
Dia digelar Raja Biola dan tidak kurang yang mengaguminya menganggap Hamzah Dolmat sebagai Pahlawan Muzik Melayu yang sentiasa beriring semngat juga jiwa Melayunya dalam alunan merdu gesekan biolanya. Cukup aktif di era 50-an, 60-an dan 70-an sebagai pemuzik instrumental, Hamzah Dolmat berdiri sebagai Seniman yang cukup disegani.
Biola menjadi temannya sejak dia berusia 11 tahun lagi. Berawal di Singapura cita-cita untuk aktif sebagai pemuzik diwarisi daripada ayahandanya Dolmat Abdul Fattah yang juga seorang pemain Biola. Kebolehan bermuzik Hamzah Dolmat tidak hanya pada Biola, dia juga jaguh dalam instrumen Piano, Gambus dan arkodian.
Hamzah Dolmat dilahirkan di Kota Singapura dalam tahun 1923 sering mengikuti aktiviti bermuzik ayanhandanya yang merupakan ahli Kugiran Bangsawan sebelum dia sendiri bergerak sebagai pemuzik bersama Kumpulan Ronggeng Singapura dan Malaya.
Kerjaya dalam bidang muzik tidak hanya bergerak sebagai pemuzik langsung sahaja pada tahun 1948 Hamzah Dolmat telah bermula membuat rakaman piring hitam serta menjadi pemuzik pengiring bagi runut bunyi filem-filem Melayu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959.
Langkahnya di Kuala Lumpur disambut rezeki sebagai pemuzik yang tiada putusnya. Kelibat Hamzah Dolmat pasti ada di mana-mana upacara rasmi negara dan juga istiadat kerabat diraja. Dan setelah itu beberapa rakaman album dibuat sebagai penghormatan tertingginya buat muzik tradisi Melayu Khususnya.
Nama Hamzah Dolmat dan Sahrifah Aini antara yang cukup sinonim. Penghasilan album berjudul “Lela Manja” (1979) saya sifatkan sebagai naskhah magnum opus yang cukup meninggikan standard muzik Melayu Asli ke tahap yang cukup hebat sekali sepertimana alunan Jazz di luar, begitu jugalah penghasilan “Lela Manja”.
Jasa beliau dalam meneruskan kelangsuang muzik klasik Melayu asli ini memberi beberapa penganugerahan tertinggi buatnya sepanjang bermuzik. Antaranya adalah gelaran Ahli Mangku Negara (A.M.N), Ijazah Kehormat Sarjana Sastera daripada Universiti Malaya (1978) dan Pingat Jasa Kebaktian daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1980).
Namanya hari ini mungkin sangat jarang diperkatakan namun tanggungjawab kita sebagai pendengar harus sentiasa ada. Naskhah-naskhah Hamzah Dolmat adalah karya emas yang patut dibanggakan semua. Alunan Biolanya kemas menyentuh merentasi apa jua alunan muzik Melayu Asli baik Ghazal, Joget mahupun Inang.
Semoga jika tidak ada yang mewarisi bakat uniknya ini dapatlah kita sentiasa perdengarkan alunan Biolanya buat generasi berganti agar jasa dan usahanya itu berbaloi dibuat rujukan budaya, sastera dan muzik tempatan. Kini rangkaian gesekan Biola Hamzah Dolmat boleh anda nikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN