
Buat julung kalinya, sebuah festival yang bersifat Islamik dengan pendekatan santai, Kuala Lumpur Garden of Eid festival 2022 bakal dianjurkan pada 27 – 29 Mei 2022 nanti.
Diberi nama Garden of Eid Festival, ia diilhamkan daripada terma Garden yang membawa maksud taman yang digambarkan dalam Al Quran sebagai Jannah atau syurga.
Garden of Eid Festival juga menjadi acara yang meraikan dua perayaan terbesar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Festival ini menepati konsep festival yang melestarikan kerohanian dan agama namun disampaikan dalam perayaan yang lebih santai dan mesra.

Justeru, ia menampilkan pendekatan termasuk hiburan yang sesuai syariah sekaligus mengusung pendidikan bermanfaat buat semua lapisan masyarakat. Menggabungkan barisan selebriti popular diketuai oleh kumpulan yang banyak mengharumkan nama negara lewat alunan muzik kerohanian, Raihan.
Garden of Eid Festival juga disemarakkan oleh Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Naim Daniel serta Altimet (selaku hos) yang akan muncul dalam persembahan kerohanian pada 28 Mei 2022, 8.30 malam di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur.
Tidak semata mata mengangkat hiburan, festival ini turut menonjolkan gaya hidup masyarakat masa kini tanpa membelakangkan agama dan kekal dengan nilai nilai murni lewat pelbagai aktiviti untuk generasi muda seperti pertandingan papan seluncur (skateboarding).

Malah, pendekatan pendidikan kanak kanak juga disuntik secara santai dengan kemunculan karakter animasi Islamik yang sudah mendunia iaitu Omar & Hana, Didi & Friends serta Ejen Ali.
Dengan tema The Great Reunion (metafora kepada kegembiraan selepas berjaya mengharungi pelbagai rintangan dunia termasuk kepayahan melewati fasa pandemik), festival ini dijadualkan berlangung selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Mei 2022.
Turut mengisi jadual selama tiga hari bermula 10 pagi sehingga 10 malam festival berlangsung adalah sesi perkongsian motivasi & bual bicara santai tentang kemanusian & pendidikan islam secara general. DI segment ini kolaborasi bersama Qalby, islamik aplikasi oleh Mizz Nina & Ahlan Academy.
ARTIKEL BERKAITAN
Tribute Syawal S.Atan Bersama Malaysian Philharmonic Orchestra