersialkan DNA yang ada pada EP ini.

Itu hal yang kurang sebetulnya EP ini dan tidak mustahil sebenarnya untuk mengkomersialkan Jazz atau Soul kerana rujukannya sudah banyak. Laufey mampu membuat gen-z menyenangi Jazz dan Tulus di awal kemunculannya begitu bijak mengadun Jazz dalam ramuan Indo Pop dan berjaya. Ini hal yang saya kira Khodi harus fikirkan kerana jika percaturannya betul dia mampu benar-benar menyinar.

Saran saya, kembali pada formula “Ke Mana” itu adalah contoh terbaik Jazz dan Pop disatukan sebagai sound Khodi dan lihat apa lagi yag boleh diterokai daripada situ. Atau lihat saja formula Maliq & d’Essentials, Yura Yunita, Raisa juga Andien. Dalam Jazz yang mereka hasilkan masih ada Pop yang dekat dengan pendengar.

6.8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Mengulik Galaunya “Si Paling Mahir” Persembahan Raisa

Lagu: Si Paling Mahir
Artis: Raisa
Komposer / Lirik: Raisa Andriana / Lafa Pratomo / Haris Pranowo
Produser: Lafa Pratomo

Sejauh 16 tahun perjalanan bermuzik Raisa, kita sudah dialunkan pelbagai melodi yang sederhana tetapi menyangkut pada perasaan. Sejauh itu juga sehingga hari ini masih belum lagi setiap apa yang dipersembahkan gagal mencuri perhatian.

Setelah awat tahun ini merilis single berbahasa Inggeris, “The Girl I Used to Be” Raisa kembali dengan mengisi kemahuang pendengarnya yang sentiasa mahukan lagu-lagu galau daripadanya. Maka dengan itu lahirlah yang terbaru “Si Paling Mahir” ciptaan bersama Raisa dengan Lafa Pratomo dan Garis Pranowo.

Kolaborasi ini penyatuan perdana Raisa bersama Lafa Pratomo yang sebelum ini banyak berkolakorasi bersama penyanyi lain seperti Danilla, Bilal Indrajaya dan Nadin Amizah antaranya. Penghasilan “Si Paling Mahir” menjadi bukti keterbukaan Raisa dalam berkolaborasi tanpa perlu selesa dengan produser muzik yang serupa.

Melodinya terhasil simple, tenang dan membuai. Seperti apa yang sudah ada banyak di pasaran begitu jugalah lagu ini terhasil. Saya tiada banyak masalah dengan lagu ini kecuali ia tidak membuat saya terpanggil untuk mendegarnya berulang kali.

Persembahan vokal Raisa menjadi daya tarikan utama untuk saya enjoy dengan penghasilan keseluruhan lagu ini. Suaranya benar-benar menjadi peranan utama sebagai sakti yang menjerat pendengaran. Kelembutan yang ada pada penyampaian Raisa membuatkan lagu ini melengkapi kehendaknya.

“Si Paling Mahir” akan meneruskan kebahagiaan saya mendengarkan rangkaian lagu-lagu Raisa sama seperti saya menyenangi “Berdamai”, “Bertahan / Pergi” “Nyaman Tak Cukup” dan “Tak Berharap Lagi.” It’s a soothing Pop, good but not great.

6/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Ramuan Sempurna Daniesh Suffian Lewat Rakaman Ulang “Izinku Pergi”

Lagu: Izinku Pergi
Artis: Daniesh Suffian
Komposer / Lirik: Azlan Abu Hassan / Sulu Sarawak
Produser: Azlan Abu Hassan

Daniesh Suffian menjadi bakat bermuzik tempatan yang saya kira tidak putus meneruskan perjuangan dalam mengukuhkan namanya dalam persada muzik tempatan. Biar impaknya masih belum lagi sekuat bakat lain sebarisnya, namun itu bukan alasan untuk kita sebagai pendengar menolak terus apa yang Daniesh tawarkan.

Vokalnya mutu yang dipersembahkan untuk kita meraikan bakatnya. Tetapi untuk benar-benar bernadi di pasaran muzik yang saingannya semakin kuat ini bukanlah harus bergantu bakat sahaja. Tuah satu hal yang mungkin tidak boleh diduga tetapi usaha itu jangan harus tertinggalkan.

Atas usaha yang tidak terputuskan itu jugalah Daniesh meneruskan usahanya dalam sebuah pembuktian yang dia juga selayaknya berada di puncak, disebut-sebutkan dan diraikan bakatnya dalam skala yang lebih besar sebetulnya.

Tahun ini, berbekal dua single iaitu “Karya” kolaborasi bersama Kaka Azraff dan “Jiwa” meneruskan usaha Daniesh untuk kekal dalam ingatan pendengar muzik tempatan. Namun daripada segi impaknya nama Daniesh masih belum begitu dijulang sebaiknya. Mungkin juga atas faktor lagu yang mungkin kurang dekat dengar pendengar muzik semasa.

Agenda barunya, sebuah rakaman semula lagu yang sangat popular iaitu “Izinkan Ku Pergi” menjadi pertaruhan Daniesh. No doubt dia memang penyanyi yang tepat untuk merakamkan kembali lagu ini. Persembahan Daniesh sederhana tidak berlebihan dan secukupnya untuk memberi justifikasi yang cemerlang lewat rakaman semula lagu ini.

Saya awalnya agak risau siapa yang akan meramu kembali masterpiece ciptaan Azlan Abu Hassan ini namun setelah melihat Azlan sendiri yang menyusun kembali melodi ciptaannya saya lega. Lagu ini ditinggikan standardnya dengan feel Daniesh yang membaluti sempurna keseluruhan lagu.

Susunan string di lagu ini terhasil begitu haunting dengan kualiti rakaman yang menangkap seluruh instrumentasinya – seimbang dengan persembahan vokal Daniesh. Kesemua hal ini menyatu sempurna dalam rakaman ulang ini. Sebagai pendengar yang agak kritikal dengan konsep rakaman ulang saya menghargai usaha WP Entertainment dan Daniesh Suffian memberi ruang untuk Azlan kembali meramu lagu ini.

Tiada hal yang tidak baik tentang rakaman “Izinkan Ku Pergi” versi Daniesh Suffian ini. Malah saya sangat berharap lagu ini memberi tuah buatnya untuk benar-benar diraikan dan tidak dilupakan bakat bermuzik yang dia miliki.

8/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

Langkah Baru Amir Masdi Yang Terasa Lama Menerusi AM:PM

Album: AM:PM
Artis: Amir Masdi
Produser
: Edry Abd Halim

Bakat bermuzik Amir Masdi antara yang paling saya sukakan rencananya. “Debu” kolaborasi bersama Dayang masih lagi saya letakkan sebagai naskhah terbaik yang pernah Amir hasilkan dan sejujurnya setelah lagu itu saya sangat mengharapkan Amir kembali bekerjasama dengan Mas Dewangga dan Jova Devito bagi menghasilkan karya-karya barunya.

Namun Amir memilih untuk kembali pada asas muzik Pop yang biasa dia hasilkan sepanjang dia bermuzik. Album keduanya sudah diwar-warkan sejak beberapa bulan sudah dengan kolaborasi bersama Edry Halim yang membuatkan saya tertanya juga mengapa namun masih menerima positif usahanya untuk terus menghasilkan lagu baru.

Baiklah sejujurnya review ini akan kedengaran sangat kritikal dan ia penting untuk saya menjadi kritikal kerana saya peminat suara dan imej Amir Masdi sebagai penghibur. Solid. Tetapi apa yang kurang solid adalah mungkin citarasa bermuziknya.

AM:PM dibuka dengan “Luar Kotak” – sebuah persembahan Rock yang mengingatkan saya pada zaman-zaman FT di lagu “Batu & Golek” dan “Superhero” back in 2000’s. Ia bukanlah tak bagus but it’s cliche and sounds dated. Liriknya “Jangan terbiasa // Dengan yang biasa.” ternyata sebuah ironi dengan penghasilan lagunya yang biasa.

“Calar” Pop yang baik. Melodinya cukup kuat sifat Amir Masdi sebagai penyanyi yang kita kenal selama ini. Saya sukakan korus lagu ini yang ada hook yang memikat. “Sayangnya // Aku memetik sekuntum mawar tercantik // Mekar harum mewangi // Salahnya // Aku menggamit ranting yang mencucuk duri // Tercalar luka hatiku ini.” menjadi bait yang sangat kuat daya pengikatnya. Vokal Amir sangat kemas dan kemasan muziknya sangat baik. Lagu ini sebetulnya patut menjadi focus track album ini.

Diteruskan dengan “Langit Biru” yang penghasilannya okey namun ia tidaklah membuat saya mahu mengulang dengar dan sekali lagi sama seperti lagu pembuka album ini – tidak segar dan kedengarann lama. “Nur Cinta” datang dengan ilham jiwang 90-an yang banyak dalam lagu-lagu Edry sebelum ini seperti “Kebahagiaan Dalam Perpisahan”. Tapi saya puas mendengarkan vokal Amir. Sedap betul tapi penghasilannya again agak lapuk dan tak current.

“Bakal Kekasih” sekali lagi datang dengan ilham Rock n Roll yang cukup old fashion. Saya tahu Amir memang sukakan lagu-lagu begini namun untuk dimuatkan di sebuah album ia seharusnya ada infusi muzik yang baru. Lagu ini terlalu mengikut template tipikal Rock n Roll era Elvis yang buat saya tertanya lagi, apa perlunya? Tapi sekali lagi, vokal Amir menutup kebosanan lagu ini.

Usai mendengarkan album ini saya kira, inilah pentafsiran muzik sebenar Amir dan saya juga pasti Amir sangat puas dengan penghasilannya. Tetapi Amir lupa, pabila bermuzik ada hal-hal lain yang membuatkan seseorang pemuzik itu bertumbuh. Keseimbangan dan kepekaan terhadap apa yang kekinian – itu hal yang tiada di album ini.

Album ini tidak berpaksi pada sound yang current. Apa yang ada di pasaran muzik global elemennya tidak dimasukkan di setiap lagu di album ini. Dan inilah maksud saya dengan sound yang dated (lama) dan tidak evolve. Album ini jika diedarkan sekitar 15 tahun lalu (2009) ya saya akan memuji setingginya. But this is 2024 muzik sudah berubah. M. Nasir pun faham Rock sudah tidak relevan dan akan mati.

Kerana itu juga saya sangat mahu Amir Masdi bekerjasama dengan tenaga baru muzik tempatan. John Jeeves, Mas Dewangga, Glowrush, Amir Jahari dan Firdaus Rahmat mampu memberi satu suntikan muzik yang baru untuk Amir kedengaran lebih current. Amir sukakan Pop Rock saya tahu dan Iqie Hugh mampu menghasilkan muzik Pop Rock yang mampu membuat muzik Amir sound forward dan tidak tersekat ilham di era 90-an dan 2000 (Dengar penghasilan Iqie menerusi “Diam).

Hal-hal ini penting kerana Amir memerlukan juga pendengar-pendengar baru bukan peminat sedia ada sahaja. Dan kolaborasi bersama produser-produser muzik yang muda ini mampu membuat Amir bertumbuh sebagai pemuzik yang tidak terbatas waktu. Saya tidak menggemari penghasilan album ini tetapi saya masih lagi peminat Amir dan akan terus menantikan apa lagi yang mampu dia tawarkan di masa mendatang.

5/10


ARTIKEL BERKAITAN

Highlight, Review, Terkini,

“Lemah” Dibuai Perasaan Dayang Nurfaizah


Lagu: Lemah
Artis: Dayang Nurfaizah
Komposer / Lirik: Hael Husaini
Susunan Muzik: Mac Chew

Lama sebetulnya menantikan persembahan Pop Dayang Nurfaizah yang terakhir kali mungkin “Debu” duet cemerlang bersama Amir Masdi kira-kira dua tahun sudah. Fasa membikin muzik bersama batalion muzik di Faithful menghasilkan single yang membuat Dayang jauh daripada pasaran Balada biasa.

X Missing U”, “Sebentar” dan “Debu” akan menjadi satu fasa yang diingati penggemar Dayang pastinya. Keluar terus daripada persembahan tipikal Balada “Di Pintu Syurga” dan “Lelaki Teragung” – tiga lagu bersama Faithful ini sebetulnya satu transisi yang bijak.

Dan setelah fasa itu, jelmalah era “Belagu” yang sekali lagi menjauhkan Dayang daripada persembahan Balada. Ini era yang mungkin sebagai peminat we didn’t see it coming tetapi it’s a sweet surprise.

Dua edisi “Belagu” membuatkan pengalaman menikmati muzik Dayang berbalut kepelbagaian (diversity) dalam muzik yang membuktikan versatility Dayang sebagai pemuzik yang sentiasa mahu mencabar dirinya.

2024 Dayang membuat penggemarnya semakin tertanya-tanya bila dan apa lagi yang akan dia persembahkan tahun ini? Seperti janjinya di konsert Belagu tahun lalu – tahun ini sebuah album Pop akan menyusul.

Atas janji itu juga maka bakal diterbitkan album penuh berjudul “Janji” yang akan diedarkan November mendatang dengan barisan komposer seperti Aisha Retno, Hael Husaini dan Ajai antaranya (Setakat ini yang boleh saya kongsikan) sebagai penyumbang melodi di album tersebut nanti.

Melodi Hael Husaini sekali lagi dipilih sebagai single perdana album ini. Setelah “Haram”, “Dia” dan “Hari Ini” – tulisan terbaru Hael buat Dayang berjudul “Lemah” akan mengisi carta-carta muzik digital dan sekali gus bakal juga menjadi siulan penggemar Dayang.

Namun Balada ini bukan naskhah yang saya dengar sekali dan suka. Tidak salah juga untuk saya letakkan lagu ini antara lagu Dayang yang paling sukar melekat di hati. Perasaannya berbeza ketika pertama kali saya mendengar “X Missing U” dan “Debu” – adrenalin saya bergelora dengan dinamik yang ada pada dua lagu tersebut.

Namun setelah beberapa kali mendengar dan cuba memahami visi Dayang kali ini, daya pengikatnya ada pada pada falsafah melodi simple yang mahu disampaikan. Perasaan – mungkin itu hal yang mahu Dayang berikan pada kita kali ini.

Dan seperti sifatnya perasaan itu sendiri yang membutuhkan masa untuk difahami, begitu jugalah dengan persembahan keseluruhan “Lemah”.

Kemasan muzik Mac Chew memberi justifikasi yang baik pada penciptaan melodi Hael. Sejujurnya kali pertama mendengarkan lagu ini saya tidak dapat menangkap ini melodi Hael dan Mac Chew memberi satu landskap muzik berbeza dalam memberi warna berbeza melodi ciptaan Hael.

Kesederhanaan Dayang lewat lagu ini bersulam dengan perasaan yang sederhana. Sekali lagi nada rendahnya dipersembahkan Dayang begitu mengasyikkan. Magisnya sekali ada pada feel lagu ini yang sebetulnya dibawa berlayar sebaiknya persembahan Dayang.

Dan ini adalah fasa kesederhanaan Dayang Nurfaizah dalam bermuzik. Sebuah kesederhanaan yang menuntut kesabaran dalam menikmatinya. Tiada lagi eksperimentasi muzik dengan bunyian baru tetapi lebih kepada menyantuni kehendak perasaan dalam sebuah lagu.

7/10


ARTIKEL BERKAITAN